YOSUA 6:20-27
YOSUA 6:20-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya. Dengan pedang, mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua. Mereka juga membunuh lembu, domba, dan keldai. Yosua berkata kepada dua orang yang dahulu bertugas sebagai pengintip, “Pergilah ke rumah pelacur perempuan itu, lalu bawalah dia dan keluarganya keluar seperti yang kamu janjikan kepadanya.” Oleh itu mereka pergi membawa Rahab keluar bersama-sama ibu bapa, saudara-saudara, dan semua anggota keluarganya. Mereka menyelamatkan semua orang itu, kaum keluarga Rahab mahupun hamba-hambanya, lalu membawa mereka ke tempat yang selamat, berhampiran dengan perkhemahan Israel. Kemudian mereka membakar kota itu dan semua yang ada di situ sampai musnah, kecuali barang-barang yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, dan besi. Mereka mengambil semua benda itu lalu membawanya ke perbendaharaan TUHAN. Tetapi Yosua menyelamatkan Rahab, pelacur perempuan itu dan semua kaum keluarganya kerana dia telah menyembunyikan dua orang pengintip yang disuruh Yosua ke kota Yerikho. (Keturunan Rahab tinggal di negeri Israel sampai hari ini.) Pada masa itu Yosua mengumumkan amaran ini, “Sesiapa yang cuba membina kota Yerikho semula akan dikutuk oleh TUHAN. Sesiapa yang meletakkan batu asasnya akan kehilangan anak sulung. Sesiapa yang membina pintu gerbangnya akan kehilangan anak bongsu.” TUHAN menyertai Yosua dan dia menjadi masyhur di seluruh negeri itu.
YOSUA 6:20-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka bersoraklah umat itu manakala para imam meniup sangkakala. Sebaik sahaja mendengar bunyi sangkakala itu orang Israel pun bersorak dengan sorak yang nyaring, lantas runtuhlah tembok itu di tempatnya. Lalu umat itu memanjat masuk ke dalam kota dengan setiap orang menuju ke tempat di depan masing-masing. Mereka pun menawan kota itu. Semua yang ada di dalam kota itu, baik lelaki mahupun perempuan, baik tua mahupun muda, termasuklah lembu, domba, dan keldai, ditumpaskan mereka dengan mata pedang. Kepada kedua-dua orang yang telah mengintip keadaan negeri itu Yosua berkata, “Pergilah ke rumah pelacur itu dan dari sana bawalah perempuan itu keluar berserta semua orang yang ada bersama-samanya, seperti yang telah kamu janjikan dengan bersumpah kepadanya.” Maka masuklah dua orang pengintip muda itu lalu membawa keluar Rahab, ayahnya, ibunya, saudara-saudara lelakinya, dan semua orang yang ada bersama-samanya. Mereka membawa keluar seluruh kaumnya dan menempatkan mereka di luar perkhemahan Israel. Mereka membakar habis kota itu dan segala isinya. Hanya, perak dan emas serta perkakas-perkakas daripada tembaga dan besi mereka simpan di dalam perbendaharaan Bait TUHAN. Rahab, pelacur itu, dengan kaum keluarganya dan semua orang yang ada bersama-samanya dibiarkan hidup oleh Yosua. Dia tinggal dalam kalangan orang Israel sampai hari ini, kerana dia telah menyembunyikan para utusan yang diutus Yosua untuk mengintip Yerikho. Pada waktu itu Yosua mengisytiharkan sumpahannya, katanya, “Terkutuklah di hadapan TUHAN orang yang bangun untuk membina semula Kota Yerikho ini. Dengan nyawa anaknya yang sulung dia akan meletakkan asasnya, dan dengan nyawa anaknya yang bongsu dia akan mendirikan pintu gerbangnya.” Demikianlah TUHAN menyertai Yosua, dan kemasyhurannya tersiar di seluruh negeri itu.