LUKAS 1:30-38
LUKAS 1:30-38 Alkitab Berita Baik (BM)
Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.” Maria berkata kepada malaikat itu, “Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.” Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Lalu malaikat itu meninggalkan Maria.
LUKAS 1:30-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kata mŭliekat itu kapadanya, Janganlah takot Mŭriam, kŭrna angkau kŭlak akan mŭndapat kasihan deri pada Allah. Maka sŭsungguhnya angkau kŭlak akan mŭngandong dalam rahimmu, dan mŭmpranakkan sa’orang anak laki laki, akan dinamai iya ISA. Iya akan mŭnjadi bŭsar, dan akan dinamai anak yang maha tinggi, dan Allah Tuhan akan mŭmbri padanya takhta bapanya Daud: Maka iyalah kŭlak akan mŭmrentahkan atas sagala rumah Yakob sampie slama lamanya, maka krajaannya tiada akan bŭrsudahan. Sŭtlah itu kata Mŭriam kapada mŭliekat itu, Bagimanakah ini akan jadi, kŭrna aku tiada mŭngŭnal sa’orang pun laki laki? Maka jawab mŭliekat itu sŭrta bŭrkata kapadanya, Roh Alkudus itu akan datang ka’atasmu, dan kwasa deripada maha tinggi akan mŭnawangi dikau, maka sŭbab itulah juga bŭnda yang suchi itu yang angkau akan pranakkan, maka iya itu akan dinamai anak Allah. Maka sŭsungguhnya sa’pupumu Ilisabeth itu, iya pun ada mŭngandongkan sa’orang anak laki laki dalam umor tuanya, maka skarang iya sudah anam bulan yang dikatakan mandol: Kŭrna kapada Allah itu suatu pun tiada yang mustahil. Maka bŭrkatalah Mŭriam, Tengoklah sa’orang dayang Tuhan, jadilah bagieku spŭrti pŭrkataanmu. Maka mŭliekat itu pun kŭmbalilah deripadanya.
LUKAS 1:30-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah. Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus. Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.” Lalu Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?” Malaikat itu menjawab, “Roh Kudus akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Anak Allah. Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. Sebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.” Maria berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya.