YOHANES 21:1-11

YOHANES 21:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah itu Yesus menampakkan diri sekali lagi kepada pengikut-pengikut-Nya di Tasik Tiberias. Beginilah peristiwa itu berlaku: Simon Petrus, Tomas (yang disebut Si Kembar), Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Yesus yang lain, sedang berkumpul. Simon Petrus berkata kepada mereka, “Aku hendak pergi menjala ikan.” Mereka berkata kepadanya “Kami ikut.” Oleh itu mereka menaiki perahu lalu bertolak. Tetapi sepanjang malam itu mereka tidak mendapat seekor ikan pun. Apabila matahari terbit, Yesus berdiri di pantai, tetapi mereka tidak tahu bahawa Dia Yesus. Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Hai kawan-kawan, adakah kamu mendapat ikan?” “Tidak! Seekor pun tidak,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Labuhkanlah jala ke sebelah kanan perahu, lalu kamu akan mendapat ikan.” Mereka melabuhkan jala, tetapi mereka tidak terdaya menariknya kembali kerana terlalu banyak ikan yang tertangkap. Pengikut yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Petrus, “Dia Tuhan!” Apabila Simon Petrus mendengar bahawa Dia itu Tuhan, Petrus memakai bajunya (yang ditanggalkannya semasa bekerja) lalu terjun ke dalam air. Pengikut-pengikut lain mendarat dengan perahu itu, sambil menarik jala yang penuh dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, kira-kira seratus meter sahaja. Apabila mereka tiba di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api dan roti pun ada di situ. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa ekor ikan yang baru kamu tangkap ke mari.” Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Jala itu sarat dengan ikan yang besar-besar; semuanya berjumlah 153 ekor. Meskipun ikan sebanyak itu tertangkap, jala itu tidak koyak.

YOHANES 21:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA maka kumdian deripada skalian itu, maka Isa pun mŭnyatakan dirinya pula kapada murid muridnya dŭkat tasik Tieberia; maka dŭmkianlah prinya iya mŭnyatakan dirinya itu: Adapun Simon Petros, dan Thomas yang tŭrsŭbut Didimus, dan Nathaniel deri nŭgri Kana ditanah Galilia, dan anak anak Zabdi, dan dua orang lain deri pada murid muridnya bŭrsama sama. Maka bŭrkatalah Simon Petros pada marika itu, Aku handak pŭrgi mŭnangkap ikan; maka jawab marika itu akan dia, Kami pun pŭrgi bŭrsama sama. Maka kluarlah marika itu dŭngan sŭgranya, lalu naik pŭrahu; maka pada malam itu suatu pun tiadalah ditangkap ulih marika itu. Bŭrmula apabila pagi hari, maka tŭrdirilah Isa dipantie, tŭtapi tiada dikŭtahui ulih murid muridnya iya itu Isa. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Hie kanak kanak, adakah angkau mŭnaroh lauk? Maka sahut marika itu akan dia, Tiada. Maka katanya pada marika itu, Buanglah pukatmu disŭblah kanan pŭrahu itu, maka kamu akan mŭndapat. Maka dibuangnyalah; maka tiadalah marika itu bulih mŭnarik pukat itu, sŭbab tŭrlalu banyak ikan. Sŭbab itu bŭrkatalah murid yang dikasihi ulih Isa itu kapada Petros, Iya ini Tuhan. Maka apabila didŭngar Simon Petros, bahwa itu Tuhan, maka lalu dipakienya baju pŭngail, (kŭrna iya itu tiada bŭrbaju), lalu tŭrjunlah iya kŭdalam ayer. Maka sagala murid yang lain itu pun datanglah dŭngan pŭrahu kŭchil, kŭrna marika itu tiada jauh deri darat, ada kira kira dua ratus hasta sahja jauhnya, sambil ditariknya pukat yang bŭrisi ikan itu. Sŭtlah sampielah marika itu kŭdarat, maka dilihatnya ada satu timbunan bara api, dan ikan pun ada tŭrlŭtak diatasnya, dan roti pun ada. Maka kata Isa pada marika itu, Bawalah ikan ikan yang kamu bahru tangkap itu. Maka Simon Petros pun pŭrgilah mŭnarik pukat itu kŭdarat pŭnoh dŭngan ikan bŭsar bŭsar, sa’ratus lima puloh tiga ekor banyaknya; maka sungguh pun bŭgitu banyak, tŭtapi tiada juga pukat itu koyak.

YOHANES 21:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus menampakkan diri sekali lagi kepada murid-murid-Nya, di Laut Tiberias. Demikianlah kejadian itu berlaku: Simon Petrus, Tomas yang disebut Didimus, Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang murid Yesus yang lain, sedang berhimpun di situ. Simon Petrus berkata kepada mereka, “Aku hendak pergi menangkap ikan.” Mereka berkata kepadanya, “Kami hendak pergi bersama-sama.” Mereka pun pergi menaiki perahu. Tetapi semalaman tiada seekor ikan pun dapat ditangkap oleh mereka. Ketika matahari terbit, Yesus berdiri di pantai, tetapi murid-murid tidak mengenal-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Anak-anak, kamu ada ikan?” “Tidak, kami tidak mendapat seekor ikan pun,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka “Tebarkanlah jalamu di sebelah kanan perahu, kamu akan mendapat ikan.” Mereka pun berbuat demikian, maka begitu sarat jala mereka dengan ikan sehingga tidak terdaya mereka menariknya kembali. Oleh itu, murid yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Simon Petrus, “Itu Tuhan!” Setelah mendengar bahawa Tuhan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya tadi untuk bekerja) lalu dia terjun ke dalam air. Para murid lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira dua ratus hasta. Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada. Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.” Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, seratus lima puluh tiga ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak.