YOHANES 9:14-23

YOHANES 9:13-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus meliat tanah dan mencelikkan mata seorang buta pada hari Sabat. Oleh itu, orang yang tadinya buta dibawa kepada beberapa orang Farisi. Kemudian mereka bertanya kepadanya bagaimana dia dapat melihat. Dia berkata, “Orang itu menyapukan tanah liat pada mata saya, lalu saya membasuh muka dan saya dapat melihat.” Beberapa orang Farisi itu berkata, “Orang yang melakukan hal ini tidak mungkin berasal daripada Allah, kerana Dia tidak mentaati peraturan hari Sabat.” Yang lain berkata, “Bagaimanakah seorang berdosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” Lalu timbullah pertentangan pendapat di kalangan mereka. Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, “Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?” “Dia nabi,” jawabnya. Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya, lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?” Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir. Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.” Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.”

YOHANES 9:14-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun tŭtkala Isa mŭmbuat tanah lŭmbek dan mŭnchŭlekkan matanya itu, iya itu hari Sabtu. Maka ditanya pula ulih orang orang Farisia skali lagi kapadanya, Bagimana iya bulih mŭlihat; maka katanya pada marika itu, Dibubohnya tanah lŭmbek pada mataku, maka aku basohkan lalu chŭlek. Sŭbab itu bŭrkata sŭtŭngah deripada orang Farisia, Adapun orang itu bukannya deripada Allah, kŭrna iya tiada indahkan hari sabtu. Maka kata pula orang orang lain, Bagimanakah bulih orang bŭrdosa itu mŭmbuat mujizat dŭmkian? Maka jadilah pŭrslisihan diantara marika itu. Hata maka kŭmbalilah pula marika itŭ bŭrkata kapada orang yang tŭlah buta itu, Apakah katamu akan hal orang yang mŭnchŭlekkan matamu itu? Maka jawabnya, Iya itu Nabi. Tŭtapi tiada pŭrchaya orang orang Yahudi deri halnya itu tŭlah buta, skarang tŭlah chŭlek, sahingga dipanggil ulih marika itu ibu bapa orang yang sudah chŭlek itu. Maka ditanya marika itu kapada ibu bapanya, katanya, Iyakah ini anakmu yang kamu kata iya tŭlah dipranakkan dŭngan butanya, skarang bagimanakah iya bulih chŭlek pula? Maka jawab ibu bapa orang itu kapada marika itu, Kami kŭtahui iya itu anak kami, dan iya dipranakkan dŭngan butanya: Tŭtapi bagimanakah halnya iya tŭlah chŭlek ini, tiadalah kami kŭtahui, atau siapakah yang tŭlah mŭnchŭlekkan matanya, tiadalah kami kŭtahui; adapun iya itu sudah sampie umornya, tanyalah akan dia, iya bulih mŭmbri jawab akan hal dirinya. Adapun ibu bapanya mŭngatakan dŭmkian, sŭbab takotnya akan orang orang Yahudi; kŭrna marika itu sudah bŭrfakat, jikalau barang siapa mŭngaku dia Almasih, bahwa orang itu akan dibuangkan deri dalam kŭnisa. Maka itulah sŭbabnya ibu bapanya bŭrkata, Iya sudah sampie umornya, tanyalah akan dia.