AYUB 30:1-15

AYUB 30:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Tetapi sekarang aku ditertawakan mereka yang lebih muda daripadaku, yang sepatutnya ayah-ayah mereka kupandang terlalu hina untuk ditempatkan bersama dengan anjing penjaga kawanan dombaku. Apatah lagi, apa gunanya bagiku kekuatan tangan mereka? Mereka sudah kehabisan tenaga. Mereka kurus kerana kekurangan dan kelaparan, mereka menggerumit tanah yang gersang di padang yang tandus dan sunyi. Mereka memetik rumput garam di antara semak dan akar pokok arar menjadi makanan mereka. Mereka dihalau daripada kalangan manusia, orang meneriaki mereka seperti meneriaki pencuri. Mereka harus berdiam di alur-alur sungai kering, di lubang-lubang tanah dan ceruk-ceruk batu. Di tengah-tengah semak-semak mereka menjerit, di bawah belukar mereka berkumpul. Mereka kalangan anak orang bodoh dan kalangan anak orang yang tidak dikenal, mereka didepak dari negeri. Sekarang, aku menjadi lagu ejekan mereka, aku menjadi sindiran bagi mereka. Mereka mengejikan aku, menjauhkan diri daripadaku, dan tidak segan-segan meludahi mukaku. Kerana Allah telah melepaskan tali busur-Nya dan menindas aku, mereka pun tidak mengekang diri di hadapanku. Di sebelah kananku gerombolan bangkit. Mereka menolak kakiku, dan membina jalan kemalangan untuk menyerang aku. Mereka membongkar jalanku, mengambil untung daripada bencanaku, padahal mereka sendiri tidak punya penolong. Mereka datang seolah-olah melalui lubang tembok yang lebar; di tengah-tengah kehancuran, mereka datang bergulung-gulung. Kegentaran meliputi diriku, kemuliaanku diburu seperti oleh angin, kesejahteraanku lenyap seperti awan.