YOHANES 5:24-30
YOHANES 5:24-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup. Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.” “Aku tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Ku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku.
YOHANES 5:24-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa barang siapa yang mŭnŭngar pŭrkataanku ini, dan pŭrchaya akan dia yang tŭlah mŭnyurohkan aku, maka iya mŭndapat hidop kŭkal, dan tiada iya akan kŭna hukum seksa, mŭlainkan iya sudah bŭrpindah deripada mati kapada hidop. Bahwa sŭsungguhnya aku bŭrkata padamu, adapun waktu akan datang, dan skarang ini pun, maka apabila didŭngar ulih orang yang mati akan swara Anak Allah itu, maka orang orang yang mŭnŭngar itu kŭlak hidoplah iya adanya. Maka spŭrti Ayah itu mŭmpunyai hidop dalam dirinya, maka dŭmkianlah iya tŭlah mŭmbri pada Anaknya pun mŭmpunyai hidop dalam dirinya. Dan lagi tŭlah dibrinya pula kwasa akan mŭnjalankan hukum, sŭbab iyalah Anak manusia adanya. Maka janganlah kamu hieran, kŭrna waktunya itu akan datang, sagala orang yang deri dalam kubor akan mŭnŭngar swaranya itu. Sŭrta kluar, maka sagala orang yang bŭrbuat baik itu kŭbangkitannya kapada slamat, dan sagala orang yang bŭrbuat jahat itu kŭbangkitannya kapada binasa. Maka aku tiada bulih bŭrbuat barang sŭsuatu dŭngan kahandakku sŭndiri, yang spŭrti kudŭngar, dŭmkian kuhukumkan; adapun hukumanku itu adil adanya, kŭrna aku tiada mŭnuntut kahandakku sŭndiri, mŭlainkan kahandak Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku.
YOHANES 5:24-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudah pun sampai, ketika orang mati mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup. Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Anak-Nya juga sumber hidup. Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya, kerana Dia itu Anak Manusia. Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang di dalam kubur mendengar suara-Nya. Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum.” “Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.