RATAPAN 3:16-33
RATAPAN 3:16-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Dia menggosokkan mukaku pada tanah, dan menghantukkan gigiku pada batu sehingga patah. Aku sudah lupa akan kesihatan, kesejahteraan, dan kebahagiaan. Aku tidak akan hidup lama lagi, sudah hilang harapanku kepada TUHAN. Memikirkan pengembaraan dan penderitaanku, bagaikan makan racun yang pahit. Aku terus-menerus memikirkan hal itu, sehingga batinku tertekan. Namun harapanku bangkit kembali apabila aku teringat akan perkara ini: Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan; selalu baru setiap pagi, sesungguhnya Dia setia! TUHAN sahaja yang aku punyai, oleh itu aku berharap kepada-Nya. TUHAN baik terhadap setiap orang yang percaya kepada-Nya. Oleh itu baiklah kita menantikan Dia dengan sabar, sehingga Dia menyelamatkan kita. Baiklah kita belajar tabah hati ketika masih muda. Apabila Dia mendatangkan penderitaan, kita harus duduk sendirian dan berdiam diri. Kita harus merendahkan diri dan berserah, kerana mungkin masih ada harapan. Walaupun dipukul dan dihina, kita harus menerima semuanya. Tuhan berbelas kasihan dan tidak akan menolak kita selama-lamanya. Walaupun Dia mendatangkan penderitaan kepada kita, Dia tetap mengasihi kita dengan kasih yang tiada batas. Dia tidak suka menyebabkan kita menderita dan sedih.
RATAPAN 3:16-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia menghancurkan gigiku dengan batu kerikil, dan membuat aku meringkuk di dalam debu. Jiwaku ketandusan rasa damai, sehingga aku terlupa erti kebahagiaan. Kataku, “Hilanglah ketahanan aku, dan apa yang kuharapkan daripada TUHAN!” Ingatlah kesengsaraanku dan pengembaraanku, pahit getir dan racun itu. Aku terus mengingatinya dan jiwaku tertekan dalam diriku. Tetapi inilah yang kuperhatikan, lantas kuperoleh harapan: Kerana kasih setia TUHAN tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tidak akan pudar. Semuanya baru setiap pagi. Besarnya kesetiaan-Mu! “TUHAN ialah Pusakaku,” kata jiwaku, “sebab itu aku berharap kepada-Nya.” TUHAN itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia, bagi jiwa yang mencari hadirat-Nya. Baik jika seseorang menanti dengan tenang akan penyelamatan daripada TUHAN. Baik jika seorang lelaki menanggung beban kuknya pada masa mudanya. Biarlah dia duduk sendirian dan berdiam diri kalau Tuhan membebankan kuk itu ke atasnya. Biarlah mulutnya membaham debu, mungkin masih lagi ada harapan. Biarlah dia menyerahkan pipi kepada orang yang menamparnya, dan biarlah dia sarat dengan celaan. Tuhan tidak mencampakkan sesiapa pun untuk selama-lamanya. Sekalipun Dia mendatangkan dukacita, belas ihsan-Nya setimpal dengan kelimpahan kasih-Nya yang abadi. Dia tidak rela menindas atau mendukakan anak manusia.