YOEL 1:1-20
YOEL 1:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah perkhabaran TUHAN kepada Yoel anak Petuel. Dengarkanlah, hai orang tua; dengarkanlah, hai semua orang di Yehuda. Pernahkah perkara seperti ini berlaku pada zaman kamu, atau pada zaman nenek moyang kamu? Ceritakanlah kejadian ini kepada anak-anak kamu, agar mereka menceritakannya kepada anak-anak mereka, dan anak-anak mereka pula menceritakannya kepada generasi selanjutnya. Kawanan belalang yang tidak terhitung jumlahnya hinggap di ladang-ladang dan melahap hasilnya. Apa yang ditinggalkan kawanan ini, dihabiskan oleh kawanan yang lain lagi. Hai pemabuk, bangunlah! Hai peminum wain, menangislah! Wain yang baru sudah dirampas dari mulut kamu. Suatu bangsa telah menyerang negeri kita; bangsa yang kuat dan tidak terhitung bilangannya; gigi mereka itu tajam seperti gigi singa. Pokok anggur kita telah dimusnahkan, dan pokok ara kita dirosakkan. Kulit batang pokok telah dikupas, sehingga cabang-cabang menjadi putih. Hai semua orang, menangislah, seperti gadis yang meratapi kematian tunangannya. Tiada lagi gandum dan wain untuk dipersembahkan di Rumah TUHAN; para imam menangis kerana tidak mempunyai persembahan untuk TUHAN. Ladang-ladang kosong; tanah berkabung kerana gandum sudah musnah, buah anggur sudah kering, dan pokok zaitun sudah layu. Hai petani, berdukacitalah; hai pekebun anggur, menangislah, kerana gandum, barli, dan semua tanaman sudah musnah. Pokok buah-buahan di ladang sudah layu semuanya; pokok anggur, pokok epal, pokok ara, pokok kurma, dan pokok delima, maka rakyat tidak lagi gembira. Hai imam-imam yang bertugas di mazbah, pakailah kain guni dan menangislah. Masuklah ke dalam Rumah TUHAN dan merataplah semalam suntuk. Tiada lagi gandum dan wain untuk dipersembahkan kepada Allah kamu. Berikanlah perintah untuk berpuasa; adakan satu perhimpunan. Suruhlah para pemimpin dan semua penduduk Yehuda datang ke Rumah TUHAN, Allah kamu dan berseru mohon pertolongan-Nya. Hari TUHAN sudah dekat, ketika Yang Maha Kuasa, mendatangkan kehancuran. Alangkah ngerinya hari itu! Tanaman dimusnahkan di depan mata kita. Tiada lagi sorak gembira di dalam Rumah Allah kita. Benih mati di tanah yang gersang. Tiada lagi gandum untuk disimpan; jelapang kosong menjadi reruntuhan. Binatang ternakan melenguh dan gelisah, kerana tiada lagi padang rumput bagi semuanya; kawanan domba pun menderita. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN, kerana padang rumput dan pokok sudah kering dan mati, seolah-olah dibakar api. Bahkan binatang liar pun berseru kepada-Mu, kerana sungai-sungai sudah kering, dan padang rumput di gurun sudah dibakar api.
YOEL 1:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Firman TUHAN yang turun kepada Yo'el anak Petuel. Dengarlah ini, hai para tua-tua, dan pasanglah telinga, wahai seluruh penduduk negeri! Pernahkah terjadi hal semacam ini pada zamanmu atau pada zaman nenek moyangmu? Ceritakanlah tentang itu kepada anak-anakmu dan biarlah anak-anakmu menceritakannya kepada anak-anak mereka, dan anak-anak mereka kepada angkatan yang berikutnya. Apa yang ditinggalkan oleh belalang pengerat telah dimakan oleh kerumunan belalang besar. Apa yang ditinggalkan oleh kerumunan belalang besar telah dimakan oleh belalang pelahap. Apa yang ditinggalkan oleh belalang pelahap telah dimakan oleh belalang pemusnah. Bangunlah, wahai para pemabuk, dan menangislah! Meraung-raunglah, wahai semua peminum air anggur, kerana air anggur baru, sebab air anggur itu telah dilenyapkan daripada mulutmu. Sebuah bangsa telah maju menyerang negeriku, kuat dan tidak terhitung jumlah mereka. Giginya seperti gigi singa dan taringnya seperti taring singa betina. Pokok anggurku telah dirosakkannya dan pokok araku telah dijadikannya serpihan. Disiatnya kulitnya sama sekali lalu dibuangnya, sehingga cabang-cabangnya menjadi putih. Merataplah seperti anak dara yang memakai kain perkabungan kerana tunangan pada masa mudanya. Persembahan bahan makanan dan persembahan minuman telah dilenyapkan daripada Bait TUHAN. Para imam berkabung, iaitu para petugas TUHAN. Ladang musnah, tanah berkabung, kerana gandum musnah. Buah anggur mengering, dan minyak menyusut. Kecewalah, wahai petani, meraung-raunglah, wahai pemelihara kebun anggur, kerana gandum dan kerana barli, sebabnya hasil tuaian ladang telah musnah. Pokok anggur layu, pokok ara merana. Pokok delima, juga pokok kurma dan pokok epal, semua pokok di padang layu. Sungguh, kegirangan layu daripada kalangan anak manusia. Pakailah kain perkabungan dan merataplah, wahai para imam, meraung-raunglah, wahai para petugas mazbah. Masuk dan bermalamlah dengan memakai kain perkabungan, wahai para petugas Allahku, kerana persembahan bahan makanan dan persembahan minuman telah ditahan daripada Bait Allahmu. Adakanlah hari puasa, maklumkanlah perhimpunan jemaah yang suci. Kumpulkanlah para tua-tua dan seluruh penduduk negeri di Bait TUHAN, Allahmu, lalu berserulah kepada TUHAN. Aduh, hari itu! Sungguh, hari TUHAN sudah dekat dan akan datang sebagai pemusnahan daripada Yang Maha Kuasa. Bukankah makanan telah lenyap di hadapan mata kita, begitu juga kesukaan dan kegembiraan dari Bait Allah kita? Benih-benih menjadi layu berkerepot di bawah tanah, kepuk-kepuk kosong melompong, jelapang-jelapang runtuh, kerana gandum telah layu. Betapa binatang-binatang berkeluh-kesah! Kawanan-kawanan lembu gelisah, kerana tidak ada lagi padang rumput mereka. Malah yang menderita sama ialah kawanan-kawanan domba. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berseru kerana api telah melahap padang-padang rumput di gurun. Nyala api telah menghanguskan segala pokok di padang. Bahkan binatang-binatang padang menjerit kepada-Mu, kerana saluran-saluran air telah kering dan api telah melahap padang-padang rumput di gurun.