LUKAS 1:57-64
LUKAS 1:57-64 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila tiba masanya Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. Semua jiran dan sanak saudaranya mendengar betapa baiknya Tuhan terhadap Elisabet, dan mereka ikut bersukacita dengan dia. Setelah bayi itu berumur lapan hari, mereka datang untuk menyunat dia. Mereka hendak menamakan bayi itu Zakharia menurut nama bapanya. Tetapi ibunya berkata, “Jangan! Dia harus dinamakan Yohanes.” Mereka berkata kepadanya, “Tetapi tidak seorang pun antara sanak saudaramu bernama begitu.” Lalu dengan isyarat, mereka bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya. Zakharia meminta sebuah papan tulis lalu menulis, “Namanya Yohanes.” Mereka semua hairan. Pada masa itu juga Zakharia dapat bercakap semula lalu mula memuji-muji Allah.
LUKAS 1:57-64 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun Ilisabeth itu pun tŭlah gŭnaplah bulannya yang patut iya branak, maka branaklah iya sa’orang anak laki laki. Maka orang orang yang sŭkampong dŭngan dia, dan sa’pupu sa’pupunya mŭnŭngar bagimana Tuhan tŭlah mŭngunjokkan kasihan bŭsar atasnya, maka suka chitalah marika itu bŭrsama sama dŭngan dia. Maka skali pŭrstua pada hari yang kadŭlapan, maka datanglah marika itu mŭnyunatkan kanak kanak itu, maka dinamai akan dia Zakaria, mŭnurot nama bapanya. Maka jawab bondanya, sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Bukannya dŭmkian, mŭlainkan patutlah iya dinamai Yahya. Maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Tiadalah sa’orang pun kŭturonanmu yang bŭrnama dŭngan nama ini. Maka marika itu mŭmbri isharat kapada bapanya, apakah yang dikahandakinya budak itu dinamai? Maka dipintanya satu papan mŭnulis, maka ditulisnya namanya itu Yahya; maka marika itu skalian pun tŭrchŭnganglah. Maka dŭngan skutika itu juga mulotnya pun tŭrbukalah, dan lidahnya pun tŭrlŭpaslah, maka bŭrtutorlah iya sambil mŭmuji Allah.
LUKAS 1:57-64 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tibalah masanya untuk Elisabet bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki. Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan belas kasih yang begitu besar kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya. Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakharia seperti nama bapanya. Tetapi ibunya berkata, “Tidak! Namanya ialah Yohanes.” Mereka berkata kepada Elisabet, “Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.” Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu. Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, “Namanya Yohanes.” Semuanya kehairanan. Pada seketika itu, mulut Zakharia terbuka dan lidahnya tidak terikat lalu dia bercakap dan memuji Allah.