YOSUA 6:15-23

YOSUA 6:15-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari ketujuh, mereka bangun ketika fajar. Mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali dengan cara yang sama. Hanya pada hari itu, mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali. Pada kali ketujuh, apabila imam-imam itu hendak meniup trompet, Yosua memerintahkan orangnya berteriak, dan dia berkata, “TUHAN sudah menyerahkan kota ini kepada kamu! Kota itu dengan segala sesuatu di situ harus dimusnahkan sama sekali sebagai persembahan kepada TUHAN. Hanya Rahab, pelacur perempuan itu dan kaum keluarganya yang akan diselamatkan, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita. Kamu tidak boleh mengambil apa pun yang mesti dimusnahkan. Jika kamu mengambilnya juga, kamu akan mendatangkan kesusahan dan kebinasaan kepada perkhemahan Israel. Segala benda yang dibuat daripada perak, emas, gangsa, atau besi harus diasingkan untuk TUHAN. Barang-barang itu harus dibawa ke perbendaharaan TUHAN.” Lalu imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya. Dengan pedang, mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua. Mereka juga membunuh lembu, domba, dan keldai. Yosua berkata kepada dua orang yang dahulu bertugas sebagai pengintip, “Pergilah ke rumah pelacur perempuan itu, lalu bawalah dia dan keluarganya keluar seperti yang kamu janjikan kepadanya.” Oleh itu mereka pergi membawa Rahab keluar bersama-sama ibu bapa, saudara-saudara, dan semua anggota keluarganya. Mereka menyelamatkan semua orang itu, kaum keluarga Rahab mahupun hamba-hambanya, lalu membawa mereka ke tempat yang selamat, berhampiran dengan perkhemahan Israel.

YOSUA 6:15-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari ketujuh mereka bangun pagi-pagi pada waktu fajar menyingsing, lalu mengelilingi kota itu tujuh kali dengan cara yang sama. Hanya pada hari itu sahaja mereka mengelilingi kota itu tujuh kali. Pada kali ketujuh, ketika para imam meniup sangkakala, berkatalah Yosua kepada orang Israel, “Bersoraklah kerana TUHAN telah menyerahkan kota itu kepadamu! Hendaklah kota itu dan segala isinya dikhususkan bagi TUHAN untuk ditumpaskan. Hanya Rahab, pelacur itu, yang boleh tetap hidup berserta semua orang yang ada bersama-samanya dalam rumah itu, kerana dia telah menyembunyikan para utusan yang kita utus. Tetapi kamu, jagalah dirimu daripada barang-barang yang telah dikhususkan untuk dimusnahkan. Setelah kamu mengkhususkannya, jangan sampai kamu mengambil sesuatu pun daripada barang-barang itu sehingga kamu mendatangkan kebinasaan ke atas perkhemahan Israel serta menimbulkan kemalangan. Semua perak dan emas serta segala wadah daripada gangsa dan besi adalah suci bagi TUHAN. Hendaklah semua itu dimasukkan ke dalam perbendaharaan TUHAN.” Maka bersoraklah umat itu manakala para imam meniup sangkakala. Sebaik sahaja mendengar bunyi sangkakala itu orang Israel pun bersorak dengan sorak yang nyaring, lantas runtuhlah tembok itu di tempatnya. Lalu umat itu memanjat masuk ke dalam kota dengan setiap orang menuju ke tempat di depan masing-masing. Mereka pun menawan kota itu. Semua yang ada di dalam kota itu, baik lelaki mahupun perempuan, baik tua mahupun muda, termasuklah lembu, domba, dan keldai, ditumpaskan mereka dengan mata pedang. Kepada kedua-dua orang yang telah mengintip keadaan negeri itu Yosua berkata, “Pergilah ke rumah pelacur itu dan dari sana bawalah perempuan itu keluar berserta semua orang yang ada bersama-samanya, seperti yang telah kamu janjikan dengan bersumpah kepadanya.” Maka masuklah dua orang pengintip muda itu lalu membawa keluar Rahab, ayahnya, ibunya, saudara-saudara lelakinya, dan semua orang yang ada bersama-samanya. Mereka membawa keluar seluruh kaumnya dan menempatkan mereka di luar perkhemahan Israel.