LUKAS 1:5-24

LUKAS 1:5-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan. Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia. Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan. Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah. Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar. Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan. Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes. Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan! Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah. Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka. Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.” Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.” Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini. Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.” Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan. Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah. Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan.

LUKAS 1:5-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ SHAHADAN maka adalah pada zaman Herodis, iya itu raja orang Yahudi, maka adalah sa’orang imam yang bŭrnama Zakaria, silah silahnya turon deripada Abia; maka istrinya itu deripada anak pŭrampuan Haron, namanya Ilisabeth. Maka adalah kadua marika itu orang yang bŭnar kapada Allah, sŭrta bŭrlaku dalam sagala hukum dan pŭngajaran Tuhan dŭngan tiada bŭrsalah. Maka marika itu tiada bŭranak, kŭrna Ilisabeth itu mandol, dan kadua orang itu tŭlah lalulah sangat umornya. Maka pada skali pŭrstua tŭtkala Zakaria mŭmbuat pŭkŭrjaan imam dihadapan Allah dalam pŭratoran silah silahnya itu, Mŭnurot adat pangkat imam itu, maka pŭkŭrjaannya itu akan mŭmbakar bahu bahuan tŭtkala masok kŭdalam ka’abah Tuhan. Maka sagala bŭlatŭntara deripada kaum itu tŭngah sŭmbahyang diluar deripada waktu mŭmbakar bahu bahuan itu. Maka klihatanlah kapada Zakaria sa’orang mŭliekat Tuhan bŭrdiri sŭblah kanan tŭmpat bahu bahuan itu. Maka apabila dilihat ulih Zakaria akan dia, maka susahlah iya, kŭtakotan datang kapadanya. Tŭtapi kata mŭliekat itu kapadanya, Janganlah takot Zakaria, kŭrna doamu tŭlah didŭngar, dan istrimu Ilisabeth itu akan branak sa’orang laki laki padamu, maka handaklah angkau mŭnamai akan dia Yahya. Maka angkau akan mŭndapat kasukaan dan suka chita, dan banyaklah orang yang suka chita kŭlak pada masa iya dipranakkan. Kŭrna iyalah kŭlak akan mŭnjadi bŭsar pada halrat Tuhan, iya kŭlak tiada minum ayer anggor, atau minuman yang kŭras, dan iyalah kŭlak akan dipŭnohi dŭngan Roh Alkudus, mŭski pun dalam prot ibunya. Dan banyaklah bŭni Israil itu kŭlak akan dibalikkannya kapada Tuhan Allahnya. Maka iyalah kŭlak bŭrjalan dihadapannya dŭngan roh dan kwasa, Ilias akan mŭmbalikkan hati bapa bapa itu kapada anak anak, dan yang dŭrhaka itu kapada hikmat kabŭnaran; akan mŭlangkapkan suatu kaum itu sŭdia kŭrna Tuhan. Maka kata Zakaria kapada mŭliekat itu, Bagimanakah aku akan mŭngtahui itu, kŭrna aku sa’orang orang tua, dan istriku itu tŭlah lalulah sangat umor. Maka jawab mŭliekat itu sŭrta bŭrkata kapadanya, Akulah Jibrail, yang bŭrdiri dihalrat Allah; disurohkannya bŭrkata kata kapadamu, dan mŭnunjokkan khabar kasukaan ini. Maka sŭsungguhnya angkau akan mŭnjadi kŭlu, tiada bulih bŭrkata kata, sampielah kapada hari pŭrkara pŭrkara itu akan dijadikan, ulih sŭbab angkau tiada pŭrchaya akan pŭrkataanku yang akan kŭlak digŭnapkan pada masanya. Maka kaum itu pun mŭnantikan Zakaria, sŭrta ajaib sŭbab iya bŭgitu lambat dalam ka’abah. Maka apabila kluarlah iya, tiadalah bulih iya bŭrkata kata kapada marika itu; maka pada pŭrasaan marika itu adalah iya mŭlihat suatu pŭnglihatan dalam ka’abah, kŭrna iya mŭlambie akan marika itu, sŭrta tinggallah iya kŭlu. Maka sŭrta sudahlah hari pŭkŭrjaannya itu tŭlah gŭnap, maka bŭrbaliklah iya karumahnya sŭndiri. Maka bahwa kumdian deri pada masa itu, istrinya Ilisabeth itu pun mŭngandonglah, maka disŭmbunyikannya akan dirinya lima bulan, katanya

LUKAS 1:5-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia daripada golongan Abia. Isterinya, Elisabet, daripada keturunan Harun. Kedua-duanya orang yang benar di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta ketetapan Tuhan dengan sepenuhnya. Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia. Pada suatu hari Zakharia melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut giliran golongannya bertugas. Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam Bait Suci Tuhan untuk membakar kemenyan. Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar. Lalu ternampak kepada Zakharia, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan mazbah tempat pembakar kemenyan itu. Hati Zakharia berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Zakharia, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yohanes. Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain kerana dia akan menjadi mulia di mata Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Kudus sejak dari rahim ibunya lagi. Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Tuhan, Allah mereka, dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Elia untuk mendamaikan hati bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar kepada kebijaksanaan orang yang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.” Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.” Malaikat itu menjawab lagi, “Akulah Gabriel yang berdiri di hadirat Allah, telah diutuskan untuk menyampaikan berita baik ini kepadamu. Ketahuilah, oleh sebab engkau tidak percaya kepada kata-kataku ini yang akan dipenuhi pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.” Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakharia; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam Bait Suci. Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Maka ketahuilah mereka bahawa Zakharia telah nampak suatu penglihatan di dalam Bait Suci. Dia menggunakan isyarat dengan tangannya kerana dia tetap bisu. Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakharia pulang ke rumahnya. Kemudian, Elisabet, isterinya pun hamil lalu dia menyisihkan diri selama lima bulan, katanya