YOHANES 3:10-17
YOHANES 3:10-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus menjawab, “Kamu guru terkenal di Israel. Adakah kamu tidak mengetahui perkara ini? Apa yang Aku katakan kepadamu benar: Kami mengatakan apa yang kami ketahui dan memberitahukan apa yang kami lihat, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. Aku memberitahu kamu perkara-perkara dunia ini, tetapi kamu tidak percaya; bagaimana kamu boleh percaya apabila Aku memberitahu kamu perkara-perkara syurga? Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan, supaya semua orang yang percaya kepada Anak Manusia beroleh hidup sejati dan kekal. Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.
YOHANES 3:10-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kata Isa padanya, Bukankah angkan guru orang Israel, dan tiadakah angkau mŭngtahui akan sagala pŭrkara pŭrkara ini? Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu Adapun kami mŭngatakan barang yang kami kŭtahui, dan mŭnjadi saksi deripada barang yang tŭlah kami mŭlihat, tŭtapi tiada kamu mŭnŭrima saksi kami itu. Maka jika aku tŭlah mŭmbri tauh kapadamu derihal pŭrkara pŭrkara dunia ini; tŭtapi tiada juga kamu pŭrchaya; bagimanakah kamu bulih pŭrchaya, jikalau aku katakan padamu pŭrkara pŭrkara shorga itu. Maka sa’orang pun tiada naik kŭshorga, mŭlainkan orang yang tŭlah turon deri shorga, maka iya itu Anak manusialah dia yang ada dishorga. ¶ Shahadan spŭrti ular itu ditinggikan ulih Musa dalam padang blantara; maka dŭmkianlah harus Anak manusia pun ditinggikan. Supaya barang siapa yang pŭrchaya akan dia, iya itu tiada binasa mŭlainkan mŭndapat hidop yang kŭkal juga. ¶ Kŭrna Allah tŭrsangatlah mŭngasihi orang isi dunia ini; sahingga dikurniakannya Anaknya yang tunggal itu, supaya barang siapa yang pŭrchaya akan dia, tiada iya akan binasa, mŭlainkan mŭndapat hidop yang kŭkal. Kŭrna bukannya Allah mŭnyurohkan Anaknya itu masok kŭdalam dunia, supaya mŭnghukumkan orang isi dunia ini, mŭlainkan supaya orang isi dunia ini bŭrulih slamat deri padanya.
YOHANES 3:10-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus menjawab, “Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga? Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Anak Manusia akan diangkat supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal. Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.