YOHANES 4:16-26
YOHANES 4:16-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus menjawab, “Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.” Wanita itu menjawab, “Saya tidak bersuami.” Lalu Yesus berkata, “Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.” Wanita itu berkata, “Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa. Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.” Wanita itu berkata kepada Yesus, “Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.” Yesus menjawab, “Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.”
YOHANES 4:16-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka jawab Isa kapada pŭrampuan itu, Pŭrgilah angkau panggil lakimu datang kŭmari. Maka jawab pŭrampuan itu, Bahwa tiadalah sahya bŭrlaki. Maka kata Isa, Bŭtollah kata angkau, bahwa tiadalah sahya bŭrlaki. Kŭrna lima orang sudah lakimu, adapun yang ada skarang ini pun bukannya lakimu; maka derihal ini katamu bŭtul adanya. Maka kata pŭrampuan itu kapadanya, Tuan, bahwa nyatalah padaku angkau ini sa’orang nabi. Adapun nenek moyang kami sŭmbahyang dibukit ini, maka kamu bŭrkata, bahwa patutlah orang skalian sŭmbahyang diJerusalem. Maka kata Isa padanya, Hie pŭrampuan, bahwa pŭrchayalah angkau akan daku, adapun waktunya itu akan datang, maka pada masa itu kŭlak dibukit itu pun tidak, atau diJerusalem pun tidak orang mŭnyŭmbah Allah. Bahwa kamu tiada tahu apa yang kamu sŭmbahyang, adapun kami tahu apa yang kami sŭmbahyang, kŭrna slamat kŭkal itu deripada orang Yahudi. Akan tŭtapi waktu akan datang kŭlak dan ada s’karang pun, apabila orang sŭmbahyang dŭngan sŭbŭnarnya itu, maka iya itulah sŭmbahyang akan Ayah itu dŭngan Roh dan kŭbŭnaran; kŭrna Ayah itu mŭnuntut akan orang sŭmbahyang dŭngan pri yang dŭmkian itu. Adapun Allah itu Roh adanya, dan orang yang mŭnyŭmbah akan dia itu pun dapat tiada mŭnyŭmbah dŭngan Roh dan kŭbŭnaran. Maka kata pŭrampuan itu padanya, Aku tŭlah mŭngtahui bahwa Messia akan datang yang tŭrgŭlar Almasih; maka apabila iya datang kŭlak, iyalah nanti mŭngajar akan kami sagala pŭrkara. Maka jawab Isa padanya, Adapun yang bŭrkata kata dŭngan angkau ini, iya itulah dia.
YOHANES 4:16-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus menjawab, “Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari.” Perempuan itu berkata, “Aku tidak ada suami.” Yesus pun berkata, “Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.” Perempuan itu berkata, “Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem.” Yesus berkata, “Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem. Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.” Perempuan itu berkata, “Aku tahu Mesias yang disebut Kristus akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.”