IMAMAT 23:33-36,39-44
IMAMAT 23:33-36 Alkitab Berita Baik (BM)
Perayaan Pondok Daun bermula pada hari kelima belas bulan ketujuh dan berlangsung selama tujuh hari. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu. Setiap hari selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Pada hari kelapan, kamu harus berkumpul lagi untuk beribadat dan kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Hari itu adalah hari untuk beribadat; kamu tidak boleh melakukan pekerjaan harian pada hari itu.
IMAMAT 23:39-44 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari kelima belas bulan ketujuh, sesudah kamu selesai menuai, kamu mesti merayakan perayaan itu selama tujuh hari. Hari pertama dan hari terakhir perayaan itu adalah hari yang khas untuk berehat. Pada hari yang pertama, ambillah buah yang terbaik dari pokok buah kamu, dan ambillah juga daun-daun palma, dahan-dahan pokok yang rimbun, dan pokok renek berbunga dari tebing sungai, lalu mulakanlah perayaan gembira itu untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. Rayakanlah perayaan itu selama tujuh hari. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya. Semua orang Israel harus tinggal di pondok-pondok daun selama tujuh hari, supaya keturunan kamu tahu bahawa TUHAN menyuruh orang Israel tinggal di pondok-pondok daun, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir. Dialah TUHAN, Allah kamu. Demikianlah Musa memberi umat Israel peraturan-peraturan untuk merayakan perayaan-perayaan agama bagi menghormati TUHAN.
IMAMAT 23:33-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahu orang Israel, ‘Pada hari kelima belas pada bulan ketujuh ini ialah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari untuk TUHAN. Pada hari pertama, adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu. Selama tujuh hari hendaklah kamu mempersembahkan korban bakaran untuk TUHAN. Pada hari kelapan adakan lagi perhimpunan jemaah yang suci, dan persembahkanlah korban bakaran untuk TUHAN. Itu ialah hari perhimpunan umum maka janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu.
Imamat 23:39-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jadi, setelah kamu mengumpulkan hasil tanahmu, mulai hari kelima belas pada bulan ketujuh itu, hendaklah kamu mengadakan perayaan selama tujuh hari untuk TUHAN. Hari pertama dan hari kelapan ialah hari istirahat penuh. Pada hari pertama ambillah buah-buah daripada pokok yang baik-baik, pelepah-pelepah pokok kurma, cabang-cabang pokok yang rendang, dan pokok gandarusa di tepi sungai, kemudian bersuka rialah di hadapan TUHAN, Allahmu selama tujuh hari. Hendaklah kamu merayakannya sebagai hari perayaan selama tujuh hari dalam setahun untuk TUHAN. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun. Rayakanlah pada bulan ketujuh. Hendaklah kamu tinggal selama tujuh hari di dalam pondok-pondok sementara. Hendaklah semua warga asli Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, supaya keturunanmu tahu bahawa Aku telah membuat orang Israel tinggal dalam pondok-pondok sementara ketika Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Akulah TUHAN, Allahmu.’ ” Maka Musa pun mengumumkan kepada orang Israel hari-hari perayaan yang TUHAN tetapkan itu.