AYUB 1:5-8
AYUB 1:5-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas setiap jamuan, pada esok paginya, Ayub akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bagi setiap anaknya untuk menyucikan mereka. Dia sentiasa berbuat demikian kerana pada fikirannya, mungkin salah seorang anaknya telah berdosa dan menghina Allah dengan tidak sengaja. Pada suatu hari makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN, dan Si Penggoda juga hadir bersama-sama mereka. TUHAN bertanya kepada Si Penggoda, “Dari mana engkau?” Si Penggoda menjawab, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.” TUHAN berfirman, “Adakah engkau perhatikan Ayub, orang yang mengabdi kepada-Ku? Di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Dia beribadat kepada-Ku dan sungguh berhati-hati supaya tidak berbuat jahat.”
AYUB 1:5-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah berlalunya hari-hari jamuan itu, Ayub akan memanggil dan menyucikan mereka. Dia akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bakaran menurut jumlah mereka semua, kerana fikir Ayub, “Jangan-jangan anak-anakku telah berdosa dan mengutuk Allah dalam hati mereka.” Demikianlah yang sentiasa dilakukan oleh Ayub. Pada suatu hari datanglah anak-anak Allah menghadap TUHAN, dan Iblis turut sama dalam kalangan itu. Berfirmanlah TUHAN kepada Iblis, “Dari mana engkau datang?” Jawab Iblis kepada TUHAN, “Dari berjalan ke sana ke mari di bumi dan menjelajahinya.” Firman TUHAN kepada Iblis, “Sudahkah kauperhatikan hamba-Ku Ayub? Sesungguhnya, tidak ada orang yang seperti dia di bumi. Dia tidak bercela, tulus, dan takut kepada Allah serta menjauhi kejahatan.”