YOHANES 4:4-42

YOHANES 4:4-42 Alkitab Berita Baik (BM)

Dalam perjalanan-Nya ke sana Yesus harus melalui Samaria. Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” Wanita Samaria itu menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?” (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.) Yesus menjawab, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.” “Tuan,” kata wanita itu, “tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? Nenek moyang kami, Yakub, memberikan perigi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.” Wanita itu berkata, “Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air.” Yesus menjawab, “Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.” Wanita itu menjawab, “Saya tidak bersuami.” Lalu Yesus berkata, “Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.” Wanita itu berkata, “Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa. Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.” Wanita itu berkata kepada Yesus, “Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.” Yesus menjawab, “Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.” Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, “Mahu apa?” atau bertanya kepada Yesus, “Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?” Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar. Dia berkata, “Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus. Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, “Guru, silalah makan!” Tetapi Yesus menjawab, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.” Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, “Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?” Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku. Kamu berkata, ‘Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.’ Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai! Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama. Benarlah pepatah ini: ‘Yang seorang menanam, yang lain menuai.’ Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.” Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, “Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.” Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari. Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya. Mereka berkata kepada wanita itu, “Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.”

YOHANES 4:4-42 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka tŭrlebih sŭnanglah bagienya mŭmintas tanah Samaria. Hata maka sampielah iya kapada suatu nŭgri dalam tanah Samaria yang bŭrnama Siekar, iya itu dŭkat dŭngan sa’kŭping tanah yang dibri ulih Yakob akan anaknya Yusof itu. Maka adalah disitu prigi Yakob; maka sŭbab Isa tŭlah pŭnat bŭrjalan itu dudoklah iya ditŭpi prigi itu, iya itu sŭkira kira pukol duablas tŭngah hari. Maka datanglah sa’orang pŭrampuan Samaria handak mŭnimba ayer; maka kata Isa padanya, Brilah aku minum. Kŭrna murid muridnya itu sudah masok kŭdalam nŭgri mŭmbli makanan. Maka jawab pŭrampuan Samaria padanya, Bagimana bulih angkau sa’orang Yahudi mŭminta deripadaku sa’orang pŭrampuan Samaria ini? kŭrna orang orang Yahudi tiada bŭramah ramahan dŭngan orang orang Yahudi adanya. Maka sahut Isa katanya, Jikalau sŭkiranya angkau kŭtahui akan anugrah Allah itu, dan siapa yang tŭlah bŭrkata kata kapadamu, brilah minum kapadaku, nŭschaya angkau mŭmintalah deripadanya, maka dibrinyalah akan dikau ayer yang hidop. Maka jawab pŭrampuan itu katanya, Angkau tiada apa apa yang handak timba, lagi pŭrigi ini dalam, maka deri manakah garangannya angkau bulih mŭndapat ayer yang hidop itu? Lebih bŭsarkah angkau deripada moyang kami Yakob itu yang tŭlah mŭmbri akan kami pŭrigi ini? Maka iyalah tŭlah mŭminum sŭrta dŭngan isi rumahnya, dan binatang binatangnya deripada ayer prigi ini. Maka sahut Isa katanya, Barang siapa yang minum deri pada ayer ini, maka iya kŭlak akan dahaga pula: Tŭtapi barang siapa yang minum akan ayer yang kubri padanya, skali kali tiadalah iya bŭrdahaga; adapun ayer yang kubri padanya itu akan mŭnjadi suatu mata ayer dalamnya yang bŭrpancharlah sampie kapada hidop yang kŭkal. Maka kata pŭrampuan itu, Tuan, brilah sama sahya ayer itu, supaya jangan sahya dahaga, atau datang kŭmari munimba. Maka jawab Isa kapada pŭrampuan itu, Pŭrgilah angkau panggil lakimu datang kŭmari. Maka jawab pŭrampuan itu, Bahwa tiadalah sahya bŭrlaki. Maka kata Isa, Bŭtollah kata angkau, bahwa tiadalah sahya bŭrlaki. Kŭrna lima orang sudah lakimu, adapun yang ada skarang ini pun bukannya lakimu; maka derihal ini katamu bŭtul adanya. Maka kata pŭrampuan itu kapadanya, Tuan, bahwa nyatalah padaku angkau ini sa’orang nabi. Adapun nenek moyang kami sŭmbahyang dibukit ini, maka kamu bŭrkata, bahwa patutlah orang skalian sŭmbahyang diJerusalem. Maka kata Isa padanya, Hie pŭrampuan, bahwa pŭrchayalah angkau akan daku, adapun waktunya itu akan datang, maka pada masa itu kŭlak dibukit itu pun tidak, atau diJerusalem pun tidak orang mŭnyŭmbah Allah. Bahwa kamu tiada tahu apa yang kamu sŭmbahyang, adapun kami tahu apa yang kami sŭmbahyang, kŭrna slamat kŭkal itu deripada orang Yahudi. Akan tŭtapi waktu akan datang kŭlak dan ada s’karang pun, apabila orang sŭmbahyang dŭngan sŭbŭnarnya itu, maka iya itulah sŭmbahyang akan Ayah itu dŭngan Roh dan kŭbŭnaran; kŭrna Ayah itu mŭnuntut akan orang sŭmbahyang dŭngan pri yang dŭmkian itu. Adapun Allah itu Roh adanya, dan orang yang mŭnyŭmbah akan dia itu pun dapat tiada mŭnyŭmbah dŭngan Roh dan kŭbŭnaran. Maka kata pŭrampuan itu padanya, Aku tŭlah mŭngtahui bahwa Messia akan datang yang tŭrgŭlar Almasih; maka apabila iya datang kŭlak, iyalah nanti mŭngajar akan kami sagala pŭrkara. Maka jawab Isa padanya, Adapun yang bŭrkata kata dŭngan angkau ini, iya itulah dia. ¶ Hata maka datanglah murid muridnya pada kutika itu sŭrta hieran akan mŭlihat Isa bŭrkata kata dŭngan pŭrampuan itu, tŭtapi sa’orang pun deripada marika itu tiada kata, Apakah angkau kahandaki, atau mŭngapakah angkau bŭrtutor dŭngan pŭrampuan ini? Maka pŭrampuan itu pun mŭninggalkan buyongnya, lalu masok kŭdalam nŭgri, sŭrta bŭrkata kapada orang orang. Marilah lihat ada sa’orang orang yang tŭlah mŭngatakan kapada aku sagala pŭrkara yang tŭlah kupŭrbuat; bukankah ini Almasih? Sŭtlah itu maka kluarlah bŭbrapa orang deri dalam nŭgri itu datang mŭndapatkan Isa. ¶ Bŭrmula maka antara itu, adalah murid muridnya mŭminta kapadanya katanya, Guru makanlah. Maka jawab Isa kapadanya, Ada kapadaku rŭzki akan makananku yang tiada kamu kŭtahui. Sŭbab itu maka kata murid muridnya itu sa’orang dŭngan sa’orang, Adakah garangannya orang mŭmbawa akan apa apa makanan kapadanya? Maka kata Isa pada marika itu, Adapun rŭzkiku itu, iya itu akan bŭrbuat kahandak Allah yang tŭlah mŭnyurohkan aku, sŭrta mŭnyampornakan pŭkŭrjaannya. Bukankah kamu bŭrkata, Bahwa ampat bulan lagi bahru datang musim orang mŭnuwie? sŭsungguhnya aku bŭrkata padamu, angkatlah matamu, lihatlah pada ladang ladang itu, kŭrna sampie putehlah sudah pŭnuwieannya. Maka orang yang mŭnuwie itu mŭndapat upah, dan mŭngumpolkan buah buahan itu sampie kapada kahidopan yang kŭkal, supaya orang yang mŭnabor dan yang mŭnuwie itu pun bŭrsama sama tŭrmasalah. Maka inilah pŭrkataan yang bŭnar: iya itu, bahwa sa’orang mŭnabor, dan sa’orang lain mŭnuwie. Bahwa aku mŭnyurohkan kamu mŭnuwie pŭrkara yang tiada kamu pŭnat lŭlahkan dia, maka orang lain bŭrlŭlah, tŭtapi kamu tŭlah mŭndapat kŭlŭlahannya. ¶ Shahadan maka banyaklah orang Samaria dalam nŭgri itu pŭrchayalah akan Isa, sŭbab pŭrkataan pŭrampuan itu yang mŭnyatakan, Bahwa orang itu mŭngatakan padaku sagala pŭrkara yang tŭlah kupŭrbuat itu. Maka sŭbab itulah sŭtlah datang orang orang Samaria itu kapada Isa, maka dipinta supaya iya tinggal bŭrsama sama dŭngan dia orang. Maka tinggallah iya disana dua hari. Maka banyaklah pula orang yang lain pun pŭrchaya sŭbab mŭnŭngar pŭrkataan Isa sŭndiri. Maka bŭrkatalah marika itu kapada pŭrampuan itu, Adapun skarang kami pŭrchaya, bukannya sŭbab pŭrkataanmu, kŭrna kami sŭndiri tŭlah mŭnŭngar dan mŭngŭtahui, bahwa inilah sungguh sungguh Almasih itu, iya itu Pŭnulong orang isi dunia.

YOHANES 4:4-42 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dalam perjalanan-Nya itu, Yesus semestinya melalui Samaria. Di Samaria, Yesus sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Yesus duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam keenam. Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” Murid-murid Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Perempuan Samaria itu menjawab, “Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?” (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.) Yesus menjawab, “Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, ‘Berilah Aku minum,’ tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.” Perempuan itu berkata, “Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.” Perempuan itu berkata, “Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.” Yesus menjawab, “Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari.” Perempuan itu berkata, “Aku tidak ada suami.” Yesus pun berkata, “Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.” Perempuan itu berkata, “Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem.” Yesus berkata, “Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem. Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.” Perempuan itu berkata, “Aku tahu Mesias yang disebut Kristus akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.” Pada ketika itu para murid Yesus pulang ke situ. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, “Apa hajatmu?” atau kepada Yesus, “Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?” Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. Perempuan itu berkata, “Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu Kristus?” Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Yesus. Sementara itu, para murid Yesus menggesa-Nya, “Rabbi, makanlah.” Yesus menjawab, “Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.” Lalu para murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, “Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?” Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. Bukankah kamu berkata, ‘Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?’ Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. Dalam hal ini benarlah pepatah, ‘Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.’ Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.” Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Yesus setelah mendengar perempuan itu berkata, “Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.” Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Yesus, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Yesus pun tinggal di situ selama dua hari. Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Yesus kerana kata-kata-Nya. Mereka berkata kepada perempuan itu, “Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah Kristus, Penyelamat dunia.”