IMAMAT 23:1-14

IMAMAT 23:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN memberikan peraturan-peraturan ini kepada Musa tentang perayaan-perayaan agama yang mesti diisytiharkan sebagai masa untuk beribadat. Ada enam hari untuk kamu bekerja, tetapi ingatlah bahawa hari ketujuh, iaitu hari Sabat, adalah hari rehat. Jangan bekerja pada hari itu, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Hari Sabat itu hari yang dikhaskan bagi TUHAN, di mana sahaja kamu tinggal. Yang berikut adalah perayaan-perayaan yang sudah ditetapkan oleh TUHAN, dan mesti diisytiharkan pada masa-masa yang ditetapkan. Perayaan Paska, yang dirayakan untuk menghormati TUHAN, bermula pada saat matahari terbenam, pada hari keempat belas bulan pertama. Pada hari kelima belas, Perayaan Roti Tidak Beragi akan bermula. Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat, dan jangan lakukan pekerjaan harian. Selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN. Pada hari ketujuh, sekali lagi kamu harus berkumpul untuk beribadat, dan jangan lakukan pekerjaan harian. Apabila kamu masuk ke negeri yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu dan menuai barli, kamu harus membawa berkas barli yang pertama kepada imam. Kemudian imam akan mempersembahkan barli itu kepada TUHAN sebagai persembahan istimewa, supaya TUHAN berkenan kepada kamu. Imam akan mempersembahkan barli itu pada hari selepas hari Sabat. Pada hari kamu mempersembahkan barli itu, kamu juga harus mempersembahkan seekor domba jantan yang berumur satu tahun dan yang tidak ada kecacatan, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan korban itu, kamu harus mempersembahkan dua kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun sebagai persembahan makanan. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan korban itu, persembahkan juga satu liter wain. Jangan makan barli baru kamu itu, sama ada yang mentah, yang dipanggang, ataupun yang dijadikan roti, sebelum kamu mempersembahkan barli baru itu kepada Allah. Peraturan ini harus dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya.

IMAMAT 23:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahu orang Israel dan katakanlah kepada mereka, ‘Inilah hari-hari perayaan yang TUHAN tetapkan dan hendaklah kamu isytiharkan sebagai hari ibadat berjemaah yang suci. Hendaklah selama enam hari umat melakukan pekerjaan mereka, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat, hari istirahat penuh, hari perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dilakukan apa-apa pekerjaan pun. Itu ialah hari Sabat untuk TUHAN yang berkuat kuasa di seluruh tempat kediaman kamu. Inilah hari-hari perayaan yang ditetapkan TUHAN, hari ibadat berjemaah yang suci, dan hendaklah kamu isytiharkannya menurut waktu yang ditentukan. Pada waktu senja hari keempat belas pada bulan pertama ialah perayaan Hari Paskah untuk TUHAN. Pada hari kelima belas pada bulan itu juga ialah Hari Perayaan Roti Tidak Beragi untuk TUHAN. Hendaklah kamu memakan roti yang tidak beragi selama tujuh hari lamanya. Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci dan janganlah dilakukan sebarang pekerjaan biasa kamu. Selama tujuh hari hendaklah kamu membawa persembahan kepada TUHAN berupa korban bakaran dan pada hari ketujuh adakanlah pula perhimpunan jemaah yang suci. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa.’ ” TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahu orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Setelah kamu berada di negeri yang akan Kukurniakan kepadamu, lalu kamu menuai hasil tanahnya, maka hendaklah kamu membawa berkas hasil pertama tuaian itu kepada imam. Hendaklah imam mengunjukkan berkas itu di hadapan TUHAN supaya Dia berkenan menerimanya demi kamu. Kemudian hendaklah imam mengunjukkannya sehari sesudah hari Sabat. Pada hari kamu mengunjukkan berkas itu, hendaklah kamu mempersembahkan kepada TUHAN seekor anak domba berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban bakaran. Selain itu, hendaklah kamu juga persembahkan kepada TUHAN bahan makanan daripada dua persepuluh efa tepung terbaik dicampurkan dengan minyak zaitun, yang keharumannya meredakan, serta persembahan minuman daripada seperempat hin anggur. Sehingga tiba hari itu, iaitu sampai kamu membawa persembahan untuk memuliakan Allahmu, janganlah makan roti, bertih bijirin, atau bijirin baru. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana pun tempat tinggalmu.