YOSUA 22:21-27
YOSUA 22:21-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur menjawab, “Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Dia tahu mengapa kami berbuat demikian dan kami hendak kamu tahu juga! Jika kami memberontak terhadap TUHAN dan tidak percaya kepada-Nya, bunuhlah kami sekarang juga! Jika kami tidak taat kepada TUHAN dan membina mazbah kami sendiri sebagai tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun untuk mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, atau korban untuk memohon berkat TUHAN, biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kami. Maksud kami bukanlah demikian! Kami membina mazbah ini kerana kami khuatir mungkin pada kemudian hari keturunan kamu akan berkata kepada keturunan kami, ‘Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN, Allah Israel! TUHAN telah menjadikan Sungai Yordan ini sebagai sempadan antara kami dan kamu daripada suku Ruben dan Gad. Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN.’ Dengan demikian keturunan kamu akan menyebabkan keturunan kami berhenti beribadat kepada TUHAN. Oleh itu kami membina mazbah ini bukan sebagai tempat membakar korban ataupun untuk mempersembahkan persembahan, tetapi sebagai tanda bagi kedua-dua pihak kita dan keturunan kita, bahawa sesungguhnya kami beribadat kepada TUHAN di Khemah-Nya dengan membawa korban untuk menyenangkan hati TUHAN, persembahan-persembahan, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Dengan demikian keturunan kamu tidak dapat berkata bahawa keturunan kami tidak ada kena-mengena dengan TUHAN.
YOSUA 22:21-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jawab bani Ruben, bani Gad, dan setengah suku Manasye itu kepada para ketua kaum orang Israel, “TUHAN, Allah segala allah! TUHAN, Allah segala allah! Dia tahu dan biarlah orang Israel pun mengetahuinya! Jika hal ini merupakan penderhakaan atau kemungkaran terhadap TUHAN, janganlah kami dibiarkan selamat pada hari ini. Jika kami mendirikan mazbah untuk berhenti mengikuti TUHAN, atau untuk mempersembahkan korban bakaran dan persembahan bahan makanan di atasnya, ataupun untuk mempersembahkan korban kedamaian di atasnya, biarlah TUHAN sendiri yang menuntut balas. Sesungguhnya, hal ini kami lakukan kerana kami khuatir kalau-kalau pada hari kelak anak-anakmu berkata kepada anak-anak kami, ‘Apakah urusanmu dengan TUHAN, Allah Israel? Sungai Yordan ini telah ditentukan TUHAN menjadi sempadan antara kami dengan kamu, hai bani Ruben dan bani Gad! Kamu tidak mempunyai bahagian dalam TUHAN.’ Dengan demikian anak-anakmu mungkin membuat anak-anak kami tidak lagi takut kepada TUHAN. Oleh sebab itu kami berkata, ‘Mari kita bangunkan sebuah mazbah’ bukan untuk korban bakaran dan bukan untuk korban sembelihan, melainkan untuk menjadi saksi antara kami dengan kamu, serta antara keturunan kita kelak, bahawa kami tetap beribadat kepada TUHAN di hadirat-Nya dengan korban bakaran kami, korban sembelihan kami, dan korban kedamaian kami. Dengan demikian anak-anakmu tidak boleh berkata kepada anak-anak kami pada kemudian hari, ‘Kamu tidak mempunyai bahagian dalam TUHAN.’