AYUB 38:1-41

AYUB 38:1-41 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian dari angin ribut, TUHAN berfirman kepada Ayub, “Siapakah engkau, sehingga berani menyoal hikmat-Ku dengan kata-kata yang bodoh dan kosong itu? Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku, dan jawablah soalan-soalan-Ku. Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia? Jika engkau sangat pandai, jawablah. Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Tahukah engkau jawapannya? Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini, pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira? Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi? Akulah yang meliputi laut dengan awan dan menyelimutinya dengan kegelapan. Aku menentukan sempadan samudera dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya. Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi! Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’ Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi, dan memerintah fajar merekah? Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi? Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah. Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan, dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan. Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut? Pernahkah engkau berjalan di dasar laut? Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu, pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu? Tahukah engkau keluasan dunia? Jawablah, jika engkau tahu segalanya. Tahukah engkau asalnya cahaya? Tahukah engkau tempatnya kegelapan? Dapatkah engkau menentukan batas di antara kegelapan dan cahaya, ataupun menghantar kedua-dua itu pulang setelah datang? Engkau menyangka bahawa engkau tahu jawapan semuanya, seolah-olah engkau hadir ketika Aku menciptakan dunia; tentunya engkau sudah sangat tua! Pernahkah engkau melawat ke gudang-gudang-Ku, tempat Aku menyimpan salji dan hujan batu? Aku menyediakannya untuk masa kesusahan, untuk hari pertempuran dan peperangan. Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit, ataupun ke tempat asal angin timur? Siapakah yang menggali terusan bagi hujan lebat, dan menyediakan jalan untuk guruh dan kilat? Siapakah yang menurunkan hujan ke tempat yang tidak didiami orang? Siapakah yang membasahi tanah yang kering dan tandus, sehingga rumput di sana bertunas? Adakah hujan mempunyai bapa kandung? Siapakah yang melahirkan embun? Adakah air batu mempunyai ibu? Siapakah yang melahirkan embun beku? Siapakah yang mengubah air menjadi batu dan menjadikan permukaan laut beku? Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika, ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion? Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim, dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil? Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala, dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia? Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan, dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan? Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung, adakah kilat datang kepadamu dan berkata, “Saya, tuan!”? Siapakah yang memberitahu burung ibis bahawa Sungai Nil akan banjir? Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun? Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan, dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan, hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan, dan tanah menjadi ketulan? Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa, dan mengenyangkan anak singa, apabila singa bersembunyi di dalam gua, atau menunggu mangsa di dalam sarangnya? Siapakah yang memberi makan kepada gagak hitam ketika burung itu merayau mencari makanan, ketika anak-anak burung berseru kepada-Ku meminta makanan?

AYUB 38:1-41 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian TUHAN menjawab Ayub dari dalam angin puting beliung, “Siapakah orang ini yang meragukan hikmah-Ku dengan kata-kata yang tidak berilmu? Bersiaplah engkau sebagai seorang lelaki; Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku. Di manakah engkau ketika Aku meletakkan asas bumi? Jawablah jika engkau berpengetahuan. Siapakah yang menentukan ukuran bumi? Tentu engkau tahu! Atau, siapakah yang merentangkan tali pengukur di atasnya? Di atas apakah asas-asasnya ditanamkan? Atau, siapakah yang meletakkan batu penjurunya ketika bintang fajar bersorak-sorai bersama-sama dan semua anak Allah bersorak gembira? Siapakah yang menutup laut dengan pintu ketika laut memancar keluar dari dalam rahim, ketika Aku menjadikan awan pakaiannya dan kelam pekat kain bedungnya, ketika Kuputuskan batas baginya dan Kupasang palang serta pintu, ketika Aku berfirman, ‘Sejauh ini engkau boleh pergi tetapi tidak lebih. Di sinilah gelombangmu yang bongkak akan berhenti’? Seumur hidupmu pernahkah engkau memerintahkan terbitnya pagi, atau memberitahu fajar tempatnya, supaya ia memegang hujung-hujung bumi dan mengebaskan orang fasiq dari dalamnya? Bumi berubah seperti tanah liat yang dimateraikan, segala sesuatu menjadi seperti pakaian. Tetapi cahaya orang fasiq ditahan, dan lengan yang terangkat dipatahkan. Pernahkah engkau pergi sampai ke mata-mata air di laut, atau menjalani tempat-tempat rahsia samudera? Pernahkah pintu-pintu gerbang maut diperlihatkan kepadamu? Pernahkah kaulihat pintu-pintu gerbang bayang maut? Pernahkah kaufahami luasnya bumi? Nyatakanlah kalau engkau tahu akan semua itu. Di manakah jalan ke tempat kediaman cahaya? Di manakah tempat tinggal kegelapan, sehingga engkau dapat menghantarnya ke daerahnya dan mengetahui jalan ke rumahnya? Tentu engkau tahu kerana engkau sudah lahir pada waktu itu dan jumlah harimu sudah banyak! Pernahkah engkau masuk ke dalam perbendaharaan salji, atau melihat perbendaharaan hujan ais, yang Kusimpan untuk masa kesesakan, untuk hari pertempuran dan peperangan? Di manakah jalan tempat kilat dibahagikan, tempat angin timur disebarkan ke atas bumi? Siapakah yang membuka saluran bagi air bah dan jalan bagi kilat guruh, untuk menghujani tanah yang tidak ada orangnya, gurun yang tidak ada manusianya, untuk mengenyangkan padang yang tandus dan sunyi, serta untuk menumbuhkan tunas-tunas rumput muda? Apakah hujan itu berayah? Atau, siapakah yang menyebabkan titik-titik embun lahir? Daripada kandungan siapakah keluar ais? Siapakah yang melahirkan embun beku di langit, ketika air mengeras seperti batu dan permukaan samudera membeku? Dapatkah engkau mengikat gugusan bintang Kartika, atau melepaskan ikatan bintang Belantik? Dapatkah engkau mengeluarkan rasi-rasi bintang pada masanya, atau memandu bintang Biduk dengan anak-anaknya? Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit? Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi? Dapatkah engkau menyaringkan suaramu sampai ke awan, atau meliputi dirimu dengan air bah? Dapatkah engkau mengutus petir sehingga mereka pergi sambil berkata kepadamu, ‘Inilah kami’? Siapakah yang menaruh hikmah di dalam batin? Atau, siapakah yang memberikan pengertian kepada fikiran? Siapakah yang dapat mengira jumlah awan dengan hikmah? Siapakah yang dapat mencurahkan isi kirbat-kirbat langit, ketika debu jadi keras dan gumpalan-gumpalan tanah berlekatan? Dapatkah engkau memburu mangsa bagi singa betina, atau mengenyangkan anak singa yang lapar ketika singa-singa itu meringkuk di sarang, dan menunggu di belukar? Siapakah yang menyediakan bekal bagi burung gagak ketika anak-anaknya berteriak kepada Allah dan berkeliaran kerana kekurangan makanan?