YOHANES 9:6-12
YOHANES 9:6-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” (Dalam bahasa Ibrani kata “Siloam” bererti “Diutus”.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat. Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Beberapa orang berkata, “Memang dia,” tetapi yang lain berkata, “Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi orang itu sendiri berkata, “Sayalah dia.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.” Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?” Dia menjawab, “Saya tidak tahu.”
YOHANES 9:6-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun sŭtlah sudahlah iya bŭrkata dŭmkian, maka bŭrludahlah iya ditanah, lalu dibuatnya lŭmbek dŭngan ludahnya, sŭrta disapukannya mata orang buta itu dŭngan tanah lŭmbek itu: Sŭrta bŭrkata padanya, Pŭrgilah angkau basoh dirimu dalam kolam Siloam, (yang tŭrsalin artinya disuroh) maka sŭbab itu pŭrgilah iya mŭmbasoh dirinya, lalu kŭmbalilah iya dŭngan chŭlek. Sŭbab itu maka kata orang yang sŭkampong dŭngan dia itu, dan orang lain pun yang dahulu tŭlah mŭlihat tŭtkala butanya; maka kata marika itu, Bahwa bukankah iya ini dia orang yang dudok mŭminta sŭdŭkah itu? Maka kata sŭtŭngah orang, Bahwa inilah dia; dan ada orang lain lain pula bŭrkata, Iya itu srupa dŭngan dia; tŭtapi iya sŭndiri bŭrkata, Akulah dia. Maka sŭbab itu bŭrkatalah marika itu padanya, Bagimanakah matamu sudah chŭlek? Maka sahutnya katanya, Ada sa’orang orang yang bŭrnama Isa, maka dibuatnya tanah lŭmbek, disapukannya pada mataku, sŭrta katanya, pŭrgilah angkau kapada kolam Siloam basoh, maka pŭrgilah aku lalu kubasoh, maka aku dapatlah mŭlihat. Kumdian maka kata marika itu padanya, Manakah dia? Maka katanya, Aku tiada tahu itu.
YOHANES 9:6-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas itu, Yesus berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu. Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam” (Siloam bererti “diutus” dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat. Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Ada yang berkata, “Ya, dialah.” Ada pula yang berkata, “Bukan, hanya serupa dengannya.” Tetapi orang itu sendiri mengaku, “Akulah orang itu.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat.” Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?” Dia menjawab, “Aku tidak tahu.”