LUKAS 10:1,17-20
LUKAS 10:1 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus memilih tujuh puluh dua orang pengikut pula. Dia mengutus mereka berdua-dua, dan pergi mendahului Dia ke tiap-tiap kota dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.
LUKAS 10:17-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. “Tuhan,” kata mereka, “roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!” Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat. Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu. Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.”
LUKAS 10:1 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬTLAH kumdian deripada sagala pŭrkara ini, maka Tuhan mŭnŭntukan pula lain tujoh puloh orang, sŭrta disurohkannya marika itu bŭrdua dua bŭrjalan dihadapannya kapada tiap tiap nŭgri, dan tŭmpat kŭmana iya sŭndiri handak pŭrgi.
Injil Lukas 10:17-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka orang yang katujoh puloh itu pun kŭmbalilah pula dŭngan suka chita, katanya, Tuhan, mŭski pun hantu ta’aloklah kapada kami ulih sŭbab namamu. Maka katanya kapada marika itu, Aku mŭlihat akan Shietan itu spŭrti kilat yang tŭrpanchar deri langit. Bahwa sasungguhnya aku mŭmbri kwasa kapada kamu akan mŭmijakkan Ular dan Kalajŭngking, dan diatas sagala kwasa musohmu, maka satu pun tidak skali kali mŭnyakiti akan dikau. Sungguh pun dŭmkian, janganlah suka chita sŭbab hantu itu adalah ta’alok kapadamu; mŭlainkan tŭrutama suka chitalah sŭbab nama namamu itu tŭlah tŭrtulis diShorga.
LUKAS 10:1 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, Tuhan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.
Lukas 10:17-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tujuh puluh orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, “Ya Tuhan, demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami.” Yesus berkata kepada mereka, “Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat. Aku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu. Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.”