LUKAS 1:1-56

LUKAS 1:1-56 Alkitab Berita Baik (BM)

Tuan Teofilus yang terhormat, Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami. Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar. Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan. Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia. Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan. Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah. Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar. Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan. Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes. Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan! Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah. Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka. Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.” Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.” Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini. Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.” Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan. Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah. Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan. Elisabet berkata, “Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku.” Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!” Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.” Maria berkata kepada malaikat itu, “Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.” Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Lalu malaikat itu meninggalkan Maria. Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, lalu dia berseru, “Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita. Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!” Maria berkata, “Hatiku menyanjung Tuhan; jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!” Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan lamanya, lalu pulang ke rumah.

LUKAS 1:1-56 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA adapun spŭrti banyak orang yang sudah mŭmasok tangan handak mŭnyatakan dŭngan pŭratoran suatu kesah deri pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dipŭrchayai dŭngan sungguh sungguh diantara kami. Itu pun spŭrti yang tŭlah disŭrahkan ulih marika itu skalian kapada kita, yang deri pŭrmulaannya matanya mŭnjadi saksi, dan guru guru pŭrkataan itu: Tampaknya baik pula kapada aku, yang tŭlah sudah mŭngarti dŭngan sampornanya akan sagala pŭrkara pŭrkara itu deripada pŭrmulaannya skali, akan mŭngarangkan kapadamu dŭngan pŭratoran, hie Theophilus yang amat mulia; Supaya angkau kŭlak mŭngtahui akan katŭntuannya sagala pŭrkara pŭrkara itu, yang angkau tŭlah diplajari itu. ¶ SHAHADAN maka adalah pada zaman Herodis, iya itu raja orang Yahudi, maka adalah sa’orang imam yang bŭrnama Zakaria, silah silahnya turon deripada Abia; maka istrinya itu deripada anak pŭrampuan Haron, namanya Ilisabeth. Maka adalah kadua marika itu orang yang bŭnar kapada Allah, sŭrta bŭrlaku dalam sagala hukum dan pŭngajaran Tuhan dŭngan tiada bŭrsalah. Maka marika itu tiada bŭranak, kŭrna Ilisabeth itu mandol, dan kadua orang itu tŭlah lalulah sangat umornya. Maka pada skali pŭrstua tŭtkala Zakaria mŭmbuat pŭkŭrjaan imam dihadapan Allah dalam pŭratoran silah silahnya itu, Mŭnurot adat pangkat imam itu, maka pŭkŭrjaannya itu akan mŭmbakar bahu bahuan tŭtkala masok kŭdalam ka’abah Tuhan. Maka sagala bŭlatŭntara deripada kaum itu tŭngah sŭmbahyang diluar deripada waktu mŭmbakar bahu bahuan itu. Maka klihatanlah kapada Zakaria sa’orang mŭliekat Tuhan bŭrdiri sŭblah kanan tŭmpat bahu bahuan itu. Maka apabila dilihat ulih Zakaria akan dia, maka susahlah iya, kŭtakotan datang kapadanya. Tŭtapi kata mŭliekat itu kapadanya, Janganlah takot Zakaria, kŭrna doamu tŭlah didŭngar, dan istrimu Ilisabeth itu akan branak sa’orang laki laki padamu, maka handaklah angkau mŭnamai akan dia Yahya. Maka angkau akan mŭndapat kasukaan dan suka chita, dan banyaklah orang yang suka chita kŭlak pada masa iya dipranakkan. Kŭrna iyalah kŭlak akan mŭnjadi bŭsar pada halrat Tuhan, iya kŭlak tiada minum ayer anggor, atau minuman yang kŭras, dan iyalah kŭlak akan dipŭnohi dŭngan Roh Alkudus, mŭski pun dalam prot ibunya. Dan banyaklah bŭni Israil itu kŭlak akan dibalikkannya kapada Tuhan Allahnya. Maka iyalah kŭlak bŭrjalan dihadapannya dŭngan roh dan kwasa, Ilias akan mŭmbalikkan hati bapa bapa itu kapada anak anak, dan yang dŭrhaka itu kapada hikmat kabŭnaran; akan mŭlangkapkan suatu kaum itu sŭdia kŭrna Tuhan. Maka kata Zakaria kapada mŭliekat itu, Bagimanakah aku akan mŭngtahui itu, kŭrna aku sa’orang orang tua, dan istriku itu tŭlah lalulah sangat umor. Maka jawab mŭliekat itu sŭrta bŭrkata kapadanya, Akulah Jibrail, yang bŭrdiri dihalrat Allah; disurohkannya bŭrkata kata kapadamu, dan mŭnunjokkan khabar kasukaan ini. Maka sŭsungguhnya angkau akan mŭnjadi kŭlu, tiada bulih bŭrkata kata, sampielah kapada hari pŭrkara pŭrkara itu akan dijadikan, ulih sŭbab angkau tiada pŭrchaya akan pŭrkataanku yang akan kŭlak digŭnapkan pada masanya. Maka kaum itu pun mŭnantikan Zakaria, sŭrta ajaib sŭbab iya bŭgitu lambat dalam ka’abah. Maka apabila kluarlah iya, tiadalah bulih iya bŭrkata kata kapada marika itu; maka pada pŭrasaan marika itu adalah iya mŭlihat suatu pŭnglihatan dalam ka’abah, kŭrna iya mŭlambie akan marika itu, sŭrta tinggallah iya kŭlu. Maka sŭrta sudahlah hari pŭkŭrjaannya itu tŭlah gŭnap, maka bŭrbaliklah iya karumahnya sŭndiri. Maka bahwa kumdian deri pada masa itu, istrinya Ilisabeth itu pun mŭngandonglah, maka disŭmbunyikannya akan dirinya lima bulan, katanya, Dŭmkianlah adanya pŭrbuatan Tuhan akan daku pada masa dipandangnya atasku, mŭnolakkan maluku diantara manusia. ¶ Maka dalam anam bulan mŭliekat Jibrail dititahkan Allah kanŭgri Galilia, yang bŭrnama Nazareth: Kapada sa’orang anak darah yang sudah bŭrtunangan dŭngan sa’orang yang bŭrnama Yusof, kŭturonan Daud; adapun nama anak darah itu Mŭriam. Maka datanglah mŭliekat itu kapadanya, sŭrta katanya, Asalamu aliekom, angkau yang tŭlah mŭndapat kasihan yang maha bŭsar, Tuhan ada bŭsŭrta dŭngan dikau; bŭrbahgialah kiranya angkau diantara pŭrampuan pŭrampuan. Maka apabila dilihat Mŭriam akan dia, maka susahlah iya akan pŭrkataannya itu, maka masoklah dalam fikirannya, apakah macham sŭlam ini garangannya? Maka kata mŭliekat itu kapadanya, Janganlah takot Mŭriam, kŭrna angkau kŭlak akan mŭndapat kasihan deri pada Allah. Maka sŭsungguhnya angkau kŭlak akan mŭngandong dalam rahimmu, dan mŭmpranakkan sa’orang anak laki laki, akan dinamai iya ISA. Iya akan mŭnjadi bŭsar, dan akan dinamai anak yang maha tinggi, dan Allah Tuhan akan mŭmbri padanya takhta bapanya Daud: Maka iyalah kŭlak akan mŭmrentahkan atas sagala rumah Yakob sampie slama lamanya, maka krajaannya tiada akan bŭrsudahan. Sŭtlah itu kata Mŭriam kapada mŭliekat itu, Bagimanakah ini akan jadi, kŭrna aku tiada mŭngŭnal sa’orang pun laki laki? Maka jawab mŭliekat itu sŭrta bŭrkata kapadanya, Roh Alkudus itu akan datang ka’atasmu, dan kwasa deripada maha tinggi akan mŭnawangi dikau, maka sŭbab itulah juga bŭnda yang suchi itu yang angkau akan pranakkan, maka iya itu akan dinamai anak Allah. Maka sŭsungguhnya sa’pupumu Ilisabeth itu, iya pun ada mŭngandongkan sa’orang anak laki laki dalam umor tuanya, maka skarang iya sudah anam bulan yang dikatakan mandol: Kŭrna kapada Allah itu suatu pun tiada yang mustahil. Maka bŭrkatalah Mŭriam, Tengoklah sa’orang dayang Tuhan, jadilah bagieku spŭrti pŭrkataanmu. Maka mŭliekat itu pun kŭmbalilah deripadanya. Maka bangunlah Mŭriam pada masa itu dŭngan sŭgranya pŭrgi kanŭgri yang bŭrbukit bukit, kapada sa’buah nŭgri Yahuda: Maka masoklah iya kadalam rumah Zakaria, lalu mŭmbri sŭlamlah iya kapada Ilisabeth. Shahadan maka apabila didŭngar ulih Ilisabeth sŭlam Mŭriam itu, maka kanak kanak yang dalam rahimnya itu pun mŭlompat, maka Ilisabeth pun tŭlah pŭnohlah dŭngan Roh Alkudus. Maka iya pun bŭrkatalah dŭngan nyaring suaranya, katanya, Bŭrbahgialah angkau diantara pŭrampuan pŭrampuan, dan bŭrbahgialah adanya buah rahimmu itu. Maka bagimanakah garangannya kapadaku, iya itu ibu Tuhanku akan datang mŭndapatkan aku. Kŭrna sŭsungguhnya sŭrta bunyi sŭlammu itu bŭrbunyi katlingaku, kanak kanak itu pun mŭlompatlah dalam rahimku sŭbab suka chita. Maka bŭrbahgialah kiranya atas pŭrampuan itu yang pŭrchaya, kŭrna akan mŭnjadi pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dikatakan kapadanya deripada Tuhan. Maka kata Mŭriam, Bahwa jiwaku adalah mŭmuliakan Tuhan itu. Maka adalah rohku bŭrsuka suka akan Allah Pŭnulongku. Kŭrna iya tŭlah mŭngindahkan karŭndahan dayangnya, kŭrna sŭsungguhnya deripada masa ini sagala kŭturonan kŭlak akan mŭnyŭbut aku slamat. Kŭrna iya yang ada bŭrkwasa tŭlah mŭngadakan bagieku pŭrkara pŭrkara yang bŭsar, maka suchi adanya namanya. Kasihannya ada atas barang siapa yang takot akan dia deripada kŭturonannya kapada kŭturonannya. Iya tŭlah mŭnunjokkan gagahnya dŭngan tangannya; iya tŭlah mŭnaborkan orang orang chongkak itu dalam sangka sangka hatinya. Iya tŭlah mŭnuronkan akan orang yang bŭrkwasa itu deripada kŭdudokannya, dan mŭninggikan orang yang rŭndah halnya itu. Iya tŭlah mŭmŭnohi akan orang yang lapar itu dŭngan pŭrkara yang baik baik, dan yang kaya itu iya tŭlah mŭnghalaukan dŭngan kosongnya. Iya tŭlah mŭnulong hambanya Israil dŭngan pŭringatan akan kasihannya. Spŭrti iya bŭrkata kapada nenek moyang kami kapada Ibrahim, dan kapada kŭturonannya slama lamanya. ¶ Maka Mŭriam pun tinggallah dŭngan Ilisabeth itu kira kira tiga bulan, maka kŭmbalilah karumahnya sŭndiri.

LUKAS 1:1-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kepada yang dihormati Teofilus, Ramai orang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam kalangan kita sebagaimana yang diberitahu kepada kita oleh saksi-saksi pertama dan pemberita Firman dari awalnya. Oleh sebab aku telah mengkaji perkara-perkara ini dari mulanya, aku berfikir eloklah aku mengarang cerita-Nya dengan teratur untuk tuan Teofilus. Aku berbuat demikian supaya tuan tahu dengan pastinya perkara-perkara yang telah diajarkan kepada tuan. Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia daripada golongan Abia. Isterinya, Elisabet, daripada keturunan Harun. Kedua-duanya orang yang benar di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta ketetapan Tuhan dengan sepenuhnya. Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia. Pada suatu hari Zakharia melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut giliran golongannya bertugas. Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam Bait Suci Tuhan untuk membakar kemenyan. Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar. Lalu ternampak kepada Zakharia, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan mazbah tempat pembakar kemenyan itu. Hati Zakharia berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Zakharia, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yohanes. Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain kerana dia akan menjadi mulia di mata Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Kudus sejak dari rahim ibunya lagi. Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Tuhan, Allah mereka, dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Elia untuk mendamaikan hati bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar kepada kebijaksanaan orang yang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.” Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.” Malaikat itu menjawab lagi, “Akulah Gabriel yang berdiri di hadirat Allah, telah diutuskan untuk menyampaikan berita baik ini kepadamu. Ketahuilah, oleh sebab engkau tidak percaya kepada kata-kataku ini yang akan dipenuhi pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.” Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakharia; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam Bait Suci. Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Maka ketahuilah mereka bahawa Zakharia telah nampak suatu penglihatan di dalam Bait Suci. Dia menggunakan isyarat dengan tangannya kerana dia tetap bisu. Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakharia pulang ke rumahnya. Kemudian, Elisabet, isterinya pun hamil lalu dia menyisihkan diri selama lima bulan, katanya, “Inilah perbuatan Tuhan bagiku. Pada hari-hari ini Dia telah berkenan menghapuskan aibku di hadapan orang.” Dalam bulan yang keenam, malaikat Gabriel diutus Allah ke Nazaret, sebuah kota di jajahan Galilea, kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maria. Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!” Hati Maria runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah. Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus. Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.” Lalu Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?” Malaikat itu menjawab, “Roh Kudus akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Anak Allah. Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. Sebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.” Maria berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya. Setelah itu, Maria bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yehuda. Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberi salam kepada Elisabet. Apabila Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Elisabet dipenuhi Roh Kudus. Dia berseru, “Diberkatilah engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu. Siapakah aku ini sehingga ibu Tuhanku datang kepadaku? Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan. Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!” Maria berkata, “Jiwaku meninggikan Tuhan; rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku, kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati, kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya. Dia mengasihani mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain. Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak dalam pemikiran mereka. Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina; Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong. Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Abraham dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.” Maria tinggal bersama Elisabet selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.