YOHANES 3:5-21
YOHANES 3:5-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Tidak mungkin seorang pun menikmati Pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan daripada air dan daripada Roh Allah. Secara jasmani manusia dilahirkan oleh manusia, tetapi secara rohani manusia dilahirkan oleh Roh Allah. Janganlah hairan kerana Aku berkata kepadamu bahawa kamu semua mesti dilahirkan semula! Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu; kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya angin itu. Begitu juga halnya dengan setiap orang yang dilahirkan oleh Roh Allah.” Nikodemus bertanya, “Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Yesus menjawab, “Kamu guru terkenal di Israel. Adakah kamu tidak mengetahui perkara ini? Apa yang Aku katakan kepadamu benar: Kami mengatakan apa yang kami ketahui dan memberitahukan apa yang kami lihat, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. Aku memberitahu kamu perkara-perkara dunia ini, tetapi kamu tidak percaya; bagaimana kamu boleh percaya apabila Aku memberitahu kamu perkara-perkara syurga? Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan, supaya semua orang yang percaya kepada Anak Manusia beroleh hidup sejati dan kekal. Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal. Penghakiman itu berdasarkan hal ini: Cahaya itu sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Sesiapa yang melakukan kejahatan membenci cahaya, dan tidak mahu datang kepada cahaya, supaya perbuatannya yang jahat tidak kelihatan. Tetapi sesiapa yang melakukan kehendak Allah datang kepada cahaya, supaya nyata bahawa perbuatan yang dilakukannya menurut kehendak Allah.”
YOHANES 3:5-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sahut Isa, Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapadamu, kŭchualinya barang sa’orang yang tiada dipranakkan deri ayer dan Roh Alkudus, maka tiadalah iya bulih masok kŭdalam krajaan Allah. Maka barang yang dipranakkan deripada hawa nafsu, maka iya itu hawa nafsu adanya; maka barang yang dipranakkan deripada Roh Alkudus, maka iya itu Roh Alkudus juga adanya. Maka janganlah angkau mŭnjadi hieran, aku bŭrkata kapadamu, kamu patut dipranakkan pula. Adapun angin itu bŭrtiup barang kŭmana dikahandakinya, maka angkau dŭngar juga bunyinya, tŭtapi tiada angkau kŭtahui deri manakah datangnya, dan kŭmanakah pŭrginya; maka dŭmkianlah juga halnya masing masing orang yang dipranakkan deripada Roh Alkudus itu. Maka sahut Nikudimas, katanya, Bagimanakah sagala pŭrkara itu bulih mŭnjadi? Maka kata Isa padanya, Bukankah angkan guru orang Israel, dan tiadakah angkau mŭngtahui akan sagala pŭrkara pŭrkara ini? Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu Adapun kami mŭngatakan barang yang kami kŭtahui, dan mŭnjadi saksi deripada barang yang tŭlah kami mŭlihat, tŭtapi tiada kamu mŭnŭrima saksi kami itu. Maka jika aku tŭlah mŭmbri tauh kapadamu derihal pŭrkara pŭrkara dunia ini; tŭtapi tiada juga kamu pŭrchaya; bagimanakah kamu bulih pŭrchaya, jikalau aku katakan padamu pŭrkara pŭrkara shorga itu. Maka sa’orang pun tiada naik kŭshorga, mŭlainkan orang yang tŭlah turon deri shorga, maka iya itu Anak manusialah dia yang ada dishorga. ¶ Shahadan spŭrti ular itu ditinggikan ulih Musa dalam padang blantara; maka dŭmkianlah harus Anak manusia pun ditinggikan. Supaya barang siapa yang pŭrchaya akan dia, iya itu tiada binasa mŭlainkan mŭndapat hidop yang kŭkal juga. ¶ Kŭrna Allah tŭrsangatlah mŭngasihi orang isi dunia ini; sahingga dikurniakannya Anaknya yang tunggal itu, supaya barang siapa yang pŭrchaya akan dia, tiada iya akan binasa, mŭlainkan mŭndapat hidop yang kŭkal. Kŭrna bukannya Allah mŭnyurohkan Anaknya itu masok kŭdalam dunia, supaya mŭnghukumkan orang isi dunia ini, mŭlainkan supaya orang isi dunia ini bŭrulih slamat deri padanya. ¶ Maka orang yang pŭrchaya akan dia itu tŭrlŭpas deripada hukuman, tŭtapi orang yaug tiada pŭrchaya akan dia, maka adalah iya itu sŭrasa dalam hukum, sŭbab iya tiada pŭrchaya akan nama Anak Allah yang tunggal itu. Maka inilah hukuman, trang itu tŭlah datang kŭdalam dunia, tŭtapi manusia itu bŭrsuka suka juga dalam gŭlap tŭrlebih deripada trang itu, kŭrna pŭrbuatannya itu jahat adanya. Kŭrna tiap tiap orang yang bŭrbuat jahat itu bŭnchilah iya akan trang itu, dan tiada iya mahu datang kapada trang, asal jangan kŭjahatannya itu kŭlak ditŭmplakkan. Tŭtapi orang yang bŭrbuat kabŭnaran itu datanglah iya kapada trang, supaya pŭrbuatannya kŭlak dinyatakan; adapun iya itu tŭlah jadi dŭngan kahandak Allah adanya.
YOHANES 3:5-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Kudus, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Allah. Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh. Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Kudus.” Nikodemus bertanya, “Bagaimana hal itu boleh berlaku?” Yesus menjawab, “Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga? Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Anak Manusia akan diangkat supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal. Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan. Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudah pun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Anak Tunggal Allah. Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah. Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.”