AYUB 42:7-17
AYUB 42:7-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah selesai berfirman kepada Ayub, TUHAN memberitahu Elifas, “Aku murka terhadap engkau dan kedua-dua orang sahabatmu, oleh sebab engkau tidak berkata yang benar tentang diri-Ku, seperti yang dilakukan hamba-Ku Ayub. Sekarang bawalah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan kepada Ayub, dan persembahkanlah semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, demi kepentingan diri kamu. Ayub akan berdoa untuk kamu, dan Aku akan mengabulkan doanya. Maka Aku tidak akan memalukan kamu meskipun kamu patut menerima hukuman. Kamu tidak berkata yang benar tentang diri-Ku seperti yang dilakukan Ayub.” Elifas, Bildad, dan Zofar melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN, dan TUHAN mengabulkan doa Ayub. Kemudian, selepas Ayub berdoa untuk ketiga-tiga orang sahabatnya, TUHAN menjadikan Ayub kaya semula, dan memberi dia kekayaan dua kali ganda daripada yang pernah dimilikinya. Semua saudara lelaki dan perempuan Ayub, serta semua kenalannya yang lama datang melawat dia dan berjamu bersama-sama Ayub di rumahnya. Mereka turut berdukacita dengan Ayub kerana segala kesusahan yang telah didatangkan TUHAN kepadanya, dan mereka menghibur dia. Tiap-tiap seorang daripada mereka memberi dia sekeping wang perak dan sebentuk cincin emas. TUHAN memberkati Ayub dengan lebih berlimpah pada akhir hidupnya daripada masa sebelum dia mengalami penderitaan. Ayub memiliki 14,000 ekor domba, 6,000 ekor unta, 2,000 ekor lembu, dan 1,000 ekor keldai. Dia menjadi bapa kepada tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Dia menamakan anak perempuannya yang sulung Yemima, yang kedua Kezia, dan yang bongsu Kerenhapukh. Tiada gadis di seluruh negeri yang secantik anak-anak perempuan Ayub. Mereka mewarisi harta Ayub bersama dengan saudara lelaki mereka. Selepas itu Ayub hidup seratus empat puluh tahun sehingga dapat melihat cucu-cicitnya. Lalu Ayub meninggal dalam usia yang sangat lanjut.
AYUB 42:7-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah TUHAN menyampaikan firman itu kepada Ayub, berfirmanlah TUHAN kepada Elifas, orang Teman, “Murka-Ku menyala terhadap engkau dan terhadap kedua-dua sahabatmu, kerana kamu tidak berkata benar tentang Aku seperti hamba-Ku Ayub. Sekarang, ambillah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan. Pergilah kepada hamba-Ku Ayub dan persembahkanlah korban bakaran demi dirimu. Ayub, hamba-Ku, harus berdoa untuk kamu, kerana hanya doanyalah yang akan Kuterima, supaya jangan Aku memperlakukan kamu selaras dengan kebodohan kamu. Kamu tidak berkata benar tentang Aku seperti hamba-Ku Ayub.” Maka pergilah Elifas orang Teman, Bildad orang Suah, dan Zofar orang Naama, lalu melaksanakan apa yang difirmankan TUHAN kepada mereka. TUHAN pun menerima permohonan Ayub. Setelah Ayub berdoa untuk sahabat-sahabatnya, TUHAN memulihkan keadaan mereka. Kemudian TUHAN menambahkan segala milik Ayub dua kali lipat ganda dari dahulu. Semua saudara lelakinya, saudara perempuannya, dan semua kenalannya yang lama datang kepadanya dan makan bersama-sama di rumahnya. Mereka turut berdukacita dan menghiburkan dia kerana segala malapetaka yang telah ditimpakan TUHAN kepadanya. Masing-masing memberi dia sekeping wang dan sebutir cincin emas. TUHAN memberkati sisa hidup Ayub lebih daripada sebelumnya. Dia memiliki 14,000 ekor kambing dan domba, 6,000 ekor unta, 1,000 pasang lembu, dan 1,000 ekor keldai betina. Dia juga memiliki tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Anak perempuan yang pertama diberinya nama Yemima, yang kedua Kezia, dan yang ketiga Keren-hapukh. Di seluruh negeri tidak ada perempuan secantik anak-anak perempuan Ayub. Ayah mereka memberi mereka harta pusaka bersama-sama para saudara lelaki mereka. Setelah itu, Ayub masih hidup 140 tahun lamanya. Dia melihat anak cucunya sampai keturunan yang keempat. Kemudian Ayub pun meninggal ketika sudah tua dan lanjut usia.