YOSUA 6:6-14
YOSUA 6:6-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Yosua memanggil imam-imam dan berkata kepada mereka, “Gotonglah Tabut Perjanjian, dan tujuh orang antara kamu harus berjalan di hadapannya dengan membawa trompet.” Kemudian Yosua memberikan arahan kepada askar-askarnya supaya berarak mengelilingi kota itu, didahului oleh barisan pengawal depan yang berjalan di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Sebagaimana yang diperintahkan Yosua, pengawal depan berjalan di hadapan imam-imam yang meniup trompet, diikuti oleh para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; kemudian diakhiri oleh barisan pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan. Tetapi Yosua telah memerintahkan askar-askarnya supaya tidak berteriak atau berkata sepatah pun sehingga dia memberitahu mereka. Demikianlah Yosua menyuruh kumpulan orang itu mengelilingi kota itu satu kali dengan menggotong Tabut Perjanjian TUHAN, lalu mereka kembali ke perkhemahan dan bermalam di situ. Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi, dan untuk kali kedua para imam dan askar mengelilingi kota itu mengikut susunan pada hari sebelumnya: mula-mula, pengawal depan; kemudian tujuh orang imam yang meniup trompet; lalu para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; dan akhir sekali pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan. Pada hari kedua itu, mereka berarak mengelilingi kota itu satu kali lagi, lalu kembali ke perkhemahan. Mereka berbuat demikian selama enam hari.
YOSUA 6:6-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yosua anak Nun memanggil para imam dan berkata kepada mereka, “Angkatlah tabut perjanjian itu. Tujuh orang imam harus membawa tujuh sangkakala tanduk domba di depan tabut TUHAN.” Lalu katanya kepada bangsa itu, “Majulah, kelilingilah kota itu. Hendaklah kumpulan orang bersenjata berjalan di hadapan tabut TUHAN.” Sebagaimana yang diperintahkan Yosua kepada umat itu, berjalanlah ketujuh-tujuh orang imam yang membawa tujuh sangkakala tanduk domba itu di hadapan TUHAN lalu mereka meniup sangkakala itu, dengan tabut perjanjian TUHAN mengikuti mereka. Orang yang bersenjata berjalan di hadapan para imam yang meniup sangkakala, dan pasukan barisan belakang mengikuti tabut. Sementara itu sangkakala ditiup terus-menerus. Yosua memerintahkan orang Israel demikian: “Jangan bersorak, jangan perdengarkan suaramu, dan jangan keluar sepatah kata pun daripada mulutmu sampai saat aku menyuruh kamu bersorak. Pada waktu itu barulah kamu bersorak.” Demikianlah tabut TUHAN dibawa mengelilingi kota itu sekali sahaja. Setelah itu, mereka kembali ke perkhemahan dan bermalam di situ. Keesokan harinya Yosua bangun pagi-pagi, lalu para imam mengangkat tabut TUHAN. Tujuh orang imam yang membawa tujuh buah sangkakala tanduk domba jantan berjalan di hadapan tabut TUHAN itu. Sambil berjalan mereka meniup sangkakala. Orang bersenjata berjalan di depan mereka dan pasukan barisan belakang mengikuti tabut TUHAN. Sementara itu sangkakala terus-menerus ditiup. Pada hari kedua mereka mengelilingi kota itu sekali lalu kembali ke perkhemahan. Hal yang demikian itu dilakukan mereka selama enam hari.