RATAPAN 2:10-13,18-19
RATAPAN 2:10-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang tua di Yerusalem duduk membisu di atas tanah, menaruh debu di kepala dan memakai kain guni. Gadis-gadis menundukkan kepala sampai ke tanah. Mataku bengkak kerana menangis tanpa berhenti; jiwaku merana tidak terperi. Hatiku hancur melihat kebinasaan bangsaku, melihat kanak-kanak dan bayi pengsan di jalan kota. Mereka berseru kepada ibu mereka kerana lapar dan dahaga; mereka jatuh di tengah jalan seolah-olah cedera, lalu meninggal di pangkuan ibu mereka. Hai Yerusalem, kota Sion yang tercinta, apakah yang dapat kukatakan? Aku tidak dapat menghibur engkau. Belum pernah sesiapa pun menderita seperti engkau. Bencana sebesar samudera telah menimpamu; tiada lagi harapan bagi engkau.
RATAPAN 2:18-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Hai Yerusalem, biarlah tembokmu berseru kepada Tuhan! Biarlah air matamu bercucuran seperti sungai yang mengalir siang dan malam. Teruslah menangis dan berdukalah sehingga habis tenagamu. Bangunlah berkali-kali sepanjang malam, dan berserulah kepada Tuhan; curahkanlah isi hatimu dan mohonlah belas kasihan untuk anak-anakmu, anak-anak yang sedang kelaparan di tiap-tiap simpang jalan.
RATAPAN 2:10-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Para tua-tua puteri Sion duduk membisu di tanah. Mereka menghamburkan debu ke atas kepala dan memakai kain perkabungan. Anak-anak dara Yerusalem menundukkan kepala ke tanah. Mataku haus oleh cucuran air mata, perutku seperti dipulas-pulas. Hatiku tertuang ke bumi kerana kehancuran para puteri bangsaku, kerana kanak-kanak dan bayi-bayi yang menyusu, pengsan di tempat-tempat umum kota. Mereka bertanya kepada ibu masing-masing, “Di manakah gandum dan air anggur?” sebelum mereka pengsan seperti orang yang terluka di tempat-tempat umum kota; sebelum jiwa mereka melayang di pangkuan ibu mereka. Apakah yang dapat kukatakan kepadamu? Dengan apakah dapat kubandingkan engkau, wahai puteri Yerusalem? Dengan apakah aku dapat menyamakan engkau sehingga aku dapat menenangkan hatimu, wahai perawan, puteri Sion? Kehancuranmu seluas lautan. Siapakah yang dapat menyembuhkan engkau?
Ratapan 2:18-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hati mereka berseru-seru kepada Tuhan. Wahai tembok puteri Sion, biarlah air matamu mengalir seperti sungai siang dan malam! Jangan biarkan dirimu beristirahat, jangan biarkan bola matamu tenang! Bangunlah, berteriaklah pada malam hari, pada permulaan waktu berjaga malam! Curahkanlah isi hatimu seperti air di hadirat Tuhan. Angkatlah tanganmu kepada-Nya demi nyawa anak-anakmu yang pengsan kerana kelaparan di pangkal setiap lorong!