YOHANES 6:25-70
YOHANES 6:25-70 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila mereka berjumpa dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Guru, bilakah guru sampai di sini?” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal. Itulah makanan yang akan diberikan oleh Anak Manusia kepada kamu, kerana Dia sudah dilantik oleh Allah Bapa.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?” Yesus berkata, “Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan? Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: ‘Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.’ ” Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.” “Guru,” kata mereka, “berilah kami roti itu selalu.” “Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya. Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.” Orang Yahudi di situ mula bersungut-sungut terhadap Yesus, kerana Dia berkata, “Aku roti yang turun dari syurga.” Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus, anak Yusuf? Kami mengenal ibu bapanya. Bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia turun dari syurga?” Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bersungut-sungut sesama sendiri. Tidak seorang pun dapat datang kepada-Ku, kecuali Bapa yang mengutus Aku, memimpin dia datang kepada-Ku lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. Di dalam Kitab Nabi-Nabi tertulis, ‘Semua orang akan diajar oleh Allah.’ Oleh itu sesiapa yang mendengar Bapa dan belajar daripada-Nya, datang kepada-Ku. Hal ini tidak bererti bahawa orang sudah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah sudah melihat Bapa. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal. Akulah roti yang memberikan hidup. Nenek moyang kamu makan manna di padang gurun, dan mereka mati juga. Tetapi tidak demikian halnya dengan roti yang turun dari syurga; orang yang makan roti itu tidak akan mati. Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup.” Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. “Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?” kata mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia. Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku. Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.” Semuanya ini dikatakan oleh Yesus semasa Dia mengajar di rumah ibadat di Kapernaum. Banyak pengikut-Nya mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, “Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?” Tanpa diberitahu, Yesus tahu bahawa pengikut-pengikut-Nya bersungut-sungut tentang hal itu. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Adakah hal itu menyebabkan kamu tidak mahu percaya lagi? Bagaimanakah jika kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Yang menyebabkan manusia hidup ialah Roh Allah. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat melakukannya. Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup. Namun ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” (Yesus tahu dari mulanya siapa-siapa yang tidak mahu percaya, dan orang yang akan mengkhianati Dia.) Dia berkata lagi, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu bahawa tidak seorang pun boleh datang kepada-Ku, kecuali Bapa memperkenankannya.” Sejak itu banyak pengikut Yesus meninggalkan Dia dan tidak mahu mengikut Dia lagi. Oleh itu Yesus bertanya kepada dua belas orang pengikut-Nya, “Adakah kamu pun akan meninggalkan Aku?” Simon Petrus berkata kepada-Nya, “Ya Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuhan memberikan hidup sejati dan kekal. Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuhan utusan suci daripada Allah.” Yesus menjawab, “Bukankah Aku memilih kamu dua belas orang ini, namun seorang daripada kamu ini syaitan?”
YOHANES 6:25-70 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun apabila marika itu mŭndapat akan dia disŭbrang tasik itu, maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Rabbi, bilakah angkau datang kŭmari ini? Maka sahut Isa kapada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, adapun kamu mŭnchari aku ini bukannya sŭbab kamu tŭlah mŭlihat mujizat itu, mŭlainkan sŭbab kamu sudah makan roti itu dŭngan kŭnyangnya. Maka janganlah kiranya kamu bŭrlŭlah lŭlah sŭbab mŭncharoti yang fana, mŭlainkan roti yang baka sampie hidop slama lamanya, yang tŭlah dibri ulih Anak manusia kapadamu, kŭrna dialah yang tŭlah dimutriekan ulih Allah Ayah itu. Arkian maka bŭrtanyalah marika itu kapadanya, Apakah yang patut kami bŭrbuat, supaya dapat kami mŭngŭrjakan sagala pŭkŭrjaan Allah? Maka sahut Isa pada marika itu, Bahwa inilah pŭkŭrjaan yang dikahandaki Allah, maka handaklah kamu pŭrchaya akan orang yang disurohnya itu. Maka sŭbab itu bŭrkatalah marika itu padanya, Apakah tandah yang angkau tunjokkan kapada kami yang bulih kami mŭlihat dan pŭrchaya akan dikau, apakah yang angkau kŭrja? Adapun nenek moyang kami skalian tŭlah makan maana dipadang bŭlantara spŭrti yang sudah tŭrsurat dalam kitab, Bahwa iya sudah mŭmbri makan pada marika itu roti deri langit. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, Musa tiada mŭmbri kapadamu roti deri shorga itu; tŭtapi Ayahku ada mŭmbri padamu roti deri shorga yang bŭtol itu. Kŭrna roti Allah iya itulah dia yang turon deri shorga akan mŭnghidopkan isi dunia. Sŭtlah itu maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Tuhan brilah kiranya pada kami sŭntiasa roti itu. Maka kata Isa pada marika itu, Bahwa aku inilah roti hidop itu, maka barang siapa yang datang kapadaku tiadalah iya akan lapar lagi, dan barang siapa yang pŭrchaya akan daku, tiadalah iya akan dahaga lagi. Tŭtapi aku bŭrkata padamu, kamu tŭlah mŭlihat akan daku, maka tiada juga kamu pŭrchaya. Sagala orang yang dibri ulih Ayahku akan daku itu nŭschaya datanglah iya kapadaku, maka barang siapa yang datang kapadaku itu, maka skali kali tiada aku mŭnolakkan dia. Kŭrna aku turon deri shorga bukannya sŭbab bŭrbuat kahandak diriku, mŭlainkan sŭbab kahandak iya yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka dŭmkianlah adanya kahandak Ayah itu yang tŭlah mŭnyurohkan aku, iya itu sagala orang yang dibrinya padaku itu janganlah sa’orang pun binasa, mŭlainkan patut aku hidopkan pula dia pada hari kumdian. Shahadan maka inilah kahandak Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku itu, Bahwa barang siapa yang mŭngŭnal Anak itu, dan pŭrchaya akan dia, maka iya itu bŭrulih hayat yang kŭkal, maka aku pun kŭlak mŭnghidopkan dia pada hari kumdian. Hata maka bŭrsungutlah orang Yahudi akan dia, sŭbab katanya, Bahwa aku inilah roti yang tŭlah turon deri shorga. Maka kata marika itu, Bukankah iya ini Isa anak Yusof itu; kami kŭnal ayah bondahnya, maka bagimanakah iya bŭrkata, bahwa aku sudah turon deri shorga? Sŭbab itu maka disahut Isa pada marika itu, Janganlah kamu bŭrsungut antara kamu sŭndiri. Bahwa sa’orang pun tiada bulih datang kapadaku, jikalau tiada Ayah yang mŭnyurohkan aku mŭnggrakkan dia, maka aku akan mŭnghidopkan dia pula pada hari kumdian. Bahwa sudah tŭrsurat dalam kitab nabi nabi, Bahwa sagala marika itu akan diajar ulih Allah; maka sŭbab itu masing masing orang yang tŭlah mŭnŭngar, dan tŭlah blajar deri pada Ayah, nŭschaya datanglah iya kapadaku. Bukannya barang sa’orang sudah mŭlihat Ayah itu, mŭlainkan iya yang deripada Allah, maka iyalah yang tŭlah mŭlihat akan Ayah itu. Bahwa sungguh sungguh aku bŭrkata padamu, maka orang yang pŭrchaya akan daku, iyalah sudah bŭrulih hidop kŭkal. Aku inilah roti hidop itu. Adapun nenek moyang kamu tŭlah mŭmakan manna dalam padang bŭlantara, tŭtapi marika itu sudah mati. Maka inilah roti yang tŭlah turon deri shorga, supaya orang bulih makan roti itu, maka tiada mati. Bahwa aku inilah roti yang mŭnghidopkan yang tŭlah turon deri shorga; maka jikalau barang sa’orang makan deripada roti ini, iya nanti hidop sampie slama lamanya; adapun roti yang kubri, iya itu dagingku, maka iya itu kuhandak bri kŭrna mŭnghidopkan isi dunia. Sŭbab itu maka bŭrbantahlah orang Yahudi sa’orang dŭngan sa’orang katanya, Bagimanakah orang ini bulih mŭmbri makan pada kami dagingnya? Sŭtlah itu bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapadamu, jikalau kamu tiada makan daging Anak manusia itu, dan minum darahnya itu, maka tiadalah hayat dalam dirimu. Adapun barang siapa yang makan dagingku, dan mŭminum darahku, maka iya tŭlah mŭndapat hidop kŭkal, dan aku akan mŭnghidopkan dia pada hari kumdian. Kŭrna dagingku itulah makanan sungguh sungguh, dan darahku itulah minuman sungguh sungguh. Maka barang siapa yang mŭmakan dagingku, dan mŭminum darahku itu, iya diam dalam aku, dan aku pun diam dalam dia. Maka spŭrti Ayah yang hidop tŭlah mŭnyurohkan aku, dan aku ini hidop deripada Ayah, maka dŭmkianlah adanya orang yang mŭmakan akan daku, iyalah kŭlak hidop deri padaku. Maka inilah dia roti itu yang tŭlah turon deri shorga, iya itu bukannya spŭrti nenek moyang kamu yang tŭlah mŭmakan manna, tŭtapi sudah mati, maka orang yang mŭmakan roti ini akan hidop sampie slama lamanya. Adapun sagala pŭrkara ini dikatakan ulih Isa dalam kŭnisa, tŭtkala iya mŭngajar diKapŭrnaum. Sŭbab itu apabila banyaklah murid muridnya mŭnŭngar itu, maka kata marika itu, Bahwa pŭngajaran ini tŭrlalu kŭras, siapa bulih trima. Adapun apabila dikŭtahui Isa dalam hatinya, bahwa murid muridnya itu bŭrsungut sŭbab hal itu, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Adakah pŭrkataan ini mŭndatangkan shak kapada kamu? Maka apa lagi jikalau kiranya kamu mŭlihat Anak manusia itu naik katŭmpat asalnya itu? Bahwa Roh juga yang mŭnghidopkan, maka daging itu tiada bŭrguna; adapun sagala pŭrkataan yang aku katakan padamu itulah Roh, dan itulah hidop adanya. Tŭtapi ada juga orang diantaramu itu yang tiada pŭrchaya. Kŭrna deri mula mulanya tŭlah dikŭtahui Isa mana orang yang tiada pŭrchaya, dan mana orang yang akan mŭnyŭrahka dia. Maka katanya, Sŭbab itu aku bŭrkata padamu, bahwa sa’orang pun tiada bulih datang kapadaku, jikalau tiada dikurniakan ulih Ayahku akan dia. ¶ Maka deripada kutika itu bŭrpalinglah banyak murid muridnya, tiadalah lagi marika itu bŭrsama sama dŭngan dia. Maka sŭbab itu bŭrkatalah Isa kapada duablas orang murid muridnya itu, Kamu orang pun handak pŭrgikah? Kutika itu maka disahut ulih Simon Petros, Tuhan, kapada siapakah kami akan pŭrgi, Tuhanlah juga yang ada pŭrkataan hidop kŭkal itu. Maka kami pŭrchayalah sŭrta dŭngan yakin, bahwasanya angkau inilah Almasih, dan Anak Allah yang hidop itu. Maka disahut Isa pada marika itu, Bahwa bukankah aku tŭlah mŭmileh kamu dua blas orang? maka sa’orang deri pada kamu itu iblis adanya.
YOHANES 6:25-70 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika mereka bertemu dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Rabbi, bilakah Engkau sampai ke mari?” Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?” Yesus berkata, “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.’ ” Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.” Kemudian mereka berkata, “Tuhan, berilah kami roti itu selalu.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi. Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir. Demikianlah kehendak Bapa-Ku, iaitu setiap orang yang melihat Anak-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.” Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Yesus kerana kata-kata-Nya, “Akulah roti yang turun dari syurga.” Mereka berkata, “Bukankah Dia Yesus, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, ‘Aku turun dari syurga’?” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah merungut sesama sendiri. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. Ada tersurat dalam tulisan para nabi: ‘Semua manusia akan diajar oleh Allah.’ Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku. Tiada seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal. Akulah roti hidup. Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga. Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati. Akulah roti hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini ialah tubuh-Ku.” Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri, “Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?” Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar. Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya. Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup. Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.” Demikianlah kata-kata Yesus ketika mengajar di saumaah di Kapernaum. Antara murid yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, “Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?” Yesus tahu tanpa diberitahu akan rungutan murid-murid-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya? Bagaimana nanti kalau kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Hanya Roh Kudus memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Kudus dan memberi hidup. Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.” (Yesus mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.) Yesus berkata lagi, “Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.” Selepas itu, ramai murid Yesus menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya. Oleh yang demikian, Yesus bertanya kepada murid-Nya yang dua belas itu, “Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?” Simon Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal. Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.” Yesus berkata, “Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu ialah iblis?”