IMAMAT 23:15-22

IMAMAT 23:15-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Mulai hari selepas Sabat, ketika kamu mempersembahkan berkas barli yang pertama kepada TUHAN, kamu harus menghitung tujuh minggu penuh. Pada hari kelima puluh, iaitu hari selepas Sabat yang ketujuh, persembahkanlah gandum baru sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Tiap-tiap keluarga harus membawa dua buku roti, sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN. Tiap-tiap buku roti harus dibuat daripada dua kilogram tepung terbaik yang bercampur ragi. Roti ini harus dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban daripada tuaian gandum yang pertama. Bersama dengan roti itu, umat Israel harus mempersembahkan tujuh ekor anak domba yang berumur satu tahun, seekor lembu jantan, dan dua ekor kambing jantan. Semua binatang itu tidak boleh ada kecacatan. Persembahkanlah semua itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban untuk mengucap syukur dan korban wain. Bau persembahan itu menyenangkan hati TUHAN. Selain itu persembahkanlah seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan dua ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Kemudian imam akan mempersembahkan roti dan dua ekor anak domba itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN, dan persembahan ini menjadi milik para imam. Persembahan-persembahan ini suci. Pada hari itu jangan lakukan pekerjaan harian, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Keturunan kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya, di mana sahaja mereka tinggal. Apabila kamu menuai gandum di ladang, jangan tuai gandum yang tumbuh di tepi ladang, dan jangan kembali ke ladang untuk menuai gandum yang tertinggal. Tinggalkan semua itu untuk orang miskin dan orang asing. TUHAN ialah Allah kamu.

IMAMAT 23:15-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Hendaklah kamu menghitung tujuh minggu genap dari hari sesudah hari Sabat itu, iaitu pada hari kamu membawa berkas persembahan unjukan. Sesudah tiba pada hari Sabat yang ketujuh, hitunglah lima puluh hari lagi, kemudian persembahkanlah persembahan bahan makanan yang baru untuk memuliakan TUHAN. Dari tempat-tempat tinggalmu bawalah dua buku roti persembahan unjukan yang dibuat daripada dua persepuluh efa tepung terbaik dan yang dibakar dengan ragi, sebagai roti hasil pertama untuk dipersembahkan kepada TUHAN. Bersama-sama roti itu, persembahkanlah tujuh ekor domba berumur setahun yang tidak bercacat cela, seekor lembu jantan muda, dan dua ekor domba jantan. Hendaklah kesemuanya menjadi korban bakaran yang dipersembahkan kepada TUHAN, bersama-sama persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya — menjadi korban yang dibakar, yang keharumannya diredai TUHAN. Persembahkan juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa dan dua ekor domba berumur setahun sebagai korban kedamaian. Hendaklah imam mengunjukkan kedua-dua ekor domba itu sebagai persembahan unjukan untuk TUHAN, bersama-sama roti hasil pertama tadi. Itulah persembahan suci yang dipersembahkan kepada TUHAN, yang menjadi bahagian imam. Pada hari itu juga hendaklah kamu menguar-uarkan dan mengadakan perhimpunan jemaah yang suci. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana pun tempat tinggalmu. Apabila kamu menuai hasil tanahmu, jangan kamu tuai habis licin ladangmu sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut apa-apa yang tertinggal daripada penuaianmu. Tinggalkanlah semua itu untuk para fakir miskin dan pendatang. Akulah TUHAN, Allahmu.’ ”