LUKAS 15:20-24
LUKAS 15:20-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Dia pun pulang kepada bapanya. Dia masih jauh dari rumah apabila bapanya nampak dia. Dengan penuh kasihan, bapanya lari menemui dia, lalu memeluk, dan menciumnya. ‘Ayah,’ kata anak itu, ‘Saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah.’ Tetapi bapanya memanggil hamba-hambanya dan berkata, ‘Cepat, bawalah jubah yang terbaik dan pakaikan pada dia. Kenakan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. Pilihlah anak lembu yang gemuk lalu sembelih. Marilah kita rayakan kepulangannya dengan perjamuan. Anakku ini sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dia sesat, tetapi sekarang ditemui semula.’ Lalu perjamuan itu dimulakan.
LUKAS 15:20-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka bŭrbangkitlah iya lalu datang kapada bapanya, tŭtapi apabila jauhlah iya lagi, dilihatlah ulih bapanya akan dia, maka kasihanlah iya, lalu larilah iya mŭmŭlok lehirnya, sŭrta dichiumnya akan dia. Maka kata anak itu kapadanya, Bapa, aku tŭlah bŭrdosa kapada Allah, dan pada fihakmu, maka tiadalah lagi aku layak dikatakan anakmu. Tŭtapi kata bapa itu kapada hamba hambanya, Bawalah kluar pakiean yang tŭrutama, pakiekan kapadanya, dan pakiekanlah sa’bŭntok chinchin ditangannya, dan kasut dikakinya. Maka bawalah kŭmari anak lŭmbu yang tŭmbun itu sŭmblihkan, biarlah kami makan dan bŭrsuka sukaan. Kŭrna anakku ini sudah mati, maka iya tŭlah hidop pula, dan sudah hilang, iya tŭlah didapati. Maka marika itu mŭmulailah bŭrsuka suka.
LUKAS 15:20-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya. Anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’ Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, ‘Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria.