AYUB 42:1-7
AYUB 42:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Ayub menjawab TUHAN, “Aku tahu, ya TUHAN, bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu; Engkau dapat melakukan apa sahaja. Engkau bertanya sebabnya aku berani mempersoalkan hikmat-Mu, padahal aku tidak tahu apa-apa. Aku bercakap tentang perkara yang tidak aku mengerti, mengenai hal-hal yang terlalu ajaib bagiku ini. Engkau menyuruh aku mendengar ketika Engkau berfirman, dan memberikan jawapan apabila Engkau bertanya. Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau, tetapi kini aku sendiri melihat Engkau. Oleh itu, aku malu kerana segala perkataanku, dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.” Setelah selesai berfirman kepada Ayub, TUHAN memberitahu Elifas, “Aku murka terhadap engkau dan kedua-dua orang sahabatmu, oleh sebab engkau tidak berkata yang benar tentang diri-Ku, seperti yang dilakukan hamba-Ku Ayub.
AYUB 42:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jawab Ayub kepada TUHAN, “Aku tahu bahawa Engkau sanggup melakukan apa-apa pun, dan rancangan-Mu tidak dapat dicegah. Firman-Mu, ‘Siapakah ini, yang meragukan hikmah-Ku dengan tidak berpengetahuan?’ Itulah sebabnya aku telah menyatakan apa yang tidak kufahami, hal-hal yang terlalu ajaib bagiku, yang tidak kuketahui. Firman-Mu, ‘Dengarlah, Aku hendak berfirman. Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku.’ Dahulunya, Engkau hanya kudengar melalui telinga, tetapi sekarang aku melihat Engkau dengan mataku. Oleh sebab itu aku memandang hina diriku, dan duduk menyesal dalam debu dan abu.” Setelah TUHAN menyampaikan firman itu kepada Ayub, berfirmanlah TUHAN kepada Elifas, orang Teman, “Murka-Ku menyala terhadap engkau dan terhadap kedua-dua sahabatmu, kerana kamu tidak berkata benar tentang Aku seperti hamba-Ku Ayub.