LUKAS 13:1-8
LUKAS 13:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada waktu itu beberapa orang di situ memberitahu Yesus perihal orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus ketika mereka mempersembahkan korban kepada Allah. Yesus berkata kepada mereka, “Kerana beberapa orang Galilea dibunuh secara demikian, adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada orang Galilea lain? Tidak! Tetapi ingatlah, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka. Bagaimanakah dengan lapan belas orang yang terbunuh di Siloam, ketika menara di sana menimpa mereka? Adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada semua orang lain yang tinggal di Yerusalem? Tidak! Sekali lagi Aku berkata, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka.” Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang mempunyai pokok ara di kebun anggurnya. Pada suatu hari dia mencari buah ara pada pokok itu, tetapi tidak menjumpai apa-apa. Oleh itu dia berkata kepada pekebunnya, ‘Lihatlah, selama tiga tahun aku datang mencari buah ara pada pokok ini, tetapi tidak mendapat sebiji pun. Tebanglah sahaja, kerana pokok ini hanya menghabiskan kesuburan tanah.’ Tetapi pekebun itu menjawab, ‘Tuan, biarkanlah pokok ini tumbuh selama setahun lagi. Saya akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan menaruh baja.
LUKAS 13:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SHAHADAN maka adalah bŭrhalir bŭbrapa orang pada masa itu tŭlah bŭrkata kapada Isa derihal orang orang Galilia yang ampunya darah dichamporkan ulih Pilatus bŭrsama dŭngan korbannya. Maka jawab Isa, katanya, Adakah kamu sangkakan orang Galilia itu tŭrlebih bŭsar dosanya deripada sagala orang orang Galilia yang lain, sŭbab disŭngsarakannya dŭmkian? Aku kata tidak; tŭtapi jikalau kamu tiada bŭrtaubat, kamu skalian pun akan binasa. Atau dŭlapan blas orang yang ditimpah ulih mŭnara dalam Siloam sampie mati, pada sangkamu itu pun orang bŭrdosakah tŭrlebih deripada sagala orang yang diam diJerusalem? Aku kata tidak; tŭtapi jikalau kamu tiada bŭrtaubat, kamu skalian pun akan binasa juga. ¶ Maka Isa bŭrkata lagi pula akan pŭrumpamaan ini, maka adalah sa’orang tŭlah mŭnanam sa’pohon ara dalam kŭbon anggornya, maka datanglah iya handak mŭnchari buahnya, satu pun tiadalah didapatinya. Sŭtlah itu katanya kapada tukang kŭbon itu, Tengoklah, tiga tahun aku tŭlah datang mŭnchari buah deripada pohon ara ini satu pun tiada dapat, potongkanlah dia, apa buat iya mŭnyŭmakkan tanah ini. Maka jawabnya, Tuan, biarkanlah dia pada tahun ini pun, sampie aku changkol kulilingnya, sŭrta mŭmbuboh baja
LUKAS 13:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Yesus tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah. Yesus berkata, “Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian? Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga. Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Yerusalem? Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga.” Yesus menceritakan suatu ibarat. “Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai. Dia berkata kepada tukang kebun, ‘Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?’ Tukang kebun menjawab, ‘Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja.