LUKAS 18:1-14

LUKAS 18:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa. Yesus berkata, “Di sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun. Di kota itu juga ada seorang balu yang selalu datang kepada hakim itu untuk memohon supaya perkaranya dibela. ‘Tolonglah saya menghadapi lawan saya,’ kata balu itu. Sudah lama hakim itu tidak mahu menolong balu itu, tetapi akhirnya hakim itu berkata dalam hati, ‘Sungguhpun aku tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun, tetapi kerana balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku membela perkaranya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan menyusahkan aku!’ ” Lalu Tuhan berkata, “Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang jahat itu! Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang malam? Adakah Dia akan berlambat-lambat untuk menolong mereka? Percayalah, Allah akan membela mereka dengan segera! Tetapi, adakah Anak Manusia akan menjumpai orang yang percaya kepada-Nya di bumi ini, apabila Dia datang?” Yesus juga menceritakan perumpamaan ini kepada orang yang menghina orang lain, tetapi menganggap diri mereka baik. Yesus berkata, “Dua orang pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Yang seorang orang Farisi dan yang seorang lagi pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa, ‘Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.’ Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Allah dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”

LUKAS 18:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA bŭrkatalah iya kapada marika itu dŭngan suatu pŭrumpamaan, dŭmkian, Bahwa manusia itu patutlah slalu mŭminta doa, jangan bŭrlŭlah. Katanya, Maka adalah dalam sa’buah nŭgri sa’orang hakim yang tiada mŭnakoti akan Allah, atau mŭngindahkan manusia. Maka adalah sa’orang pŭrampuan janda dalam nŭgri itu, datanglah iya kapadanya, katanya, Balaskanlah halku dŭngan musohku itu. Maka sŭmŭntara itu hakim tiada mahu, tŭtapi kumdian bŭrfikirlah iya dalam hatinya, mŭski pun aku tiada takot akan Allah, atau mŭngindahkan manusia, Maka ulih sŭbab pŭrampuan ini mŭnyusahkan aku, maka aku akan sŭlŭsiekan dia, asal jangan iya datang slalu mŭmŭnatkan aku. Maka Tuhan bŭrkata, Skarang dŭngarlah apa yang dikatakan ulih hakim yang tiada adil itu. Maka bukankah nanti dibalaskan Allah akan orang mileknya sŭndiri, yang tŭlah mŭmohonkan padanya siang dan malam, mŭski pun disabarkannya lama lama? Maka aku bŭrkata kapadamu, iya akan mŭmbalaskan itu dŭngan sŭgranya. Maka kalau pun Anak manusia datang, nantikah didapatinya iman diatas bumi ini? Maka Isa bŭrkata akan pŭrumpamaan ini kapada orang orang anu yang harap akan dirinya sŭndiri, iyalah sahja bŭnar, dan dibŭnchikannya orang lain lain. Maka adalah dua orang masok kŭdalam ka’abah mŭminta doa, iya itu sa’orang orang Farisia, dan sa’orang orang mŭmŭgang chukie. Maka orang Farisia itu bŭrdiri, sambil mŭminta doa dŭmkian: Allah, aku mŭnguchap shukor akan dikau, yang aku ini tiada spŭrti orang lain, iya itu pŭrampas, atau tiada adil, atau pŭrsundalan, atau mŭski pun spŭrti orang mŭmŭgang chukie ini. Aku ini puasa dua kali sa’jŭmaat, dan aku mŭmbayar sa’puloh asa deripada sagala milekku. Maka orang yang mŭmŭgang chukie itu ada bŭrdiri jauh jauh, tiadalah iya sampie handak mŭnŭngadah kŭlangit, mŭlainkan ditŭpok tŭpoknya dadanya, katanya, Allah, kasihankanlah akan daku sa’orang bŭrdosa. Aku bŭrkata kapadamu, bahwa orang ini pulanglah karumahnya, iya itu dibŭnarkan tŭrlebih deripada orang lain itu, kŭrna barang siapa mŭmbŭsarkan dirinya itu, iya itu akan dihinakan, dan orang yang mŭrŭndahkan dirinya itu, maka iya itu akan dibŭsarkan.

LUKAS 18:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa. Yesus berkata, “Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa. Di kota itu juga ada seorang balu yang kerap kali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya. Sekian lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapa pun, tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!’ ” Tuhan menambah, “Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang tidak adil itu. Tidakkah Allah akan membela umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Adakah Dia akan bertangguh untuk melaksanakan keadilan bagi mereka? Aku berkata kepadamu bahawa Allah akan melaksanakan keadilan bagi mereka dengan segera. Tetapi, apabila Anak Manusia datang, adakah Dia akan menjumpai iman di bumi ini?” Yesus juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain: “Dua orang masuk ke dalam Bait Suci untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: ‘Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau berzina seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.’ Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.’ ” “Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”