YOSUA 6:1-5
YOSUA 6:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Pintu-pintu gerbang kota Yerikho dikawal dan ditutup supaya umat Israel tidak dapat masuk. Tiada seorang pun dapat masuk ataupun keluar dari kota itu. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Aku menyerahkan Yerikho dengan rajanya dan semua askarnya yang perkasa kepadamu. Engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sekali sehari selama enam hari. Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan Tabut Perjanjian. Pada hari ketujuh, engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, sementara imam-imam meniup trompet. Selepas itu mereka harus meniup trompet dengan bunyi yang panjang, dan sebaik sahaja kamu mendengarnya, semua orang harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh. Pada saat itu seluruh tenteramu harus terus memasuki kota itu.”
YOSUA 6:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lantaran kehadiran orang Israel itu, Yerikho tertutup ketat-ketat dan tiada seorang pun yang keluar ataupun masuk. Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Ketahuilah, Aku telah menyerahkan Yerikho berserta rajanya dan para kesaterianya yang gagah perkasa ke dalam tanganmu. Hendaklah kamu serta semua pejuang mengelilingi kota itu satu kali dan hendaklah hal itu dilakukan selama enam hari. Hendaklah tujuh orang imam membawa tujuh sangkakala tanduk domba jantan di depan tabut itu. Pada hari ketujuh hendaklah kamu mengelilingi kota itu tujuh kali dan hendaklah para imam meniup sangkakala itu. Apabila kamu mendengar sangkakala tanduk domba jantan itu dibunyikan panjang, maka hendaklah seluruh umat bersorak dengan sorakan yang nyaring. Tembok kota itu akan roboh di tempatnya dan hendaklah seluruh umat itu memanjat tempat yang ada di hadapan masing-masing.”