LUKAS 12:42-48
LUKAS 12:42-48 Alkitab Berita Baik (BM)
Tuhan menjawab, “Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk oleh tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. Alangkah bahagianya orang yang didapati sedang menjalankan tugas apabila tuannya kembali! Ketahuilah bahawa tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu. Tetapi jika hamba itu berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuan saya akan kembali.’ Lalu dia mula memukul semua hamba yang lain, baik lelaki mahupun wanita, dan dia makan minum sehingga mabuk. Pada hari dan masa yang tidak diduganya, tuannya kembali. Tuan itu akan mencencang hambanya dan membiarkan dia merasai nasib orang yang tidak taat kepada Allah. Hamba yang mengetahui kehendak tuannya, tetapi tidak bersiap sedia untuk melakukan kehendak tuannya, akan disebat dengan keras. Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, lalu melakukan sesuatu yang salah sehingga dia mesti disebat, akan disebat dengan ringan sahaja. Kepada orang yang telah diberikan banyak, daripadanya akan dituntut banyak juga. Orang yang telah diberikan lebih banyak, daripadanya akan dituntut lebih banyak juga.”
LUKAS 12:42-48 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka Tuhan bŭrkata, Siapakah juru kunchi yang sŭtiawan dan budiman, yang akan dijadikan ulih tuannya kŭpala atas isi rumahnya, akan mŭmbri kapada masing masing marika itu bahgiannya deripada makanannya pada waktu yang patut. Maka slamatlah kiranya hamba itu apabila datang tuannya didapatinya akan dia bŭrbuat dŭmkian. Maka dŭngan sŭbŭnar bŭnarnya aku bŭrkata kapadamu, maka iya kŭlak akan mŭnjadikan hamba itu kŭpala atas sagala pŭrkara yang ada kapadanya. Tŭtapi kalau hamba itu bŭrkata dalam hatinya, tuanku itu tŭrlambat datangnya, maka iya kŭlak mŭmukol hamba laki laki dan pŭrampuan, sŭrta makan minum sampie maboklah. Adapun tuan yang ampunya hamba itu kŭlak akan datang pada hari yang tiada disangkakannya, dan pada jam yang tiada dikŭtahuinya, maka hamba itu kŭlak dipotongnya dua, dan ditŭntukannya bahgiannya bŭrsama sama dŭngan orang yang tiada pŭrchaya. Adapun hamba yang tŭlah mŭngtahui akan kahandak tuannya, dan tiada mŭlangkapkan dirinya, atau bŭrbuat spŭrti kahandaknya, iya itu akan dipalu dŭngan bŭbrapa sŭbat. Tŭtapi orang yang tiada mŭngtahui itu, dan mŭmbuat akan pŭrkara pŭrkara yang patut dipalu itu, iya itu akan dipalu dŭngan sŭdikit; kŭrna kapada barang siapa yang banyak dibri, maka kapadanyalah banyak ditŭntutkan, dan kapada barang siapa yang banyak disŭrahkan orang, maka deripadanyalah banyak dipinta.
LUKAS 12:42-48 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tuhan menjawab, “Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya untuk mengurus rumah tangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya. Diberkatilah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu. Tetapi jika hamba itu berfikir dalam hatinya, ‘Tuan akan pulang lambat,’ lalu dia mula memukul hamba-hamba lelaki dan perempuan dan makan minum sehingga mabuk. Kemudian tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya dan pada waktu yang tidak diketahuinya. Dia akan membunuh hamba itu dan menempatkannya bersama orang yang tidak setia. Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk. Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.”