LUKAS 13:11-16
LUKAS 13:11-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Di situ ada seorang wanita yang sakit, kerana dirasuk roh jahat selama lapan belas tahun. Dia bongkok dan tidak dapat berdiri tegak. Ketika Yesus melihat dia, Yesus memanggil dia dan berkata kepadanya, “Mulai sekarang kamu sembuh!” Yesus meletakkan tangan-Nya pada wanita itu dan pada saat itu juga wanita itu berdiri tegak lalu memuji Allah. Ketua rumah ibadat marah kerana Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat. Ketua rumah ibadat berkata kepada semua orang di situ, “Ada enam hari untuk bekerja; datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, tetapi jangan pada hari Sabat!” Tuhan menjawab ketua itu, “Kamu munafik! Pada hari Sabat orang melepaskan lembu atau keldai dari kandang lalu membawa haiwan itu keluar untuk diberikan minuman. Lihatlah, di sini ada seorang wanita keturunan Abraham yang telah diikat oleh Iblis selama lapan belas tahun. Tidak patutkah dia dilepaskan daripada ikatannya pada hari Sabat?”
LUKAS 13:11-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka sŭsungguhnya adalah sa’orang pŭrampuan yang tŭlah tŭrkŭna hantu dŭlapan blas tahun lamanya, lŭmah lŭmah badannya, sampielah blakangnya bŭrlipat dua, tiadalah bulih skali kali iya mŭngangkatkan dirinya. Maka apabila dilihat ulih Isa akan dia, lalu dipanggilnya akan dia, sŭrta katanya, Hie pŭrampuan, tŭrlŭpaslah angkau deripada kŭlŭmahanmu itu. Maka ditarohkannyalah tangannya ka’atasnya, maka dŭngan sŭbŭntar bŭntaran itu juga jadilah iya bŭtol, lalu iya mŭmuliakan Allah. Adapun pŭgghulu kŭnisa itu mŭnjawablah dŭngan gŭramnya, sŭbab Isa itu tŭlah mŭnyŭmbohkan orang pada hari sabtu; maka katanya kapada kaum itu, Dalam anam hari lamanya orang patutlah bŭkŭrja, maka dalamnya itulah datang kamu supaya disŭmbohkan, janganlah pada hari sabtu. Maka kumdian Tuhan mŭnjawab akan dia, katanya, Hie munafik, bukankah masing masing kamu pada hari sabtu mŭlŭpaskan lŭmbu, atau kaldiemu deri kandangnya mŭmbawa dia katŭmpat ayer? Maka bukankah patut pŭrampuan ini, sa’orang anak chuchu Ibrahim yang tŭlah diikat ulih Shietan, amboi sampie dŭlapan blas tahun! iya itu dilŭpaskan deripada ikatannya pada hari sabtu?
LUKAS 13:11-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak. Apabila Yesus nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, “Sembuhlah daripada penyakitmu.” Lalu Yesus meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah. Tetapi ketua saumaah itu marah kerana Yesus telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, “Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.” Tuhan menjawab, “Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat? Sekarang perempuan daripada keturunan Abraham ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?”