IMAMAT 22:1-9

IMAMAT 22:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN memerintah Musa untuk menyampaikan perintah ini kepada Harun dan anak-anaknya, “Perlakukanlah dengan hormat korban-korban yang dipersembahkan oleh umat Israel khas untuk Aku, supaya kamu tidak menghina nama-Ku yang suci. Akulah TUHAN. Sesiapa sahaja daripada keturunan kamu, yang dalam keadaan najis, mendekati korban-korban yang dipersembahkan oleh umat Israel khas untuk Aku, dia tidak boleh bertugas di mazbah lagi. Peraturan ini berlaku selama-lamanya. Akulah TUHAN. Sesiapa sahaja daripada keturunan Harun yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, atau yang menghidap penyakit kelamin sehingga mengeluarkan lelehan, dia tidak boleh makan apa pun daripada korban yang dikhaskan itu, sebelum dia diumumkan tahir. Seseorang imam menjadi najis jika dia menyentuh sesuatu yang menjadi najis kerana terkena mayat, atau imam itu mengeluarkan mani, atau dia menyentuh binatang yang najis atau orang yang najis. Imam yang menjadi najis dengan cara apa pun, tetap najis sehingga matahari terbenam. Dia tidak boleh makan korban yang dikhaskan itu sebelum dia mandi. Selepas matahari terbenam barulah dia tahir, dan dia boleh makan korban yang dikhaskan kerana itulah makanannya. Dia tidak boleh makan daging binatang jenis apa pun yang mati biasa, atau yang diterkam binatang buas. Perbuatan itu akan menajiskan dia. Akulah TUHAN. Semua imam harus patuh kepada peraturan-peraturan yang telah Aku berikan itu. Jika tidak, mereka bersalah dan akan mati kerana melanggar peraturan-peraturan yang suci itu. Akulah TUHAN dan Aku menyucikan mereka.

IMAMAT 22:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun dan anak-anaknya agar mereka mengawasi diri terhadap persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel bagi-Ku, supaya jangan mereka mencemarkan nama-Ku yang suci. Akulah TUHAN. Katakanlah kepada mereka: Sesiapa pun daripada antara semua keturunanmu turun-temurun, yang dalam keadaan najis mendekati persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel untuk TUHAN, hendaklah dia disingkirkan daripada hadapan-Ku. Akulah TUHAN. Sesiapa pun daripada keturunan Harun yang sakit kusta atau yang mengeluarkan lelehan tidak boleh memakan persembahan-persembahan suci sebelum dia menjadi suci. Jika seseorang menyentuh sesuatu yang najis kerana mayat atau kerana orang yang keluar air maninya, dan jika seseorang menyentuh seekor binatang merayap yang menajiskan dia ataupun manusia yang menajiskan dia, baik apa-apa pun kenajisannya, maka orang itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Dia tidak boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kecuali jika dia sudah membasuh tubuhnya dengan air. Setelah matahari terbenam barulah dia menjadi suci, dan sesudah itu dia boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kerana itu memang makanannya. Dia tidak boleh memakan bangkai atau haiwan yang dikoyak-koyak binatang buas, kerana dengan demikian dia menjadi najis. Akulah TUHAN. Para imam wajib memegang teguh kewajipan mereka terhadap-Ku, supaya jangan mereka tanggung dosa sehubungan dengan hal itu lalu mati kerananya, iaitu atas sebab mereka mencemari kewajipan itu. Akulah TUHAN yang menyucikan mereka.