YOSUA 1:1-9
YOSUA 1:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas kematian Musa hamba TUHAN itu, TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, penolong Musa. TUHAN berfirman, “Hamba-Ku Musa sudah meninggal. Hendaklah kamu bersiap sedia, engkau dan semua umat Israel. Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang hendak Aku berikan kepada mereka. Aku telah memberitahu Musa bahawa seluruh tanah yang kamu jejaki telah Aku berikan kepadamu dan kepada semua umat-Ku. Sempadan wilayah kamu akan bermula dari gurun di sebelah selatan sampai ke Pergunungan Lebanon di sebelah utara; dari sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat di sebelah timur dan meliputi negeri orang Het, sampai ke Laut Tengah di sebelah barat. Hai Yosua, tidak seorang pun akan dapat mengalahkan engkau selama engkau hidup. Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa. Aku akan sentiasa menyertai engkau, dan tidak sekali-kali meninggalkan engkau. Hendaklah engkau yakin dan berani, kerana engkau akan menjadi pemimpin umat ini apabila mereka menakluki tanah yang Kujanjikan kepada nenek moyang mereka. Hendaklah engkau yakin dan berani, dan pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat yang diberikan oleh hamba-Ku, Musa kepadamu. Jangan lalaikan mana-mana bahagian Taurat itu, supaya engkau berjaya ke mana pun engkau pergi. Pastikanlah supaya Kitab Taurat sentiasa dibacakan kepada umat-Ku semasa kamu beribadat. Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya. Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.”
YOSUA 1:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah kematian Musa, hamba TUHAN itu, TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, penolong Musa, “Hamba-Ku Musa telah mati. Sekarang, segeralah engkau dan seluruh bangsa ini menyeberangi Sungai Yordan untuk menuju negeri yang Kukurniakan kepada mereka, iaitu kepada orang Israel. Setiap tempat yang akan dipijak oleh telapak kakimu telah Kukurniakan kepadamu, seperti yang Kufirmankan kepada Musa. Daerahmu akan terbentang dari gurun dan dari Gunung Lebanon ini sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat — seluruh negeri orang Het — sampai Laut Besar, di arah matahari terbenam. Tidak ada seorang pun akan dapat bertahan menghadapi engkau seumur hidupmu. Sebagaimana dahulu Aku menyertai Musa, demikianlah Aku akan menyertai engkau. Aku tidak akan menterlantarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau. Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu kerana engkau akan memimpin bangsa ini mewarisi negeri seperti yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka untuk dikurniakan kepada mereka. Hanya, kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu sungguh-sungguh. Berhati-hatilah supaya melakukan seluruh hukum Taurat yang diperintahkan oleh hamba-Ku Musa kepadamu. Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri, supaya engkau berhasil ke mana-mana pun engkau pergi. Kitab Suci Taurat ini tidak akan lekang daripada mulutmu, tetapi hendaklah engkau merenungkannya siang dan malam, supaya engkau berhati-hati melakukan segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian perjalananmu akan beruntung dan engkau akan berjaya. Bukankah telah Kuperintahkan kepadamu, ‘Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu’? Jangan gentar dan jangan kecut hati, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana-mana jua pun engkau pergi.”