YUNUS 3:1-10

YUNUS 3:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Yunus untuk kali yang kedua. TUHAN berfirman, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu. Beritahulah penduduk kota itu perkhabaran yang Aku berikan kepadamu ini.” Oleh itu Yunus mentaati TUHAN dan pergi ke Niniwe. Niniwe sebuah kota yang sangat besar, sehingga memakan masa tiga hari untuk melintasinya dengan berjalan kaki. Yunus memasuki kota itu, dan setelah berjalan sepanjang hari, dia mula mengumumkan perkhabaran ini, “Empat puluh hari lagi, Niniwe akan dihancurkan!” Penduduk Niniwe percaya kepada perkhabaran Allah itu. Segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa, dan semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, memakai kain guni untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka. Ketika raja Niniwe mendengar berita itu, raja segera turun dari takhtanya. Raja menanggalkan jubahnya dan memakai kain guni, lalu duduk di atas abu. Raja juga mengisytiharkan perintah ini kepada penduduk kota Niniwe, “Inilah titah daripada raja dan para menteri: Semua orang, lembu, domba, dan binatang ternakan yang lain dilarang makan dan minum. Manusia dan binatang mesti memakai kain guni. Setiap orang mesti berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah, dan berhenti melakukan perbuatan yang jahat dan kejam. Mungkin Allah akan mengubah fikiran-Nya dan tidak murka lagi, maka kita tidak akan dibinasakan!” Allah melihat perbuatan mereka; Dia nampak bahawa mereka tidak lagi berbuat jahat. Oleh itu Dia mengubah fikiran-Nya dan tidak melaksanakan hukuman yang dirancangkan-Nya terhadap mereka.

YUNUS 3:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka datanglah firman TUHAN buat kali keduanya, kepada Yunus demikian: “Bangkitlah dan pergilah ke Niniwe, kota yang besar itu, dan sampaikanlah kepada penduduknya perisytiharan yang Aku firmankan kepadamu.” Bersegeralah Yunus pergi ke Niniwe mematuhi firman TUHAN. Niniwe sebuah kota amat besar yang luasnya selama tiga hari perjalanan. Berserulah Yunus setelah memasuki kota itu sejauh sehari perjalanan, “Empat puluh hari lagi Niniwe akan ditewaskan!” Orang Niniwe percaya kepada Allah lalu mereka mengumumkan puasa, dan kesemua warganya daripada yang terbesar sampai yang terkecil memakai pakaian berkabung. Khabar itu pun sampai kepada raja Niniwe yang terus bangkit dari takhtanya lantas menanggalkan jubahnya serta menyelubungi dirinya dengan pakaian berkabung, lalu duduk dalam abu. Raja mengeluarkan perisytiharan ke seluruh Niniwe: “Melalui ketetapan raja serta para pembesarnya, baik manusia mahupun haiwan, baik kelompok mahupun kawanan ternakan, tiada yang boleh makan sesuatu pun, ataupun minum air. Tetapi hendaklah kesemua manusia serta haiwan, berselubung kain perkabungan. Hendaklah setiap orang berseru sekuat-kuatnya kepada Allah, dan hendaklah masing-masing bertaubat daripada perilaku yang jahat serta daripada keganasan yang dikerjakan oleh tangannya. Siapa tahu? Mungkin Allah berasa belas kasihan, serta beralih daripada kemurkaan-Nya yang mengerikan lantas kita tidak binasa.” Apabila Allah melihat perbuatan mereka, dan pertaubatan mereka daripada kemungkaran, maka Dia berlembut dan tidak mendatangkan malapetaka seperti yang dirancangkan-Nya terhadap mereka.