YUNUS 1:1-6
YUNUS 1:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari, TUHAN berfirman kepada Yunus anak Amitai. Dia berfirman, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu, dan kecamlah penduduknya. Aku tahu bahawa penduduknya sangat jahat.” Tetapi Yunus pergi ke arah lain untuk menjauhi TUHAN. Yunus pergi ke Yope, dan mendapati kapal yang akan belayar ke Sepanyol. Setelah membayar wang tambang, Yunus naik kapal; dia belayar bersama dengan anak-anak kapal ke Sepanyol, supaya dia dapat menjauhkan diri daripada TUHAN. Yunus turun ke tempat yang paling bawah dan berbaring di situ, lalu dia tertidur dengan nyenyak. Kemudian TUHAN mendatangkan angin kencang ke laut, lalu terjadilah angin ribut yang dahsyat, yang memukul kapal itu sehingga hampir hancur. Anak-anak kapal sangat takut dan berteriak-teriak minta tolong, masing-masing kepada dewa mereka sendiri. Mereka membuang muatan kapal itu ke dalam laut untuk mengurangi bahaya. Apabila kapten kapal itu turun ke bawah, dia menjumpai Yunus sedang tidur di situ. Kapten itu berkata, “Bagaimana engkau dapat tidur dalam keadaan begini? Bangunlah! Berdoalah minta tolong kepada dewamu. Mungkin dia akan mengasihani kita, dan kita tidak akan binasa.”
YUNUS 1:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Datanglah firman TUHAN sedemikian kepada Yunus anak Amitai: “Bangunlah, pergilah ke Niniwe, ibu kota yang besar itu, dan berserulah terhadap mereka kerana kemungkaran mereka sudah nyata kepada-Ku.” Akan tetapi, Yunus melarikan diri ke Tarsis, jauh dari hadirat TUHAN. Maka, pergilah dia ke Yope, dan setelah menemui sebuah kapal, dia membayar tambangnya, dan belayar dengan orang lain ke Tarsis, jauh dari hadirat TUHAN. Tetapi TUHAN menurunkan angin ribut kencang hingga laut bergelora dan kapal yang dihentam gelora itu hampir-hampir pecah. Para pelaut yang dalam ketakutan itu melaung meminta pertolongan tuhan masing-masing dan mereka membuang ke laut muatan di dalam kapal demi meringankan kapal. Akan tetapi, Yunus yang turun ke ruang bahagian dalam kapal berbaring di sana lalu tidur nyenyak. Nakhoda datang mendapatkan Yunus dan berkata: “Bagaimana kamu boleh tidur nyenyak? Bangunlah dan berserulah kepada tuhan kamu. Mungkin tuhanmu akan mempedulikan kita supaya kita semua tidak binasa.”