LUKAS 12:27-32
LUKAS 12:27-32 Alkitab Berita Baik (BM)
Lihatlah bunga bakung yang tumbuh di padang; bunga itu tidak bekerja dan tidak menenun. Tetapi ketahuilah, Raja Salomo dengan segala kekayaannya tidak berpakaian seindah bunga itu! Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu! Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum. (Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.” “Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya.
LUKAS 12:27-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Timbangkanlah akan hal bunga lili itu, bagimanakah iya bŭrtumboh, tiada iya bŭrusaha, dan tiada iya mŭmintal; akan tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, adapun Sulieman dalam sagala kŭmuliaannya, tiada dihiasi spŭrti suatu deripada bunga bunga itu. Maka jikalau kiranya dŭmkian Allah mŭnghiasi akan rumpot itu yang ada pada hari ini dalam padang, dan esoknya dibuangkan kŭdalam dapor, maka brapakah lebihnya bulih iya mŭnghiasi angkau, hie kamu yang kurang iman? Maka janganlah kamu susahkan, apakah yang kamu handak makan, atau apakah yang kamu handak minum, atau jangan mŭnaroh waswas dalam hatimu. Kŭrna sagala pŭrkara inilah dichari ulih bangsa bangsa dalam dunia, maka Ayahmu mŭngtahui sagala pŭrkara ini ada bŭrguna kapada kamu. Akan tŭtapi tŭrutamalah kamu chari krajaan Allah, adapun sagala pŭrkara ini akan ditambahi kapadamu. Janganlah takot hie kawan kambing yang kŭchil, kŭrna Ayahmu itu yang ampunya kasihan akan mŭmbri padamu krajaan itu.
LUKAS 12:27-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lihatlah bunga bakung, yang tidak bekerja atau bertenun. Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan lebih-lebih lagi memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu! Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing. Bangsa-bangsa di dunia yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.” “Janganlah takut, hai kawanan kecil, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu.