YOHANES 8:1-12

YOHANES 8:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian semua orang pulang ke rumah, tetapi Yesus pergi ke Bukit Zaitun. Keesokan harinya, pagi-pagi sekali Dia pergi ke Rumah Tuhan dan semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mula mengajar mereka. Sementara itu guru Taurat dan orang Farisi membawa seorang wanita kepada Yesus. Wanita itu didapati berzina. Mereka menyuruh wanita itu berdiri di hadapan semua orang, lalu berkata kepada Yesus, “Guru, wanita ini tertangkap basah ketika berzina. Di dalam kitab Taurat, Musa memerintahkan agar wanita seperti ini direjam sehingga mati. Tetapi apakah pendapat guru?” Mereka bertanya demikian kerana hendak memerangkap Yesus, supaya mereka boleh menuduh Dia. Tetapi Yesus menunduk dan menulis di tanah dengan jari-Nya. Mereka terus-menerus bertanya kepadanya. Oleh itu Yesus meluruskan badan-Nya dan berkata kepada mereka, “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia.” Setelah itu Yesus menunduk semula dan menulis lagi di atas tanah. Apabila mereka mendengar Yesus berkata demikian, seorang demi seorang, mulai daripada yang tertua, meninggalkan tempat itu. Akhirnya hanya Yesus dan wanita yang masih berdiri itu ada di sana. Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada wanita itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang menghukum kamu?” “Tidak ada, tuan,” jawabnya. “Baiklah,” kata Yesus, “Aku pun tidak menghukum kamu. Pergilah dan janganlah berdosa lagi.”] Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.”

YOHANES 8:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA maka Isa pun pŭrgilah kabukit Zieton. Maka pada pagi pagi hari, datanglah pula iya kŭdalam ka’abah, maka sŭmua kaum pun datanglah kapadanya, lalu dudoklah iya mŭngajar akan marika itu. Maka khatib khatib, dan orang orang Farisia pun mŭmbawa sa’orang pŭrampuan yang tŭlah kŭdapatan bŭrzinah; maka sŭtlah didirikan ulih marika itu akan dia ditŭngah tŭngah, Maka bŭrkatalah marika itu kapada Isa, Guru, bahwa pŭrampuan ini tŭlah kŭdapatan tŭngah iya bŭrzinah. Adapun Musa tŭlah bŭrsabda dalam tauret, orang yang dŭmkian halnya harus dirŭjam dŭngan batu; skarang apakah kata angkau? Adapun marika itu bŭrkata dŭmkian, sŭbab handak mŭnchobai akan dia, supaya mŭndapat jalan akan mŭnudohi dia. Maka tundok juga Isa kŭbawah, sambil mŭnulis dŭngan jarinya ditanah. Hata maka apabila marika itu bŭrtanya bŭrulang ulang, maka diangkatkannya kŭpalanya, sambil bŭrkata kapada marika itu, Adapun orang yang tiada bŭrdosa diantara kamu, biarlah iya dahulu mŭrŭjam akan pŭrampuan ini. Maka kumdian tundoklah iya kŭbawah mŭnulis ditanah pula. Maka dŭmi didŭngar ulih orang orang itu akan pŭrkataan itu, sŭbab kŭna tŭmplak angan angan hatinya sŭndiri, lalu kluarlah iya sa’orang dŭmi sa’orang, deripada bŭsar dan kŭchil, maka tinggallah Isa sa’orang dirinya, maka pŭrampuan itu pun ada lagi tŭrdiri juga ditŭngah tŭngah. Hata maka Isa mŭngangkatkan kŭpalanya, maka dilihatnya pŭrampuan itu sahja, lalu bŭrkatalah iya kapadanya, Hie pŭrampuan, kŭmanakah sagala orang yang mŭngadukan kŭsalahanmu itu, tiadakah sa’orang pun mŭnghukumkan dikau? Maka jawab pŭrampuan itu, Sa’orang pun tiada Tuhan. Maka kata Isa padanya, Bahwa aku pun tiada mŭnghukumkan dikau; pŭrgilah angkau, jangan buat dosa lagi. ¶ Bŭrmula maka bŭrkatalah Isa lagi pada marika itu, Bahwa aku inilah trang dunia itu, maka barang siapa yang mŭngikot aku, maka tiada iya bŭrjalan dalam gŭlap, mŭlainkan iya akan bŭrulih trang hidop itu.

YOHANES 8:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Akan tetapi, Yesus pergi ke Bukit Zaitun. Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke Bait Suci. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka. Ahli Taurat dan orang Farisi membawa kepada Yesus seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ. Mereka berkata kepada Yesus, “Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina. Dalam hukum Taurat, Musa memberikan perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?” Mereka bertanya demikian untuk menduga Yesus supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya. Tetapi Yesus tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya. Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, “Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.” Kemudian Yesus tunduk menulis semula di tanah. Setelah mendengar kata-kata Yesus, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Yesus dan perempuan itu yang tinggal. Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?” Perempuan itu menjawab, “Tidak ada, Tuhan.” Yesus berkata, “Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.” Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.”