YOHANES 4:1-3,5-26

YOHANES 4:5-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” Wanita Samaria itu menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?” (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.) Yesus menjawab, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.” “Tuan,” kata wanita itu, “tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? Nenek moyang kami, Yakub, memberikan perigi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.” Wanita itu berkata, “Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air.” Yesus menjawab, “Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.” Wanita itu menjawab, “Saya tidak bersuami.” Lalu Yesus berkata, “Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.” Wanita itu berkata, “Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa. Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.” Wanita itu berkata kepada Yesus, “Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.” Yesus menjawab, “Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.”

Injil Yahya 4:5-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Hata maka sampielah iya kapada suatu nŭgri dalam tanah Samaria yang bŭrnama Siekar, iya itu dŭkat dŭngan sa’kŭping tanah yang dibri ulih Yakob akan anaknya Yusof itu. Maka adalah disitu prigi Yakob; maka sŭbab Isa tŭlah pŭnat bŭrjalan itu dudoklah iya ditŭpi prigi itu, iya itu sŭkira kira pukol duablas tŭngah hari. Maka datanglah sa’orang pŭrampuan Samaria handak mŭnimba ayer; maka kata Isa padanya, Brilah aku minum. Kŭrna murid muridnya itu sudah masok kŭdalam nŭgri mŭmbli makanan. Maka jawab pŭrampuan Samaria padanya, Bagimana bulih angkau sa’orang Yahudi mŭminta deripadaku sa’orang pŭrampuan Samaria ini? kŭrna orang orang Yahudi tiada bŭramah ramahan dŭngan orang orang Yahudi adanya. Maka sahut Isa katanya, Jikalau sŭkiranya angkau kŭtahui akan anugrah Allah itu, dan siapa yang tŭlah bŭrkata kata kapadamu, brilah minum kapadaku, nŭschaya angkau mŭmintalah deripadanya, maka dibrinyalah akan dikau ayer yang hidop. Maka jawab pŭrampuan itu katanya, Angkau tiada apa apa yang handak timba, lagi pŭrigi ini dalam, maka deri manakah garangannya angkau bulih mŭndapat ayer yang hidop itu? Lebih bŭsarkah angkau deripada moyang kami Yakob itu yang tŭlah mŭmbri akan kami pŭrigi ini? Maka iyalah tŭlah mŭminum sŭrta dŭngan isi rumahnya, dan binatang binatangnya deripada ayer prigi ini. Maka sahut Isa katanya, Barang siapa yang minum deri pada ayer ini, maka iya kŭlak akan dahaga pula: Tŭtapi barang siapa yang minum akan ayer yang kubri padanya, skali kali tiadalah iya bŭrdahaga; adapun ayer yang kubri padanya itu akan mŭnjadi suatu mata ayer dalamnya yang bŭrpancharlah sampie kapada hidop yang kŭkal. Maka kata pŭrampuan itu, Tuan, brilah sama sahya ayer itu, supaya jangan sahya dahaga, atau datang kŭmari munimba. Maka jawab Isa kapada pŭrampuan itu, Pŭrgilah angkau panggil lakimu datang kŭmari. Maka jawab pŭrampuan itu, Bahwa tiadalah sahya bŭrlaki. Maka kata Isa, Bŭtollah kata angkau, bahwa tiadalah sahya bŭrlaki. Kŭrna lima orang sudah lakimu, adapun yang ada skarang ini pun bukannya lakimu; maka derihal ini katamu bŭtul adanya. Maka kata pŭrampuan itu kapadanya, Tuan, bahwa nyatalah padaku angkau ini sa’orang nabi. Adapun nenek moyang kami sŭmbahyang dibukit ini, maka kamu bŭrkata, bahwa patutlah orang skalian sŭmbahyang diJerusalem. Maka kata Isa padanya, Hie pŭrampuan, bahwa pŭrchayalah angkau akan daku, adapun waktunya itu akan datang, maka pada masa itu kŭlak dibukit itu pun tidak, atau diJerusalem pun tidak orang mŭnyŭmbah Allah. Bahwa kamu tiada tahu apa yang kamu sŭmbahyang, adapun kami tahu apa yang kami sŭmbahyang, kŭrna slamat kŭkal itu deripada orang Yahudi. Akan tŭtapi waktu akan datang kŭlak dan ada s’karang pun, apabila orang sŭmbahyang dŭngan sŭbŭnarnya itu, maka iya itulah sŭmbahyang akan Ayah itu dŭngan Roh dan kŭbŭnaran; kŭrna Ayah itu mŭnuntut akan orang sŭmbahyang dŭngan pri yang dŭmkian itu. Adapun Allah itu Roh adanya, dan orang yang mŭnyŭmbah akan dia itu pun dapat tiada mŭnyŭmbah dŭngan Roh dan kŭbŭnaran. Maka kata pŭrampuan itu padanya, Aku tŭlah mŭngtahui bahwa Messia akan datang yang tŭrgŭlar Almasih; maka apabila iya datang kŭlak, iyalah nanti mŭngajar akan kami sagala pŭrkara. Maka jawab Isa padanya, Adapun yang bŭrkata kata dŭngan angkau ini, iya itulah dia.

Yohanes 4:5-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di Samaria, Yesus sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Yesus duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam keenam. Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” Murid-murid Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Perempuan Samaria itu menjawab, “Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?” (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.) Yesus menjawab, “Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, ‘Berilah Aku minum,’ tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.” Perempuan itu berkata, “Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.” Perempuan itu berkata, “Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.” Yesus menjawab, “Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari.” Perempuan itu berkata, “Aku tidak ada suami.” Yesus pun berkata, “Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.” Perempuan itu berkata, “Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem.” Yesus berkata, “Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem. Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.” Perempuan itu berkata, “Aku tahu Mesias yang disebut Kristus akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami