YOHANES 9:22-34

YOHANES 9:22-34 Alkitab Berita Baik (BM)

Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.” Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, “Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.” Orang itu menjawab, “Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.” Mereka bertanya lagi, “Apa yang dilakukannya kepadamu? Bagaimanakah dia mencelikkan matamu?” Orang itu menjawab, “Hal itu sudah saya jelaskan kepada tuan-tuan, tetapi tuan-tuan tidak mahu mendengarnya. Mengapakah tuan-tuan mahu mendengarnya lagi? Adakah tuan-tuan pun mahu menjadi pengikutnya?” Mereka mencaci dia dan berkata, “Kamu pengikut dia; kami pengikut Musa. Kami tahu bahawa Allah berfirman kepada Musa, tetapi tentang orang itu kami tidak tahu dari mana asalnya.” Orang itu berkata, “Sungguh menghairankan! Tuan-tuan tidak mengetahui asalnya, namun dia sudah mencelikkan mata saya! Kita tahu bahawa Allah tidak mendengarkan permintaan orang berdosa. Allah hanya mendengarkan permintaan orang yang menghormati Dia dan melakukan kehendak-Nya. Sejak permulaan dunia, orang belum pernah mendengar berita tentang seorang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir. Jika orang ini tidak berasal daripada Allah, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa.” Mereka berkata kepadanya, “Kamu orang berdosa sejak kamu dilahirkan. Adakah kamu cuba mengajar kami?” Lalu mereka melarang dia masuk ke rumah ibadat.

YOHANES 9:22-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun ibu bapanya mŭngatakan dŭmkian, sŭbab takotnya akan orang orang Yahudi; kŭrna marika itu sudah bŭrfakat, jikalau barang siapa mŭngaku dia Almasih, bahwa orang itu akan dibuangkan deri dalam kŭnisa. Maka itulah sŭbabnya ibu bapanya bŭrkata, Iya sudah sampie umornya, tanyalah akan dia. Maka pada skali lagi dipanggil ulih marika itu akan orang yang tŭlah buta itu, lalu bŭrkata padanya, Pujilah angkau akan Allah, kŭrna kami kŭtahui, bahwa orang itulah orang bŭrdosa. Maka sahutnya, Ŭntah iya bŭrdosakah, atau tidak, sahya tiadalah tahu itu, mŭlainkan yang sahya tahu, dahulu sahya buta, skarang sahya chŭlek. Maka kata marika itu pula padanya, Apakah dibuatnya akan dikau, dan bagimanakah hal dichŭlekkannya matamu itu? Maka disahutnya pada marika itu, Sudahlah sahya katakan itu pada kamu, tŭtapi kamu ta’mahu mŭnŭngar itu, mŭngapa kamu handak mŭnŭngar pula, mahukah kamu pun mŭnjadi umatnya? Lalu ditŭngkinglah ulih marika itu akan dia, sambil bŭrkata, Angkaulah umatnya, tŭtapi kita orang umat Musa adanya. Kami kŭtahui Allah tŭlah bŭrkata kata kapada Musa, tŭtapi orang ini tiadalah kami kŭtahui deri mana datangnya. Maka sahut orang itu, lalu bŭrkata kapada marika itu, Inilah suatu pŭrkara ajaib, kamu tiada tahu deri manakah datangnya, akan tŭtapi iya sudah juga mŭnchŭlekkan mataku. Lagi pun kita tahu, bahwa Allah tiada mŭnŭrima akan doa orang yang bŭrdosa, mŭlainkan jikalau barang siapa yang bŭrbakti kapada Allah, dan bŭrbuat kahandaknya, maka ditrima Allah akan doa orang itu. Bahwa deripada ahwal dunia bŭlom pŭrnah didŭngar sa’orang manusia tŭlah mŭnchŭlekkan mata orang yang dipranakkan dŭngan butanya. Jikalau orang itu bukannya deripada Allah, maka tiadalah iya bulih mŭmbuat barang suatu. Maka sahut marika itu padanya, Adapun angkau ini tŭlah jadi dalam dosa sŭmata mata, maka angkau handak mŭngajar pada kamikah? Lalu ditolakkannya akan dia kluar.

YOHANES 9:22-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Yesus itu Kristus akan disingkirkan daripada saumaah. Maka oleh itulah ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa, tanyalah dia.” Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, “Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.” Dia menjawab, “Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dahulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.” Mereka bertanya lagi, “Apa yang dibuat-Nya kepadamu? Bagaimana Dia mencelikkan matamu?” Dia menjawab, “Aku telah pun memberitahumu, tetapi kamu tidak mendengar. Mengapakah kamu hendak mendengarnya lagi? Adakah kamu ingin menjadi murid-Nya juga?” Mereka mencacinya dan berkata, “Kamulah murid-Nya. Kami murid Musa. Kami tahu Allah berfirman kepada Musa. Orang itu, tiada siapa yang tahu dari mana Dia datang.” “Hairan sekali,” kata orang yang dahulunya buta itu. “Kamu tidak tahu dari mana Dia datang, tetapi Dia telah mencelikkan mataku! Kita tahu bahawa Allah tidak mendengar permintaan orang berdosa. Tetapi jika seseorang takut akan Allah dan melakukan kehendak-Nya, Allah akan mendengar permintaannya. Sejak permulaan dunia, belum pernah kedengaran kisah orang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir. Jika orang itu bukan daripada Allah, tidaklah dapat Dia melakukannya.” Mereka berkata kepadanya, “Kamu orang berdosa sejak lahir. Kamu hendak cuba mengajar kami?” Mereka pun menghalaunya keluar.