YOSUA 22:1-5
YOSUA 22:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yosua mengumpulkan orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur. Dia berkata kepada mereka, “Kamu telah melakukan segala yang diperintahkan Musa, hamba TUHAN itu dan kamu telah mentaati segala perintahku. Selama ini kamu tidak membiarkan sesama umat Israel berjuang sendirian. Kamu berhati-hati mentaati perintah TUHAN, Allah kamu. Sekarang, sebagaimana yang dijanjikan-Nya, TUHAN, Allah kamu telah memberikan keamanan kepada sesama kamu umat Israel. Oleh itu, baliklah ke negeri milik kamu, tanah di sebelah timur Sungai Yordan yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN kepada kamu. Pastikanlah bahawa kamu taat kepada hukum yang diberikan oleh Musa: Kasihilah TUHAN, Allah kamu, laksanakanlah kehendak-Nya, patuhilah perintah-Nya, setialah kepada-Nya, dan mengabdilah kepada-Nya dengan sepenuh hati dan jiwa.”
YOSUA 22:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yosua memanggil bani Ruben, bani Gad, dan separuh suku Manasye, lalu berkata kepada mereka, “Kamu telah berpegang teguh pada semua yang diperintahkan kepadamu oleh Musa, hamba TUHAN itu, dan telah menuruti kata-kataku dalam segala hal yang kuperintahkan kepadamu. Kamu tidak meninggalkan para saudaramu selama ini sampai hari ini, melainkan berpegang teguh pada kewajipan yang diperintahkan TUHAN, Allahmu. Sekarang TUHAN, Allahmu, telah memberikan ketenteraman kepada para saudaramu, seperti yang dijanjikan-Nya kepada mereka. Maka kembalilah kamu ke perkhemahanmu, ke tanah milikmu yang telah diberikan kepadamu oleh Musa, hamba TUHAN itu, di seberang Sungai Yordan. Hanya, ingatlah baik-baik, lakukanlah perintah dan hukum yang disampaikan kepadamu oleh Musa, hamba TUHAN itu, iaitu mencintai TUHAN, Allahmu, hidup menurut segala jalan-Nya, berpegang teguh pada segala perintah-Nya, berpaut kepada-Nya, serta beribadat kepada-Nya dengan segenap hatimu dan segenap jiwamu.”