YOHANES 9:1-11
YOHANES 9:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Semasa Yesus berjalan, Dia melihat seorang yang buta sejak lahir. Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?” Yesus menjawab, “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Allah boleh dinyatakan dalam hidupnya. Selama hari masih terang, kita harus melakukan tugas yang diberikan oleh Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa. Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” (Dalam bahasa Ibrani kata “Siloam” bererti “Diutus”.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat. Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Beberapa orang berkata, “Memang dia,” tetapi yang lain berkata, “Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi orang itu sendiri berkata, “Sayalah dia.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.”
YOHANES 9:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BŬRMULA tŭtkala Isa itu lalu, maka dilihatnya sa’orang orang buta deripada mula jadinya. Maka bŭrtanyalah murid muridnya katanya, Guru, siapakah bŭrdosa, orang inikah, atau ibu bapanyakah, sŭbab iya ini dipranakkan buta? Maka sahut Isa, Bukannya orang ini bŭrdosa, dan bukannya ibu bapanya pun, mŭlainkan supaya kŭlak pŭrbuatan Allah itu dinyatakan sŭbabnya. Maka dapat tiada aku mŭngŭrjakan pŭkŭrjaan Allah yang mŭnyurohkan aku, sŭlagi hari siang, maka apabila datang malam kŭlak, pada waktu itu tiadalah bulih sa’orang pun bŭkŭrja. Maka sŭlagi aku ada dalam dunia, bahwa aku mŭnjadi trang dunia. Adapun sŭtlah sudahlah iya bŭrkata dŭmkian, maka bŭrludahlah iya ditanah, lalu dibuatnya lŭmbek dŭngan ludahnya, sŭrta disapukannya mata orang buta itu dŭngan tanah lŭmbek itu: Sŭrta bŭrkata padanya, Pŭrgilah angkau basoh dirimu dalam kolam Siloam, (yang tŭrsalin artinya disuroh) maka sŭbab itu pŭrgilah iya mŭmbasoh dirinya, lalu kŭmbalilah iya dŭngan chŭlek. Sŭbab itu maka kata orang yang sŭkampong dŭngan dia itu, dan orang lain pun yang dahulu tŭlah mŭlihat tŭtkala butanya; maka kata marika itu, Bahwa bukankah iya ini dia orang yang dudok mŭminta sŭdŭkah itu? Maka kata sŭtŭngah orang, Bahwa inilah dia; dan ada orang lain lain pula bŭrkata, Iya itu srupa dŭngan dia; tŭtapi iya sŭndiri bŭrkata, Akulah dia. Maka sŭbab itu bŭrkatalah marika itu padanya, Bagimanakah matamu sudah chŭlek? Maka sahutnya katanya, Ada sa’orang orang yang bŭrnama Isa, maka dibuatnya tanah lŭmbek, disapukannya pada mataku, sŭrta katanya, pŭrgilah angkau kapada kolam Siloam basoh, maka pŭrgilah aku lalu kubasoh, maka aku dapatlah mŭlihat.
YOHANES 9:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus sedang lalu di suatu tempat, Dia terpandang seorang lelaki yang buta sejak lahir. Para murid-Nya bertanya, “Rabbi, siapakah yang berdosa, orang itu atau ibu bapanya, maka dia dilahirkan buta?” Yesus menjawab, “Bukan dosa dia dan bukan juga dosa ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya. Selagi siang, kita mesti melakukan tugas Dia yang telah mengutus-Ku. Malam akan tiba apabila seorang pun tidak dapat melakukan apa-apa lagi. Selama Aku di dunia, Akulah cahaya dunia.” Selepas itu, Yesus berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu. Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam” (Siloam bererti “diutus” dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat. Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Ada yang berkata, “Ya, dialah.” Ada pula yang berkata, “Bukan, hanya serupa dengannya.” Tetapi orang itu sendiri mengaku, “Akulah orang itu.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat.”