IMAMAT 25:10-17
IMAMAT 25:10-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengan demikian kamu mengekhaskan tahun yang kelima puluh, dan mengisytiharkan kebebasan kepada segenap penduduk negeri. Pada tahun itu, segala harta milik yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asal atau kepada keturunan pemilik itu. Sesiapa yang sudah dijual sebagai abdi mesti dikembalikan kepada keluarganya. Jangan tanami ladang kamu; jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu; jangan petik buah anggur dari pokok-pokok anggur yang tidak dipangkas di kebun kamu. Tahun itu tahun yang suci untuk kamu. Apa yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu, dan yang kamu sendiri ambil, itu sahaja yang boleh kamu makan. Pada tahun itu, semua tanah yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asalnya. Oleh sebab itu apabila kamu menjual tanah kepada sesama orang Israel, atau membeli tanah daripada mereka, jangan lakukan jual beli itu dengan tidak jujur. Harga tanah itu mesti ditentukan menurut jumlah tahun tanah itu dapat mengeluarkan hasil sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang. Jika masih lama lagi, harga tanah itu lebih mahal, tetapi jika masih tinggal beberapa tahun sahaja, harganya mesti lebih murah kerana yang dijual itu adalah jumlah hasil tanah itu. Jangan tipu sesama orang Israel, tetapi takutlah akan TUHAN, Allah kamu.
IMAMAT 25:10-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hendaklah kamu menjadikan tahun kelima puluh itu suci dengan mengisytiharkan kebebasan bagi seluruh penduduk di setiap ceruk rantau negeri. Tahun itu Tahun Jubli bagimu. Hendaklah masing-masing kembali ke tanah miliknya dan kembali kepada kaumnya. Hendaklah tahun kelima puluh itu menjadi Tahun Pembebasan bagimu. Jangan semai, jangan tuai apa-apa yang tumbuh dengan sendiri, dan jangan petik buah daripada pohon anggur yang tidak dipangkas. Sebabnya tahun itu Jubli Pembebasan. Maka hendaklah kamu menganggap tahun itu suci bagimu. Kamu semua boleh memakan hasil yang diambil daripada ladang pada tahun itu. Dalam Tahun Pembebasan itu setiap orang harus pulang ke tanah miliknya. Jika kamu menjual apa-apa kepada sesama jiranmu, janganlah kamu rugikan satu sama lain. Sebaliknya, hendaklah kamu mengambil kira bilangan tahun selepas jubli ketika kamu membeli tanah daripada jiranmu, dan yang hendaklah dia menjual kepadamu berdasarkan jumlah tahun penuaian akan dilakukan. Jika jumlah tahun yang berbaki itu banyak maka kamu akan menaikkan harganya; jika jumlah tahun berbaki itu sedikit maka kamu akan menurunkan harganya, kerana yang sebenarnya dijualnya kepadamu ialah jumlah tahun penuaian. Maka janganlah kamu saling mengambil kesempatan melainkan takutlah kepada Allahmu, kerana Akulah TUHAN, Allahmu.