YOHANES 9:18-25
YOHANES 9:18-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya, lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?” Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir. Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.” Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.” Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, “Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.” Orang itu menjawab, “Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.”
YOHANES 9:18-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi tiada pŭrchaya orang orang Yahudi deri halnya itu tŭlah buta, skarang tŭlah chŭlek, sahingga dipanggil ulih marika itu ibu bapa orang yang sudah chŭlek itu. Maka ditanya marika itu kapada ibu bapanya, katanya, Iyakah ini anakmu yang kamu kata iya tŭlah dipranakkan dŭngan butanya, skarang bagimanakah iya bulih chŭlek pula? Maka jawab ibu bapa orang itu kapada marika itu, Kami kŭtahui iya itu anak kami, dan iya dipranakkan dŭngan butanya: Tŭtapi bagimanakah halnya iya tŭlah chŭlek ini, tiadalah kami kŭtahui, atau siapakah yang tŭlah mŭnchŭlekkan matanya, tiadalah kami kŭtahui; adapun iya itu sudah sampie umornya, tanyalah akan dia, iya bulih mŭmbri jawab akan hal dirinya. Adapun ibu bapanya mŭngatakan dŭmkian, sŭbab takotnya akan orang orang Yahudi; kŭrna marika itu sudah bŭrfakat, jikalau barang siapa mŭngaku dia Almasih, bahwa orang itu akan dibuangkan deri dalam kŭnisa. Maka itulah sŭbabnya ibu bapanya bŭrkata, Iya sudah sampie umornya, tanyalah akan dia. Maka pada skali lagi dipanggil ulih marika itu akan orang yang tŭlah buta itu, lalu bŭrkata padanya, Pujilah angkau akan Allah, kŭrna kami kŭtahui, bahwa orang itulah orang bŭrdosa. Maka sahutnya, Ŭntah iya bŭrdosakah, atau tidak, sahya tiadalah tahu itu, mŭlainkan yang sahya tahu, dahulu sahya buta, skarang sahya chŭlek.
YOHANES 9:18-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Orang Yahudi enggan percaya bahawa orang itu dahulu buta matanya. Oleh itu, mereka memanggil ibu bapanya. Mereka bertanya, “Benarkah dia anak kamu yang buta sejak lahir? Bagaimana pula dia boleh celik?” Ibu bapa orang itu menjawab, “Ya, benar dia anak kami yang buta sejak lahir. Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang dan siapa yang menyembuhkan matanya. Dia sudah dewasa, tanyalah dia. Dia dapat menjawab sendiri.” Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Yesus itu Kristus akan disingkirkan daripada saumaah. Maka oleh itulah ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa, tanyalah dia.” Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, “Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.” Dia menjawab, “Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dahulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.”