LUKAS 10:1-24

LUKAS 10:1-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yesus memilih tujuh puluh dua orang pengikut pula. Dia mengutus mereka berdua-dua, dan pergi mendahului Dia ke tiap-tiap kota dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. Yesus berkata kepada mereka, “Tuaian sungguh banyak, tetapi yang menuai hanya sedikit. Berdoalah kepada Pemilik tuaian supaya Dia menghantar orang untuk menuai tuaian-Nya. Pergilah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Jangan bawa dompet, atau beg sedekah, ataupun kasut. Jangan berhenti di tengah jalan untuk memberikan salam kepada sesiapa pun. Apabila kamu masuk ke dalam sebuah rumah, lebih dahulu katakanlah, ‘Semoga sejahteralah rumah ini.’ Jika orang yang tinggal di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera kamu itu tetap padanya. Jika tidak, batallah salam sejahtera itu. Tinggallah di rumah itu dan makan minum apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak menerima upah. Jangan pindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Apabila kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu kamu disambut, makanlah apa yang dihidangkan. Sembuhkanlah orang sakit di kota itu, dan kepada penduduk di situ katakanlah, ‘Tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu.’ Tetapi jika kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu di situ kamu tidak disambut, pergilah ke jalan raya dan berkata, ‘Bahkan debu kota kamu yang melekat pada kaki, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu. Tetapi ketahuilah bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu!’ Ingatlah bahawa pada Hari Pengadilan kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Sodom daripada penduduk kota itu!” “Malanglah kamu, hai penduduk kota Korazin! Malanglah kamu, hai penduduk kota Betsaida! Jika semua mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu telah dilakukan di Tirus dan Sidon, pasti penduduk di sana sudah lama mengenakan kain guni dan menaruh abu di atas kepala untuk membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat daripada dosa! Pada Hari Pengadilan kelak Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Tirus dan Sidon daripada kamu! Dan kamu, hai penduduk kota Kapernaum! Kamu fikir kamu akan ditinggikan sampai ke syurga? Tidak! Kamu akan dibuang ke neraka!” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Orang yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata-Ku juga. Tetapi orang yang menolak kamu, menolak Aku juga. Orang yang menolak Aku, juga menolak Dia yang mengutus Aku.” Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. “Tuhan,” kata mereka, “roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!” Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat. Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu. Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.” Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa. Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.” Lalu Yesus berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, “Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini! Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.”

LUKAS 10:1-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬTLAH kumdian deripada sagala pŭrkara ini, maka Tuhan mŭnŭntukan pula lain tujoh puloh orang, sŭrta disurohkannya marika itu bŭrdua dua bŭrjalan dihadapannya kapada tiap tiap nŭgri, dan tŭmpat kŭmana iya sŭndiri handak pŭrgi. Maka sŭbab itu katanya kapada marika itu, Sŭsungguhnya pŭnuwiean itu banyak adanya, tŭtapi orang yang bŭkŭrja itu sŭdikit; maka sŭbab itu pintalah kapada Tuhan yang ampunya pŭnuwiean itu, supaya disurohkannya orang orang yang bŭkŭrja itu masok kŭdalam pŭnuwieannya. Pŭrgilah kamu, sŭsungguhnya aku mŭnyurohkan kamu spŭrti anak domba diantara srigala srigala. Janganlah kamu mŭmbawa baik pundi pundi, baik bŭkal, baik kasut; maka jangan mŭmbri sŭlam kapada barang siapa dijalan. Maka jikalau kamu masok kadalam rumah, barang siapa pŭrtama tama katalah, Slamatlah kiranya akan isi rumah ini. Maka jikalau kiranya anak slamat itu ada disana, slamatmu itu akan tinggal diatasnya, maka jikalau tidak iya itu akan kŭmbali kapadamu pula. Maka tinggallah angkau dirumah itu jugu, makan minum barang apa yang dibri ulih marika itu; kŭrna orang yang bŭkŭrja itu layaklah iya mŭndapat upahnya; janganlah angkau pŭrgi deri sa’buah rumah kasa’buah rumah. Maka barang mana nŭgri yang kamu masok sŭrta ditrimanya akan dikau, makanlah barang yang ditarohkannya dihadapanmu. Maka sŭmbohkanlah orang pŭuyakit yang ada disitu, dan katalah kapada marika itu: Kŭrajaan Allah tŭlah datang hampir kapadamu. Tŭtapi kadalam barang nŭgri kamu masok, kalau tiada ditrima ulih marika itu akan dikau, pŭrgilah angkau kluar dalam lorong lorong itu juga dan kata: Mŭski pun abok nŭgrimu yang tŭlah mŭlŭkat pada kaki kami, kami sapukan dia, mŭlawan kamu; maka sungguh pun dŭmkian kŭtahuilah kamu baik baik derihal ini: Adapun Kŭrajaan Allah itu sudah datang hampir kapada kamu. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, Tŭrlebih ringan seksa nŭgri Sodom pada hari itu deri pada nŭgri ini. Karamlah bagie kamu Korezin! karamlah bagie kamu Bethsaida! kŭrna jikalau pŭkŭrjaan yang kwasa ini diadakan dalam Thor ban Sidon yang tŭlah diadakan dalammu; maka lamalah sudah marika itu bŭrtaubat dudok mŭmakie kain karong dan habu. Tŭtapi tŭrlebih ringan seksa nŭgri Thor dan Sidon pada hari kiamat deripada angkau. Maka angkau Kaparnaum yang tŭlah ditinggikan sampie kalangit iya itu tŭlah dichampakkan kadalam naraka. Adapun orang yang mŭnŭngar pŭrkataanmu itu sŭrasa iya mŭnŭngar pŭrkataanku, dan orang mŭmbŭnchi kamu sŭrasa mŭmbŭnchi aku, dan orang yang mŭmbŭnchi akan daku sŭrasa iya mŭmbŭnchi akan dia yang mŭnyurohkan aku. ¶ Maka orang yang katujoh puloh itu pun kŭmbalilah pula dŭngan suka chita, katanya, Tuhan, mŭski pun hantu ta’aloklah kapada kami ulih sŭbab namamu. Maka katanya kapada marika itu, Aku mŭlihat akan Shietan itu spŭrti kilat yang tŭrpanchar deri langit. Bahwa sasungguhnya aku mŭmbri kwasa kapada kamu akan mŭmijakkan Ular dan Kalajŭngking, dan diatas sagala kwasa musohmu, maka satu pun tidak skali kali mŭnyakiti akan dikau. Sungguh pun dŭmkian, janganlah suka chita sŭbab hantu itu adalah ta’alok kapadamu; mŭlainkan tŭrutama suka chitalah sŭbab nama namamu itu tŭlah tŭrtulis diShorga. ¶ Maka pada waktu itu juga suka chitalah Isa dalam batin, katanya: Aku mŭnguchap shukorlah akan dikau, ya Ayah, Tuhah langit dan bumi, sŭbab angkau tŭlah mŭnyambunyikan pŭrkara pŭrkara ini deripada orang pandie dan bijak, dan tŭlah mŭnyatakan dia kapada kanak kanak, mŭskipun dŭmkian itu, kŭrna dŭmkianlah pada krelaanmu. Sagala pŭrkara tŭlah disŭrahkan kapadaku deripada Ayahku; maka sa’orang pun tiada mŭngtahui siapakah Anak itu, mŭlainkan Ayah, dan siapakah Ayah itu, mŭlainkan Anak, dan kapada siapa Anak itu handak mŭnyatakan dia. ¶ Maka bŭrpalinglah Isa kapada murid muridnya, lalu bŭrkata diam diam, Slamatlah kiranya mata yang mŭlihat akan pŭrkara pŭrkara yang kamu lihat. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, adalah banyak nabi nabi, dan raja raja yang tŭlah bŭrkahandak mŭlihat akan pŭrkara pŭrkara yang angkau lihat, maka tiada dapat dilihatnya akan dia, dan handak mŭnŭngar akan pŭrkara yang kamu dŭngar, tiadalah dapat didŭngarnya akan dia.

LUKAS 10:1-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Tuhan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai. Pergilah! Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti anak domba ke tengah-tengah serigala. Janganlah bawa dompet atau beg atau kasut dan jangan berhenti di jalan untuk bersalam dengan sesiapa pun. Apabila kamu masuk ke sesebuah rumah, kamu hendaklah terlebih dahulu mengucapkan ‘Sejahteralah seisi rumah ini.’ Jika orang yang tinggal di rumah itu layak menerima sejahtera, salammu akan tetap padanya. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu. Tinggallah di rumah yang sama, makan dan minumlah apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak mendapat upah. Jangan berpindah dari rumah ke rumah. Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu disambut, makanlah apa sahaja yang dihidangkan. Sembuhkan orang sakit yang ada di situ dan berkata kepada mereka, ‘Kerajaan Allah hampir tiba kepadamu.’ Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu tidak disambut, kamu hendaklah keluar ke jalan dan berkata, ‘Debu bandarmu yang terlekat di kaki kami pun kami kebaskan sebagai bantahan terhadapmu. Tetapi ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.’ Aku berkata kepadamu bahawa pada hari itu kelak, hukuman atas Sodom lebih ringan daripada atas bandar itu.” “Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Betsaida! Sekiranya mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu dilakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat dengan memakai baju kabung dan membubuh abu di kepala. Pada hari penghakiman itu, hukuman atas Tirus dan Sidon lebih ringan daripada atas kamu. Hai Kapernaum, akankah dirimu ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dihumbankan ke neraka!” “Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata-Ku; sesiapa yang menentangmu menentang-Ku; dan sesiapa yang menentang-Ku juga menentang Dia yang mengutus-Ku.” Tujuh puluh orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, “Ya Tuhan, demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami.” Yesus berkata kepada mereka, “Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat. Aku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu. Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.” Pada ketika itu, Yesus bersukacita dalam Roh Kudus lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil. Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan. Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Anak kecuali Bapa; dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Anak serta orang yang terpilih Anak untuk menyatakan Bapa.” Yesus berpaling kepada murid-murid-Nya lalu berkata secara sulit, “Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat. Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak mendengarnya.”