YOHANES 5:1-15

YOHANES 5:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu ada satu perayaan Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. Di Yerusalem dekat Pintu Domba ada sebuah kolam yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Betesda. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Banyak orang sakit berbaring di serambi-serambi itu - yang buta, yang tempang, dan yang lumpuh. [Mereka semua menunggu air di kolam itu berkocak, kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu dan mengocakkan airnya, lalu orang sakit yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apa pun yang dihidapnya.] Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Yesus bertanya kepadanya, “Mahukah kamu sembuh?” Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya.” Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah.” Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan. Hal ini berlaku pada hari Sabat. Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, “Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.” Tetapi orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.” Mereka bertanya, “Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?” Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu. Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.” Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia.

YOHANES 5:1-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA kumdian deri pada itu, maka hari raya orang Yahudi pun sampielah; maka Isa pun pŭrgilah kaJerusalem. Maka adalah diJerusalem itu dŭkat dŭngan pintu domba suatu kolam, iya itu yang tŭrsŭbut dalam bahasa Ibrani Bethesda, maka adalah padanya itu lima buah bangsalnya. Maka dalamnya itu banyaklah orang orang yang sakit tŭrlŭtak, baik orang buta, baik orang tempang, baik chapek mŭnantikan ayer itu bŭrkochak. Kŭrna pada sa’suatu masa adalah biasa turon sa’orang Maliekat kŭdalam kolam itu mŭngochakkan ayer itu; maka barang siapa mula mula yang turon kŭdalam kolam itu, kumdian deripada ayer itu bŭrkochak, maka mŭnjadi sŭmbohlah barang pŭnyakitnya. Maka adalah disitu sa’orang orang yang tŭlah kŭna sakit tiga puloh dŭlapan tahun lamanya. Maka apabila dilihat Isa akan dia tŭrhantar, sŭrta dikŭtahuinya lama sudah iya dalam sakit itu, lalu katanya, Mahukah angkau disŭmbohkan? Maka mŭnyahutlah orang yang sakit itu katanya, Tuan, tiada orang padaku supaya dimasokkannya aku apabila ayer itu tŭrkochak; maka sŭmŭntara aku datang orang lain sudah turon tŭrlebih dahulu deripada aku. Maka kata Isa padanya, Bangunlah; angkat katilmu itu, bŭrjalanlah. Hata maka dŭngan sŭkutika itu juga sŭmbohlah orang itu, lalu diangkatnya katilnya sambil bŭrjalan; adapun hari itu, hari Sabtu adanya. ¶ Maka sŭbab itu bŭrkatalah orang orang Yahudi pada orang yang tŭlah disŭmbohkan itu, Adapun hari ini hari Sabtu, maka tiada patut angkau mŭmikol katilmu itu. Maka disahutnya akan marika itu, Bahwa orang yang tŭlah mŭnyŭmbohkan aku ini juga yang tŭlah bŭrkata kapadaku, Angkatlah katilmu itu lalu bŭrjalanlah. Maka bŭrtanyalah marika itu, Orang manakah yang bŭrkata padamu, Angkatlah katilmu lalu bŭrjalanlah. Adapun orang yang disŭmbohkan itu tiada iya mŭngŭnal siapakah dia; Kŭrna Isa sudah pŭrgi diam diam, sŭbab tŭrlalu banyak orang ditŭmpat itu. Maka kumdian deripada itu bŭrtŭmulah Isa dŭngan dia dalam ka’abah, lalu bŭrkata kapadanya, Bahwa sŭsunggohnya angkau tŭlah disŭmbohkan, maka janganlah lagi angkau bŭrdosa, lamon jangan datang barang pŭrkara yang lebih jahat atasmu pula. Maka pŭrgilah orang itu mŭmbri tahu kapada orang orang Yahudi, Bahwa Isalah yang tŭlah mŭnyŭmbohkan dia.

YOHANES 5:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus pergi ke Yerusalem pada masa suatu perayaan Yahudi. Di Yerusalem, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring — ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh — menunggu air kolam itu berkocak. Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya. Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Yesus bertanya kepadanya, “Inginkah kamu sembuh?” Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada siapa pun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dahulu.” Yesus berkata kepadanya, “Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.” Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat. Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang yang disembuhkan itu, “Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.” Orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.” Mereka pun bertanya, “Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?” Akan tetapi, orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan siapa orangnya, kerana Yesus telah menghilang di antara orang ramai di situ. Tidak lama selepas itu, Yesus bertemu dengan orang itu di dalam Bait Suci dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.” Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Yesuslah yang telah menyembuhkannya.