LUKAS 15:1-32

LUKAS 15:1-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari banyak pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat datang mendengar Yesus. Lalu orang Farisi dan guru Taurat mula bersungut-sungut. Mereka berkata, “Lihatlah, orang ini menyambut orang yang dihina masyarakat, bahkan makan bersama-sama mereka!” Oleh itu Yesus menceritakan perumpamaan ini, “Andaikata seorang daripada kamu mempunyai seratus ekor domba, lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Tentu dia akan meninggalkan domba yang sembilan puluh sembilan ekor di padang rumput, lalu pergi mencari yang hilang itu sehingga dapat. Apabila dia menjumpai domba itu, dia memikulnya pada bahu. Dengan sukacita dia membawa domba itu pulang. Setelah itu dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, ‘Marilah kita bergembira! Dombaku yang hilang sudah aku jumpai semula!’ Ketahuilah bahawa demikian juga di syurga ada kegembiraan yang lebih besar kerana seorang berdosa bertaubat, daripada kegembiraan kerana sembilan puluh sembilan orang berhormat yang berpendapat mereka tidak perlu bertaubat.” “Atau andaikata seorang wanita mempunyai sepuluh keping wang perak, lalu kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita, menyapu rumah lalu mencari wang itu dengan teliti sehingga dapat. Apabila dia menjumpai mata wang itu, dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, ‘Mari kita bergembira! Wangku yang hilang sudah aku jumpai semula!’ Percayalah, malaikat Allah juga bersukacita apabila seorang berdosa bertaubat.” Yesus berkata lagi, “Ada seorang bapa mempunyai dua orang anak lelaki. Yang bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berikanlah harta bahagian saya sekarang juga.’ Lalu bapanya membahagi hartanya antara kedua-dua orang anaknya. Beberapa hari kemudian, anak yang bongsu menjual bahagian hartanya, lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke negeri yang jauh, dan di sana dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. Dengan cepat wangnya habis. Pada masa itu kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu, lalu hidupnya melarat kerana dia tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu dia bekerja bagi seorang penduduk negeri itu, yang menyuruh dia menjaga babi di ladang. Dia begitu lapar sehingga ingin mengisi perut dengan makanan babi, tetapi tidak seorang pun memberikan makanan kepadanya. Akhirnya dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji ayahku mendapat makanan yang berlebihan tetapi di sini aku hampir mati kelaparan! Aku akan berangkat dan pergi kepada ayahku lalu berkata begini: Ayah, saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah. Anggaplah saya sebagai orang gaji ayah.’ Dia pun pulang kepada bapanya. Dia masih jauh dari rumah apabila bapanya nampak dia. Dengan penuh kasihan, bapanya lari menemui dia, lalu memeluk, dan menciumnya. ‘Ayah,’ kata anak itu, ‘Saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah.’ Tetapi bapanya memanggil hamba-hambanya dan berkata, ‘Cepat, bawalah jubah yang terbaik dan pakaikan pada dia. Kenakan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. Pilihlah anak lembu yang gemuk lalu sembelih. Marilah kita rayakan kepulangannya dengan perjamuan. Anakku ini sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dia sesat, tetapi sekarang ditemui semula.’ Lalu perjamuan itu dimulakan. Sementara itu anaknya yang sulung di ladang. Dalam perjalanan pulang, apabila dekat rumah, dia mendengar muzik dan tari-tarian. Dia memanggil salah seorang hambanya lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku?’ Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan sudah kembali! Bapa tuan menyembelih anak lembu yang gemuk, kerana bapa tuan sudah mendapat anaknya kembali dalam keadaan selamat.’ Anak sulung itu begitu marah sehingga dia tidak mahu masuk ke rumah. Lalu bapanya keluar dan memujuk dia. Tetapi dia berkata kepada bapanya, ‘Lihatlah, bertahun-tahun saya bekerja seperti seorang hamba untuk ayah. Tidak pernah saya membantah ayah. Tetapi apakah balasan ayah? Tidak seekor kambing pun disembelih, supaya saya boleh bersukaria dengan kawan-kawan saya! Tetapi anak ayah ini telah memboroskan segala harta ayah dengan pelacur, dan apabila dia kembali ayah menyembelih anak lembu yang gemuk untuknya!’ Bapanya menjawab, ‘Anakku, kamu sentiasa di sini dengan ayah. Segala yang ayah miliki juga milikmu. Patutlah kita adakan perjamuan dan bersukacita, kerana adikmu sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dulu dia sesat, tetapi sekarang sudah ditemui semula.’ ”

LUKAS 15:1-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬTLAH itu maka sagala orang yang mŭmŭgang chukie, dan orang bŭrdosa datanglah hampir kapadanya, akan mŭnŭngar pŭrkataannya itu. Maka khatib khatib, dan orang orang Farisia itu pun bŭrsungotlah, katanya, Orang ini mŭnŭrima orang yang bŭrdosa itu, sŭrta iya makan bŭrsama sama dŭngan dia. ¶ Maka Isa pun bŭrkatalah kapada marika itu pŭrumpamaan ini. Katanya, Siapakah deri pada kamu yang ada sa’ratus ekor kambing, jikalau iya hilang sa’ekor deripadanya, tiadakah iya mŭninggalkan sŭmbilan puloh sŭmbilan ekor itu dipadang, maka iya pŭrgi mŭnchari yang hilang itu sampielah didapatinya akan dia. Maka apabila didapatinya akan dia, dibuboh dibahunya dŭngan suka chitanya. Maka apabila datanglah iya kŭrumah, dipanggilnyalah sagala sahabatnya, dan orang orang sa’kampongnya, katanya kapadanya, Bŭrsukalah bŭrsama sama dŭngan aku, kŭrna aku tŭlah mŭndapat kambingku yang tŭlah hilang itu. Aku bŭrkata kapadamu, dŭmkianlah adanya kŭsukaan itu dalam shorga, apabila sa’orang orang bŭrdosa itu bŭrtaubat tŭrlebih pula deripada sŭmbilan puloh sŭmbilan orang bŭnar itu yang tiada bŭrguna bŭrtaubat. ¶ Atau pŭrampuan manakah yang ada kapadanya sa’puloh kŭping wang perak, maka jikalau iya hilang satu kŭping, bukankah dipasangnya lilin, dan disapunya rumah dŭngan rajin, dicharinya sampie dapat? Maka apabila didapatinya, dipanggilnya sahabat sahabatnya, sŭrta orang orang sa’kampongnya bŭrsama sama, katanya, Bŭrsuka sukalah dŭngan aku, kŭrna aku tŭlah mŭndapat wangku yang hilang itu. Dŭmkianlah aku bŭrkata kapadamu, adalah kŭsukaan dihadapan mŭliekat mŭliekat Tuhan, apabila sa’orang bŭrdosa itu bŭrtaubat. ¶ Maka katanya, Adalah bagie sa’orang anu itu dua orang anak laki laki. Maka kata anak yang muda itu kapada bapanya, Bapa, brilah akan daku bahgian harta harta yang patut bagieku. Maka dibahgikannyalah kapadanya hartanya. Maka tiada brapa lamanya, kumdian anaknya yank muda itu bŭrkŭmas skalian, lalu bŭrjalanlah iya pŭrgi kapada sa’buah nŭgri yang jauh, maka disana diboruskannya hartanya itu dŭngan hidop yang tiada kŭtahuan. Shahadan apabila sudah diblanjakannya skalian, hata maka dalam nŭgri itu pun bŭrbangkitlah suatu kŭlaparan yang bŭsar, maka iya pun jadilah kŭkorangan. Maka lalu pŭrgilah iya masok kŭrja pada sa’orang nŭgri itu, lalu disurohkan ulih orang itu akan dia pŭrgi kŭladangnya mŭmliharakan babinya. Maka inginlah iya akan mŭngisi protnya dŭngan sŭkam sŭkam yang dimakan ulih babi itu, maka sa’orang pun tiadalah mŭmbri kapadanya. Maka apabila sŭdarlah iya akan dirinya, katanya, Brapa orang upahan bapaku mŭndapat makanan chukop yang bulih dibahginya pula, maka aku ini binasa dŭngan kŭlaparan. Maka aku haudak pŭrgi mŭndapatkan bapaku, maka aku akan bŭrkata kapadanya, Bapa, aku tŭlah bŭrdosa kapada Allah dan kapadamu. Maka tiadalah aku layak dikatakan anakmu; jadikanlah akan daku sa’orang spŭrti orang orang upahanmu. Maka bŭrbangkitlah iya lalu datang kapada bapanya, tŭtapi apabila jauhlah iya lagi, dilihatlah ulih bapanya akan dia, maka kasihanlah iya, lalu larilah iya mŭmŭlok lehirnya, sŭrta dichiumnya akan dia. Maka kata anak itu kapadanya, Bapa, aku tŭlah bŭrdosa kapada Allah, dan pada fihakmu, maka tiadalah lagi aku layak dikatakan anakmu. Tŭtapi kata bapa itu kapada hamba hambanya, Bawalah kluar pakiean yang tŭrutama, pakiekan kapadanya, dan pakiekanlah sa’bŭntok chinchin ditangannya, dan kasut dikakinya. Maka bawalah kŭmari anak lŭmbu yang tŭmbun itu sŭmblihkan, biarlah kami makan dan bŭrsuka sukaan. Kŭrna anakku ini sudah mati, maka iya tŭlah hidop pula, dan sudah hilang, iya tŭlah didapati. Maka marika itu mŭmulailah bŭrsuka suka. Adapun anaknya yang tua itu adalah diladang, maka tŭngah iya datang hampir dŭkat kŭrumah, didŭngarnyalah bunyi bunyian dan mŭnari. Lalu dipanggilnya sa’orang hamba itu, ditanyanya, Apakah artinya pŭrkara pŭrkara ini skalian? Maka katanya kapadanya, Saudaramu itu tŭlah datang, maka bapamu tŭlah mŭnyŭmblih akan anak lŭmbu yang tŭmbun, kŭrna iya tŭlah mŭnyambut akan dia dŭngan slamat dan samporna. Maka marahlah iya, lalu tiada iya mahu masok; maka sŭbab itu kluarlah bapanya itu, lalu dibujoknya masok akan dia. Maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada bapanya, Hie tengoklah, sŭkian banyak tahun aku tŭlah mŭngŭrjakan angkau, maka tiada aku bŭrsalahan pada barang bila hukummu, mŭski pun dŭmkian, bŭlom pŭrnah angkau mŭmbri akan daku sa’ekor anak kambing, supaya bulih aku bŭrsuka suka dŭngan sahabat sahabatku. Tŭtapi sŭrta anakmu itu sudah datang, yang tŭlah mŭmbinasakan hartamu itu kapada pŭrampuan pŭrampuan sundal, angkau tŭlah mŭnyŭmblihkan akan dia anak lŭmbu tŭmbun itu. Maka katanya kapadanya, Anak, angkau ada slamanya dŭngan aku, maka sagala yang ada kapadaku itu angkau punya. Maka patutlah kami bŭrsuka suka dan tŭrmasa, kŭrna saudaramu ini tŭlah mati, maka iya hidop pula, dan tŭlah hilang, iya tŭlah didapati.

LUKAS 15:1-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang berdosa datang mendengar Yesus. Orang Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut, “Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.” Yesus pun mengatakan ibarat ini kepada mereka. “Jika seorang antara kamu mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya. Setelah dia menemukannya, dia memikul domba itu di atas bahunya. Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu.’ Aku berkata kepadamu bahawa begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat.” “Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali. Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan sekeping wang yang hilang itu.’ Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat.” Yesus berkata seterusnya: “Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki. Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu. Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan. Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya. Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya. Akhirnya, dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan! Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.’ Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya. Anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’ Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, ‘Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria. Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari. Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku ini?’ Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’ Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia. Anak sulung itu berkata, ‘Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku. Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!’ Bapa itu berkata kepadanya, ‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu. Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemukan kembali.’ ”